Selasa, 5 Mei 2009

Ahmadiah (Qadiani) akur larangan MAIS hentikan solat Jumaat

Muda Mohd Noor
Kumpulan Ahmadiah akur larangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar tidak mengadakan solat Jumaat di Baitul Salam, bangunan milik kumpulan itu dekat Selayang.

Kira-kira 1,500 pengikut aliran agama itu akan tetap meneruskan ajaran itu dalam kegiatan-kegiatannya di bangunan itu di Kampung Nakhoda.

Berikutan itu, pengikut kumpulan tersebut akan mengadakan solat Jumaat di tempat lain tetapi tempatnya belum diputuskan lagi.

Jurucakap gerakan itu, Ainul Yakin Mohd Zain berkata, pihaknya sedang mencari tempat yang sesuai untuk pengikutnya mengadakan solat mingguan tersebut.

Bagaimanapun, tambahnya, aktiviti harian termasuk solat lima waktu akan tetap diadakan di Baitul Salam.

MAIS mengeluarkan arahan pada 24 April lalu, menghalang kegiatan mereka sejak tahun 1950-an di situ.

Papan tanda "Qadiani bukan agama Islam" juga dinaikkan di sekeliling bangunan tersebut.

Qadiani adalah nama lain bagi gerakan Ahmadiah yang diasakan oleh Mirza Ghulam Ahmad di Qadiani, India.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ainul Yakin meminta MAIS agar tidak mengganggu lago para pengikutnya untuk meneruskan ajaran mereka.

"Kalau kami (Ahmadiah) dianggap bukan Islam, mengapa ganggu kami lagi?

"Nampaknya kebebasan beragama tidak ada di negara ini," katanya hari ini.

Ainul Yakin berkata, pihaknya menghantar surat kepada perdana menteri dan beberapa kedutaan asing mengadu tindakan MAIS dan status kebebasan beragama di Malaysia.

"Kita menghantar surat kepada Datuk Seri Najib Razak dan para menteri, selain kedutaan asing di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga ini pihaknya belum menerima sebarang respons daripada pihak-pihak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan MAIS yang tidak pernah mengadakan rundingan dengan pihaknya berhubung perkara tersebut.

"Kenapa tidak bincang dengan kita dahulu sebelum keputusan itu dibuat," kata Ainul Yakin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan