Mohd Rashidi Hassan
Wed | Jan 28, 09 | 3:00:22 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Hrkh) - Angkasawan Negara, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor memberitahu keadaan di Hospital Shifa di Semenanjung Gaza pada waktu ini amat gawat dengan lambakan mangsa akibat pengeboman Israel.
Dalam emel yang dihantar kepada Harakah dari Palestin, beliau menceritakan kebanyakan pesakit yang dihantar untuk mendapat rawatan di luar Palestin tidak dapat melepasi sempadan kerana ditahan dan terpaksa bermalam di dalam ambulans selama 2 hari sebelum dihantar kembali ke Hospital Shifa iaitu hospital terbesar di Gaza.
"Saya sendiri telah membuat pembedahan ke atas seorang wanita yang telah terkena tembakan Israel setelah 19 hari kejadian tersebut berlaku. Setelah enam jam melakukan pembedahan hanya masa yang akan menentukan samada tangan beliau boleh diselamatkan .
"Saya sudahpun lakukan apa yang terdaya. Peralatan tidak mencukupi termasuk bekalan ubat dan kami lakukan apa yang termampu," jelas beliau.
Menurutnya, keadaan di Gaza amat dahsyat sekali kerana akibat pengeboman, banyak kemusnahan berlaku dan rakyat terperangkap kerana tidak dapat bekalan makanan dan perubatan.
Katanya, beliau dan anggota rombongan Pemuda Masjid berlepas ke Palestin, melalui Kaherah (Cairo), Mesir 19 Januari lepas dan kini terpaksa meninggalkan Gaza kerana terdapat khabar bahawa Israel bercadang untuk menyerang kawasan sempadan Mesir - Palestin yang menjadi laluan masuk utama petugas bantuan kemanusiaan.
Menurut Sheikh dalam emelnya, beliau sedang dalam perjalanan ke Kaherah untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Universiti al-Azhar.
"Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar memberi sumbangan dalam apa jua yang termampu termasuk dana, makanan mahupun ubat ubatan.
"Bagi saya, sumbangan yang terbaik adalah doa doa dan sembahyang hajat kepada rakyat Palestin agar kesengsaraan mereka akan mendapat bantuan Allah," jelasnya.
(Teks penuh catatan Sheikh Muszaphar Shukor beserta gambar akan disiarkan dalam Harakah edisi Isnin ini - Editor)_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan