Sabtu, 26 September 2009

Negara kehilangan seorang pejuang bahasa, pemimpin yang tegas

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kematian bekas Menteri Besar Pahang Dato' Abdul Rahim Abu Bakar sebagai seorang pejuang bahasa dan kematiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar menjelaskan, PAS menghormati kewibawaan Allahyarham yang tegas tanpa mengira mana-mana pihak, dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Allahyarham merupakan contoh Menteri Besar di kalangan BN yang tegas dalam soal pengurusan harta negeri hingga sanggup kehilangan jawatan kerana mahu mempertahankan hak rakyat," kata beliau.

PAS juga kata Mahfuz menyanjungi sikap tegas dan komitmen Allahyarham dalam perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau seterusnya mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham dan berharap mereka bersabar dan tabah menerima ketentuan ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar meyifatkan kematian Allahyarham sebagai kehilangan seorang pejuang bahasa yang tegas menentang perlaksanaan dasar PPSMI hingga sanggup tidak disambung perkhidmatan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Allahyarham sanggup melawan Mahathir yang mahu melaksanakan PPSMI hingga tidak disambung jawatan sebagai pengerusi DBP," kata Kamaruddin.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga dan balu Allahyarham dan berharap mereka menerima semuanya dengan sabar.

Abdul Rahim, 66, meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di sini pukul 7.10 petang pada 24 September lalu ketika sedang menunggu waktu berbuka puasa dipercayai akibat serangan jantung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan