assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 17 Mac 2009

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)mengisytiharkan dividen 4.5 peratus bagi 2008

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)mengisytiharkan dividen 4.5 peratus bagi 2008, lebih rendah berbanding 5.8 peratus pada 2007.

Kadar dividen rendah itu adalah disebabkan peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan kesan penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global yang tercetus akibat daripada krisis kewangan dunia, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Di sebalik krisis kewangan itu, KWSP mencatatkan pendapatan kasar tertinggi pernah dicapai sebanyak RM20 bilion dalam pendapatan kasar bagi 2008, peningkatan 9.36 peratus berbanding RM18.29 bilion pada tahun sebelumnya, lapor Bernama.

"Walaupun 2008 merupakan tahun yang mencabar berikutan krisis kewangan global yang telah memberikan kesan negatif kepada ekonomi dunia, portfolio pelaburan KWSP dari segi pendapatan kasar menunjukkan prestasi lebih baik berbanding 2007.

Bagaimanapun, ekoran kejatuhan menjunam nilai pasaran ekuiti, sejumlah besar peruntukan rosot nilai pelaburan perlu dibuat yang menyebabkan penurunan ketara pendapatan bersih," kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.

Pendapatan bersih bagi tahun itu ialah sebanyak RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan rosot nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan bayaran manfaat kematian serta hilang upaya.

Ekuiti masih merupakan antara penyumbang terbesar kepada pulangan KWSP pada 2008, mewakili 34.82 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP.

Penyumbang kedua terbesar

KWSP memperoleh RM6.67 bilion daripada ekuiti yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan pada 2008 berbanding RM5.37 bilion pada 2007.

"Sehingga September tahun lepas, KWSP telah menunjukkan prestasi yang baik dalam ekuiti. Bagaimanapun, berikutan krisis kewangan dunia, prestasi pelaburan ekuiti KWSP jatuh kurang daripada 20 peratus, seterusnya memberikan kesan kepada bayaran dividen.

"Bagaimanapun, prestasi ini lebih baik berbanding indeks komposit Bursa Malaysia yang merosot kira-kira 40 peratus dari akhir Disember 2007 hingga Disember 2008," kata Samsudin.

Kesan daripada penurunan ketara harga ekuiti global dan dasar peruntukan rosot nilai yang konservatif selaras dengan amalan terbaik perakaunan, KWSP telah memperuntukkan sebanyak RM4.69 bilion pada 2008 untuk rosot nilai pelaburan ekuiti dalam dan luar negara, berbanding hanya RM0.52 bilion pada 2007.

Daripada jumlah peruntukan 2008, sebanyak RM3.20 bilion diperuntukkan untuk ekuiti luar negara.

"KWSP telah melabur dalam syarikat yang mempunyai asas kukuh dan kami yakin peruntukan ini akan dimasukkan semula ke dalam akaun apabila ekonomi kembali pulih," kata Samsudin.

Pinjaman dan bon merupakan penyumbang terbesar pendapatan kasar pada 2008, mencatatkan pulangan RM6.78 bilion berbanding RM5.91 bilion pada tahun sebelumnya, manakala Sekuriti Kerajaan Malaysia, penyumbang ketiga terbesar pendapatan, memperoleh pulangan RM4.94 bilion berbanding RM4.88 bilion pada 2007.

Kredit dalam akaun ahli

Pada 31 Disember, 2008, jumlah keseluruhan dana pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM28.99 bilion kepada RM342.00 bilion berbanding RM313.01 bilion tahun lalu.

Bagi 2008, KWSP memerlukan RM3.18 bilion untuk membayar satu peratus dividen berbanding hanya RM2.89 bilion pada 2007, disebabkan bilangan ahli yang bertambah.

Ini bermakna KWSP memerlukan lebih 9.71 peratus lagi pendapatan bagi mengisytihar satu peratus dividen pada 2008 berbanding tahun sebelumnya.

Dividen akan dikreditkan ke dalam akaun ahli pada 23 Mac 2009.

"Kami bersedia menghadapi 2009 yang lebih mencabar kesan daripada krisis kewangan global yang masih berterusan. Bagaimanapun, KWSP yakin di sebalik setiap krisis masih wujud peluang yang boleh dimanfaatkan.

"Apa yang penting adalah KWSP perlu sentiasa berhati-hati dan terus berusaha memberikan pulangan untuk faedah semua ahli melalui stratetgi pelaburan yang berhemat," kata Samsudin.

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil


Bila ada pilihan raya, undilah siapa saja tapi jangan undi Umno - A Samad Said
Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini,

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

“Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris,” tegas A Samad.

“Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris,” ujar pejuang bahasa itu lagi.

“Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris,” kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, “Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur”.

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. “Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno,” ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

“Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

“Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini,” katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program “Kembara Kasih bahasa”.

“Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

“Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong,” ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

http://www.harakahdaily.net

KERANA MANUSIA ITU LUPA

Oleh : Dr Fikrah

Allah SWT berfirman :

Dan tidakkan manusia memerhatikan bahawa Kami (Allah) telah menciptakkan dari setitis air mani, ternyata dia (manusia) menjadi musuh yang nyata (Surah Yasin : 77)

Al Quran telah menceritakan tentang perkembangan hidup manusia, yang bermula dari setitis air mani yang langsung tidak punya apa kuasa. Hanya setitis air yang tidak mampu melakukan apa pun, mudah sahaja mati dalam tempoh 48 jam! Itulah umur maksimum sperma yang tidak punya apa-apa pun. Bayangkanlah anda ketika itu? Langsung tidak berguna.

Bermula daripada setitis air mani sebanyak 3.5 ml air mani yang mengandungi 400 juta ekor sperma, dan ditakdirkan oleh Allah SWT ia bergabung dengan ovum. Bayangkanlah, peluang seseorang manusia itu hidup ialah 1/400 juta!! Berkemungkinan besar peluang untuk hidup bukan anda. Sperma yang bergabung dengan ovum hanyalah satu daripada 400 juta, yang menunjukkan peluang untuk anda hidup di dunia pada hari ini sangat tipis!

Tetapi dengan rahmat Allah SWT, ditakdirkan seekor daripada 400 juta itu berjaya menembusi ovum dan bergabung dengannya lalu menjadilah seorang bayi dalam tempoh-tempoh tertentu. Betapa besarnya rahmat Allah SWT kepada anda, peluang hidup yang sangat tipis itu, sepatutnya menjadikan anda bersyukur.

Tetapi, manusia itu mudah lupa. Apabila Allah SWT telah memberikan peluangnya sekali lagi ketika dalam keadaan bayi. Allah SWT mencampakkan rasa kasih sayang ibu kepada anda supaya anda dapat meneruskan hidup di bawah jagaan ibu anda. Lihatlah sekiranya seorang ibu tiada perasaan tersebut, sudah dibuangnya anak tersebut di dalam tong sampah sepertimana yang banyak berlaku hari ini.

Segala zat-zat badan anda terbentuk sedikit demi sedikit sehinggalah anda dapat merangkak, berjalan, bertutur dan sebagainya. Namun, memang benar, manusia itu lupa. Setelah manusia itu diajar berkata-kata dan dia sudah pandai berkata-kata, dia menghina undang-undang Tuhan yang telah menghidupkannya daripada tiada.

Begitu juga kaki dan tangan. Sekiranya ketika kecil dahulu, bersusah payah si anak belajar berjalan, tetapi apabila sudah dewasa, tangan itulah yang mengancam pejuang-pejuang Allah SWT.. Kaki itulah yang digunakan untuk menganiaya manusia-manusia lain. Kalau dahulu, si anak langsung tidak tahu membaca, tetapi apabila dewasa, dia menafsirkan al Quran sewenang-wenangnya.

Begitu juga akal. Kalau dahulunya, si anak di ajar untuk menjadi seorang yang pintar, tetapi apabila dewasa, dia menjadi seorang perancang untuk menjahanamkan Islam. Segala anggota tubuhnya yang telah dihidupkan oleh Allah SWT digunakan untuk menghina Allah SWT. Bayangkanlah sekiranya sedikit nikmat itu ditarik oleh Allah?

Bayangkan sekiranya nikmat membuang air besar itu dicabut dari tubuh seseorang? Sudah pasti dia akan merana seumur hidup. Sekiranya nikmat bernafas itu ditarik, sudah pasti dia akan sengsara seumur hidup. Segalanya sangat mudah bagi Allah SWT. Namun, golongan-golongan yang lupa ini, terus sahaja menggunakan aggota-anggota tersebut untuk menjahanamkan Islam.

Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah SWT bahawa “ternyata dia menjadi musuh yang nyata”!!

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

Jordan atau Oxford pilihan Nik Nur Madihah

KOTA BAHARU: Jordan atau United Kingdom (UK). Itulah dilema yang dihadapi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.

Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM itu berkata beliau perlu berfikir panjang sama ada ke Timur Tengah menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan, atau mendalami ilmu fizik yang diminatinya di United Kingdom (UK).

Beliau berkata, pelbagai tawaran biasiswa, termasuk daripada MARA, Bank Negara Malaysia dan Petronas yang diterimanya akan diperhalusi bersama keluarga dan gurunya sebelum diputuskan dalam masa terdekat.

"Saya memang berminat untuk belajar ilmu agama di Timur Tengah, tetapi pada masa yang sama, saya juga minat mempelajari fizik.

"Mereka yang lebih arif termasuk seorang profesor fizik dari sebuah universiti tempatan pula, mencadangkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dalam bidang fizik.

"Apa pun, saya akan membuat pilihan terbaik untuk masa depan dan juga kepentingan keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima surat tawaran biasiswa tajaan penuh daripada Pengarah MARA Kelantan, Abd Rahim Taha yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar di kediamannya di Pengkalan Chepa, di sini.

Menurut Abd Rahim, MARA sebelum ini menawarkan biasiswa kepada Nik Nur Madihah ke UK untuk menyambung pelajaran di peringkat A Level sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang fizik.

Namun, katanya, MARA kini memberi peluang kepada pelajar itu memilih sama ada ke Jordan untuk pengajian agama Islam atau UK, dan memberi jaminan biasiswa akan diteruskan sekiranya Nik Nur Madihah ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk Doktor Falsafah.

Bapa Nik Nur Madihah, Mohd Kamal Hussein, 41, seorang nelayan, dan ibunya Mariani Omar, 42, memberi kebebasan penuh kepadanya untuk membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.

Nik Nur Madihah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah apabila memperoleh 20A (19 1A dan satu A2) dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Mstar.

Isnin, 16 Mac 2009

Boleh di amalkan di Al-Ikhwan, Kembojasari...

Kufur Nikmat.

Dari blog Cina Islam
Sejak kita mengenal dunia ini tersangat banyak nikmat yang telah Allah anugerahkan. Namun hanya sedikit yang bersyukur kepada Allah SWT. Alangkah mulianya kalau kita terhindar dari golongan kufur nikmat.

Sedikitnya hambaNya yang bersyukur dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat berikut:

وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ قَلِيلاً مَّا تَشْكُرُونَ

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.(Al-A'raaf: 10)

Sedangkan banyaknya nikmat yang kita kecapai kurniaan dari Allah sehingga tidak terhitung :
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَتَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ الإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung ni`mat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (ni`mat Allah).(Ibrahim : 34)

Tanda-tanda orang yang tidak mensyukuri nikmat dan kufur nikmat, menurut Imam al-Ghazali, tidak cukup dilihat dari keengganannya mengucapkan "Alhamdulillah" . Tetapi juga kerana menggunakan kenikmatan pada jalan yang tidak diridhai Allah. Kenikmatan fikiran yang sihat, contohnya, banyak digunakan oleh orang yang kufur nikmat untuk memikirkan hal-hal yang tidak diridhai Allah.
Sikap yang demikian jauh dari kehendak Allah, kerana fikiran yang sihat dan cergas yang dikurniakan oleh Allah sepatutunya digunakan untuk mengingati Allah dan membantu kita dalam melakukan ibadah dan amal soleh. Jauh sekali digunakan untuk menghalang kerja-kerja Islam dan untuk menghancurkan Islam.

Betapalah malangnya jika dilihat perbezaan yang amat ketara antara dia bersyukur yang tersangat sedikit berbanding nikmat Allah yang bertimbun-timbun. Kembalilah kepada jalan yang benar dengan mensyukuri nikmat Allah, mohon lah dari Allah supaya kita terhindar dari golongan yang kufur nikmat.

Ahad, 15 Mac 2009

Ban lagu 'Allah Peduli' - Mais

14 Mar 2009 2:30PM

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mahu agar tindakan diambil mengharamkan sebuah lagu Indonesia berjudul "Allah Peduli" kerana liriknya antara lain menyebut "...sebab Allah Yesusku mengerti."

Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata walaupun beliau belum pernah mendengar lagu itu, tindakan mengharamkannya wajar diambil memandangkan ia menyentuh sensitiviti yang membabitkan soal agama.

"Kita umat Islam dalam perakuan kepercayaan kepada Allah yang maksudnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, jelas mengakui Allah itu Esa, maka larangan penggunaan Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelak kekeliruan di kalangan orang Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai lagu berkenaan nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica.

Dalam lagu berkenaan, perkataan Allah diulang beberapa kali manakala perkataan 'sebab Allah Yesus ku mengerti' kedengaran pada bahagian akhir lagu selama tiga minit 40 saat itu.

"Ada sesetengah dari kita yang tidak faham dengan kandungan lirik dan membuta tuli ikut menyanyi. Lirik ini secara senyap memesong keimanan dan akidah," kata Mohamad Adzib.

Beliau berkata MAIS akan mengambil tindakan mengharamkan lagu itu serta menarik semua edaran album yang mengandungi lagu berkenaan sebaik kajian dan penelitian dibuat.

"Kita minta pihak yang berkenaan di peringkat kerajaan pusat turut memantau isu lirik lagu ini dan mengambil langkah sewajarnya demi memelihara kesucian agama Islam," katanya. / Bernama