Rabu, 3 Mac 2010

Telekomunikasi: Yuran baru diumum hujung tahun

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kadar bayaran perkhidmatan penggunaan telekomunikasi, termasuk peralatan komputer di seluruh negara dikaji dan diteliti sama ada ia sesuai sebelum pengumuman tarif baru diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata penggunaan telefon bimbit di negara ini mencecah 106 peratus, melebihi 28 peratus daripada jumlah penduduk. Oleh itu, katanya, kerajaan kini sedang mengkaji dan meneliti sama ada kadar yuran yang dikenakan syarikat telekomunikasi patut dikurangkan.

“Penduduk Malaysia 28 juta, tetapi pengguna telefon bimbit kira-kira 106 peratus, sekali gus penembusan jalur lebar meningkat.

Kita kini mengkaji berapa keuntungan syarikat besar sama ada hampir RM1 bilion atau separuh daripadanya. “Di situ pula adakah yuran dikenakan tidak kena atau tidak berpatutan. Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melihat semula sama ada patut atau tidak kos berkenaan dikenakan.

“Pengguna Malaysia berada di paras yang tinggi berbanding Thailand, Singapore, Korea dan Jepun iaitu mencecah 32.4 peratus isi rumah. Oleh itu, kadar baru yang lebih memihak masyarakat dijangka dapat diumumkan penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual program Soal Jawab TV3 yang dihoskan oleh Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail, di Sri Pentas, malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan