KUALA LUMPUR 27 Feb. - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman, dipercayai selepas disamun di sebuah rumah di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini malam ini.
Mangsa, Nen Ariffin, 75, dikatakan baru pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib bersama isterinya di sebuah masjid berhampiran.
Dalam kejadian pukul 8.10 malam itu, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, pasangan itu kemudian disamun sebelum mangsa ditikam di perut dengan sebilah pisau 'Rambo'.
''Isteri mangsa yang berusia lingkungan 70-an tidak diapa-apakan. Pasangan itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna perak," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Menurut Bakhtiar, seorang jiran mangsa yang ternampak kejadian itu segera menghantar mangsa ke sebuah klinik di Bukit Sentosa untuk menerima rawatan.
''Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di klinik tersebut,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan