Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan terbaru Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato' Wan Ahmad Wan Omar berhubung kenyataan mengenai isu pengendalian pilihan raya.
Wan Ahmad dalam kenyataan kononnya kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat menolak syor pendekatan baru proses pengendalian pilihan raya.
Sebelum ini SPR bercadang menguatkuasakan beberapa pendekatan baru: menghadkan bilangan penyokong parti politik yang bertanding, menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung.
"Apa yang sedang dirangka oleh SPR ini, sangat jelas bertentangan dengan amalan demokrasi di mana-mana negara demokratik di dunia ini.
"AMK percaya bahawa pendekatan ini diilhamkan dalam keadaan lima pilihan raya kecil yang berlangsung sebermula di Permatang Pauh sehinggalah yang terkini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, menyaksikan BN ditenggelami dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir sewaktu penamaan calon," kata Shamsul Iskandar.
Harus diingat bahawa seramai manapun bilangan penyokong yang hadir, ianya bukan satu masalah sekiranya pihak keselamatan bersikap profesional untuk mengawal provokasi melampau daripada mana-mana pihak, tegas Shamsul Iskandar.
Malah terbukti dalam siri-siri pilihan raya kecil sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan ugutan dan provokasi melampau oleh samseng upahan yang 'jelas kelihatan' menyokong BN, katanya.
Demikian juga dengan penguatkuasaan larangan memancing undi dan juga pondok panas, ujarnya.
AMK tidak lupa bagaimana pada Pilihan raya Umum 2004, larangan yang sama dikenakan ke atas semua parti politik, tetapi BN dengan angkuh tetap membina pondok panas di kawasan pusat pengundian, ujarnya.
Sehubungan itu, AMK menegaskan Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan menerima alasan kononnya untuk mengelakkan ketegangan dan ketakutan di kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengundi memang akan sukar dan takut untuk mengundi jika dua perkara dihalalkan oleh SPR iaitu kebanjiran pihak polis di seluruh ceruk kawasan dan juga hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja, katanya.
Justeru, AMK menolak 'kekecewaan' Wan Ahmad ini yang hanya merendahkan profesionalisme dan imej penjawat awam yang harus bersikap neutral dalam menjalankan amanah.
"Jika Wan Ahmad masih mahu mempertahankan pendekatan yang bersifat kosmetik untuk menjaga imej dan menjamin kemenangan BN, maka wajarlah jika beliau sahaja yang menjadi calon Umno-BN di DUN Penanti kelak," katanya. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan