assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 9 Jun 2009

Pemimpin Di Dunia, Pemimpin Di Akhirat


Dalam hal memilih pemimpin, Islam menetapkan garis panduannya dengan jelas. Oleh kerana Al-Quran itu adalah panduan dan peraturan, maka pemimpin yang patuh kepada kehendak Al-Quran yang memimpin ke arah ketaqwaan.

Orang-orang beriman tidak wajar memilih pemimpin semata-mata kerana mereka itu ada pangkat, kekayaan dan juga kekuasaan. Dengan harta, pangkat dan kekuasaan belum pasti pemimpin itu layak dituruti kerana belum pasti mereka dapat membawa pengikutnya kepada keredhaan Allah. Orang-orang yang menjadi pemimpin biarlah orang yang tahu halal dan haram, dosa dan pahala.


Tegasnya pemimpin itu mestilah mereka yang celik Al-Quran supaya bukan sahaja pemimpin itu bertaqwa, tetapi juga menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.

Selain itu janganlah pula orang-orang yang beriman menjadi pengikut kepada pemimpin yang tidak menghiraukan halal dan haram, sesungguhnya sikap pemimpin yang demikian itu adalah melampaui batas-batas Allah (taghut). Janganlah di akhirat kelak orang-orang yang tergolong celik agama tetapi berada dalam barisan yang menuju kepada neraka, iaitu di bawah pimpinan manusia yang bertaraf taghut.

Sesungguhnya akan diseru manusia di akhirat kelak supaya mengikut di belakang pemimpin yang mereka taati. Justeru itu janganlah sampai tersalah memilih pemimpin, kerana pemimpin itu mempunyai tanggungjawab bukan sahaja di dunia tetapi juga menjadi pemimpin di akhirat. Sama-samalah kita bermuhasabah adakah pemimpin UMNO BN menepati ciri-ciri pemimpin di dunia dan pemimpin di akhir

Takut nak buat baik termasuk dalam riak

Agama
Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Mengaku ikhlas belum tentu ikhlas kerana lidah manusia boleh berpura-pura bermain kata-kata. Ikhlas ialah kerja hati yang siapa pun tidak mengetahuinya kecuali ampunya diri, sedangkan dia masih boleh menzahirkan sebaliknya.
Oleh sebab itu, tiada hak bagi seseorang menuduh seseorang yang lain sebagai tidak ikhlas. Adalah satu kesalahan seseorang Muslim menuduh orang Muslim yang lain dengan yang negatif. Hal ini kerana seseorang tidak mampu mengetahui apa yang terkandung dalam hati seseorang. Hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang mengetahui niat di hatinya.


Sebenarnya ikhlas ialah rahsia hati seseorang tatkala melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ikhlas pada bahasa bererti bersih, maka orang yang ikhlas, hatinya bersih daripada sifat riak. Tindakannya tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebalik dilakukannya hanya kerana perintah Allah.

Bagaimana Untuk Ikhlas

Persoalan sekarang bagaimana hendak menjadikan seseorang itu ikhlas. Bagaimana menjadinya ikhlas dalam mengamalkan agama, ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah, ikhlas dalam pergaulan dengan manusia, dan ikhlas dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.

Sebenarnya orang yang ikhlas sama ada berhadapan dengan Allah atau manusia ketika melakukan sesuatu amalan atau kerja, tidak mengharapkan balasan dan sanjungan. Namun dia percaya perbuatannya pasti dinilai oleh Allah sebaiknya. Apa yang penting di sisinya ialah amalannya diterima oleh Allah s.w.t.

Lazimnya orang yang ikhlas takut untuk menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah ikhlas. Padanya biarlah pemberian tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kiri. Walau bagaimanapun kadang-kadang tindak tanduknya perlu juga diberitahu kepada orang ramai tentang keikhlasan hatinya.

Perhatikan dua contoh berikut; seorang kaya hendak memberi sumbangan kepada jirannya yang miskin, diserahkan kepadanya tatkala orang lain tidak nampak. Dia memberi semata-mata untuk menolongnya kerana seruan Allah.

Dalam kes yang lain, sesebuah syarikat hendak mendermakan kepada sesuatu badan kebajikan, perlu diisytiharkan kepada orang awam. Pemberian itu adalah ikhlas untuk membantu mengurangkan beban badan kebajikan itu. Pada masa yang sama pemberian itu boleh memberi rangsangan kepada orang kaya lain supaya turut berderma.

Pemberian orang kaya dan syarikat itu tidak boleh dituduh sebagai tidak ikhlas atau riak kerana tidak siapa pun yang mengetahui niat hati pihak berkenaan. Tuduhan orang lain dalam hal ini adalah salah dan berdosa kerana dia seolah-olah mendahului Allah dalam menghukum seseorang. Jadi, serah sahaja urusan menghukum seseorang itu sama ada ikhlas atau tidak kepada Allah. Tetapi alangkah baiknya kalau kita doakan seseorang yang memberi sesuatu sumbangan itu berhati ikhlas. Ingatlah bersangka baik terhadap seseorang itu adalah satu ibadah yang pasti besar pahalanya.

Riak Perlu Dijauhi

Siapakah yang sebenarnya termasuk dalam riak? Riak ialah sifat mazmumah yang amat keji kerana sifat itu termasuk dalam kategori syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Riak juga sama seperti sifat ikhlas yang tidak siapa pun boleh mengesannya sama ada riak atau tidak. Menuduh seseorang itu riak adalah dosa kerana hakikat sebenarnya hanya Allah dan diri individu tersebut sahaja yang tahu.

Jadi, elaklah membuat tuduhan terhadap seseorang sebaliknya menilai seseorang itu mengikut kadar yang kita lihat secara zahir. Sebenarnya, orang yang riak dapat dilihat pada tingkah laku, ucapan dan kata-katanya. Jika seseorang itu bertindak atau menyatakan sesuatu melebihi daripada kadar biasa, kemungkinan hatinya sudah riak. Namun, berdasarkan itu pun kita tidak boleh menuduhnya riak.

Walau bagaimanapun bagi seseorang individu yang dapat mengesan dirinya sebagai riak seharusnya berusaha untuk tidak meneruskannya. Sebagai contoh, seseorang yang berjaya melakukan solat tahajjud pada malam hari, maka pada keesokannya dia cuba hendak menceritakan kepada kawan-kawannya apa yang dilakukan pada malam hari. Jika dia sedar ketelanjurannya itu, seharusnya dia bertaubat dan tidak menceritakan semua itu kepada orang lain.

Riak Tanpa Sedar

Seseorang itu juga boleh dikategorikan sebagai riak apabila dia tidak mahu melakukan kebaikan kerana takut dituduh riak. Inilah riak yang sering dilakukan tanpa sedar. Sebagai contoh, seorang bertanya kepada kawannya, “mengapa kamu tidak mahu pakai tudung” atau “bila kamu nak pakai tudung?” dengan beraninya dia berkata, “aku tidak mahu pakai lagi waktu ini kerana takut orang kata aku riak.”

Nauzubillah, ucapannya yang pendek itu sebenar sudah dinilai oleh Allah sebagai riak. Inilah yang sering kita dengar dari lidah umat Islam. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu adalah dosa, dosa riak, dan dosa syirik secara tidak sedar.

Umat Islam khususnya yang membaca artikel ini seharusnya berubah daripada terus memperoleh dosa secara tidak sedar ini. Ketahuilah dosa riak dalam bahagian ini banyak mengundang kemusnahan kepada amalan individu Muslim.

Islam semangat Vs Semangat Islam

Oleh Ummu Wahedah

Bualan pagi ini dengan rakan baik saya hanya bualan biasa selain bertanya khabar seminggu. Kebetulan hari ini rakan-rakan saya yang berkerja sebagai guru mula bercuti tetapi ada juga yang masih perlu menyelesesaikan tugas tambahan di Sekolah. Kesian guru, kesihan murid. Mana tak kasihan, murid tadika pun dibekalkan 'home work' untuk memenuhi masa lapang mereka.

Bualan biasa akhirnya menyentak minta saya bila rakan saya memberitahu yang seorang tukang rumah yg biasa membuat kerja pembaikan di rumah saya, khabarnya akan pergi ke muktamar PAS di Melewar. Saya tak brapa ambil kesah sebab saya tak bercadang nak pergi. Saya kata 'biar betul, dia orang PAS ker?." Saya bertanya seolah2 rakan saya bercakap bohong. "eh, kenapa tak percaya? Dia org PAS la" kata kawan saya.


Tak sangka pulak. Sebab hari tu dia betulkan tangki air dirumah saya dari pagi sampai petang tak ada nampak pun break untuk sembahyang pun. Lalu jawap kawan saya "biasalah".. .. ya mungkin biasalah fenomena begitu sekarang agaknya. Islam semangat tetapi semangat Islam tak ada,roh Islam tak ada..semangat melawan UMNO sahaja yg berkobar.


Bila saya fikir2 semula, benarlah fenomena ini semakin menjadi lumrah. Bukan sahaja di alam nyata, malah di alam maya. Rata2 kesedaran politik dan kebencian kepada parti yang memerintah semakin meluap tetapi kesedaran untuk melengkapkkan diri dengan ilmu dan beramal masih di takuk lama juga.

Lihat sahaja blog yg berkobar2 melaporkan atau mengambil laporan pihak pembangkang, mengutuk pemerntah seperti tak ada langsung baiknya. Tetapi pada masa yang sama iklan lagho,iklan buat duit, iklan mengkayakan orang kafir, gambar2 wanita separuh bogel masih menghiasai laman/blog mereka tanpa rasa bersalah. Mereka tak rasa bersalah kerana iklan itulah sumber pendapatan mereka untuk membiayai kos menyelenggara blog mereka. Iklan wanita tak brmaruah adalah daya tarikat supaya dapat ramai pengunjung.

Mereka tak rasa berdosa sekalipun menayangkan 'video' tak senonoh ahli politik yg mereka benci sedangkan Islam melarang mengaibkan sesama muslim. Kalau orang buat perkara maksiat dalam rumah atau dalam bilik mandi, apa hak kita nak tayangkan ke pengetahuan awam? gambar artis berkemban apa jadahnya nak ditayang dilaman web pro pembangkang..bukankah ini memalukan?

Sepasang mata memandang gambar separuh bogel wanita yg mereka siarkan di blog, berapa banyak dosa yg dikutip secara affilate oleh blogger?. Bukan program janawang sahaja yg ada affiliate, dosa pun ada .Kerana Blogger yg sediakan bahan maksiat mata, pembaca tengok maksiat baca bahan umpat keji. Kedua2nya dapat saham. Orang yg dalam gambar dah tentu tak tutup aurat, orang diluar pula yg telan air liur menahan siksa mata. Rakan lawan politik pula akhirnya melawan dengan menghina ulama pihak lawan pula... bila nak berakhir?.

Kadang-kadang saya tak faham cara ummat kita berfikir. Apakah mereka lupa akan pepatah melayu, untung sekarung rugi seguni. Pahala apa yg kita nak kejar sedangkan kita bergelumang dengan maksiat. Apa guna hadir perhimpunan kalau solat 5 waktu pun belum disempurnakan.? Apakah hujjah kita dihadapan Allah kelak jika bacaan solat kita pun banyak salah dan kita menghabiskan masa mengipas orang politik? Kita beralasan tak ada masa berguru/belajar ttp ada masa untuk bermuktamar dan dengar ceramah politik.Ada masa pula nak cari gambar2 tak senonoh dalam internet. Harap2 ada orang politik yg sedarkan pengikut2 mereka ni.

Sumber: Dari blog saya : Memacu minda ummah.

Tangan yang terbakar

AgamaOleh -AA-

PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

“Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala,” rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, “Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?”

“Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar,” kata gadis itu lagi.

Rasulullah pun bertanya kepadanya, “Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu.”

“Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

“Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia,” terang gadis itu.

“Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?” tanya Rasulullah.

“Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar,” jawab gadis itu.

“Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?” tanya Rasulullah lagi.

“Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah,” cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, “Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka”.

Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya.”

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

Dosa merosakkan hati

AgamaOleh Mat Ismail

Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:- "(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".

Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat kepadaNya.


Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata:- "Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya". Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu kepunyaan Allah jua". Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka yang taat lapang dadanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)". Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya. Ibnu Abbas berkata:- "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya".

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat". Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)". Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.

Ubah sikap anak pemalu

KeluargaOleh HM

ADA ibu bapa yang resah memikirkan cara hendak mengubah sikap anak yang pemalu hingga mungkin dianggap sesuatu yang agak negatif. Berikut antara cara membantu si anak menghindari rasa malu iaitu:

# Buat permulaan, jangan sesekali memberitahu anak dia pemalu atau memanggilnya dengan pelbagai gelaran.


# Mereka sedar mengenai perasaan malu yang wujud dan tidak memerlukan orang lain menekankan perkara itu. Sebaliknya, berikan pujian ketika dia tidak malu seperti kebiasaan. Biarkan anak tahu anda suka apabila dia lebih bijak bersosial dan berinteraksi.
# Berikan peluang kepada anak untuk merasai interaksi sosial seperti menjemput rakan ke rumah atau menghadiri perjumpaan biasa.
# Biarkan anak meluangkan masa bersama orang yang mereka berasa selesa untuk membina harga diri dan kemahiran bersosial sebelum membawa mereka ke tempat lebih sesak.



# Kanak-kanak belajar menerusi pemerhatian dan meniru apa dilakukan ibu bapa. Jadi, ibu bapa perlu memberi contoh dengan bersosial dan menjaga perlakuan diri.

# Anak-anak yang melihat ibu bapa mereka bersosial dengan orang lain akan cuba menjadi tidak pemalu.

Tetapi ini tidak bermakna anda patut memaksa anak melakukan sesuatu di luar kemampuan dan kerelaannya. Berikan dorongan apabila perlu dan cuba bantu mereka menyesuaikan diri.

# Galakkan anak mencuba aktiviti baru dan berkomunikasi terhadap perasaan anda. Melalui dorongan, anak akan berasa selamat dan selesa untuk mengetahui tiada apa yang perlu ditakutinya.

# Memberi anak peluang mencuba pelbagai aktiviti dan hobi berbeza sebenarnya membenarkan anak bersosial dengan orang lain serta memperkenalkan mereka kepada orang yang memiliki minat serupa.

# Ingatlah anak-anak berupaya 'menangkap isyarat senyap' dengan mudah. Sekiranya anda berasa gelisah, si anak juga akan perasan dan bertambah gemuruh kerana kegelisahan anda memberitahunya sesuatu yang buruk pasti berlaku.
# Kongsi pengalaman dengan anak. Biarkan anak tahu anda memahami perasaannya.

# Kita sebenarnya pernah melalui peringkat tumbesaran apabila kita berasa malu, gelisah dan takut.

Akhirnya, biarkan anak tahu perasaan malu bukan satu kecacatan dan tiada yang perlu dimalukan. Katakan kepada anak, dalam kebanyakan situasi, ia tidaklah begitu menakutkan dan menjadi tanggungjawab anda untuk membantu mereka.

# Situasi atau keadaan yang membuatkan seseorang anak gelisah dan takut boleh dipermudahkan apabila anda menerangkan perkara sebenar kepada mereka.

OIC Harapkan Peranan AS Sebagai Broker Jujur Di Timur Tengah

Oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengharapkan peranan Amerika Syarikat sebagai broker jujur dalam proses damai Timur Tengah, di bawah teraju Presiden Barack Obama, kata Setiausaha Agungnya Prof Ekmeleddin Ihsanoglu.

Beliau berkata ucapan Obama di Cairo University minggu lepas mencerminkan hasrat AS membuka lambaran baru dengan dunia Islam, dan memberi isyarat satu pendekatan yang lebih berimbang di pihak Pentadbiran AS ke arah menyelesaikan krisis, khususnya konflik antara rakyat Israel dan Palestin.

Yang penting, katanya, ialah hakikat bahawa Obama, yang menjadikan keamanan Timur Tengah prioriti dasar luar yang utama, berikrar bahawa AS "tidak akan membelakangkan aspirasi sahih rakyat Palestin bagi mendapatkan maruah, peluang dan sebuah negara mereka sendiri".

"Kami berharap (mendapat) broker yang jujur, yang selama ini tidak wujud, dalam proses damai ini. Kami harap AS dapat memainkan peranan itu," kata Ihsanoglu kepada Bernama Sabtu lepas selepas menerima anugerah Panglima Setia Mahkota, yang membawa gelaran Tan Sri, oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka.

Pada akhir majlis, Ihsanoglu yang berasal dari Turki, menjunjung kasih kepada Seri Paduka dan berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana menerima anugerah itu. Ini kali pertama seorang setiausaha agung OIC menerima gelaran sedemikian.

"Gelaran ini, yang dianugerah atas perakuan Perdana Menteri Malaysia, adalah satu pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan sumbangan Setiausaha Agung kepada Malaysia dan juga kepimpinan cemerlangnya di OIC dalam memelihara nilai-nilai sosial dan ekonomi Islam dan memupuk solidariti Islam di kalangan negara-negara anggota OIC," tegas satu kenyataan OIC.

Sementara itu, Setiausaha Agung OIC yang hadir di majlis ucapan di Kaherah, berkata ucapan berkenaan menyentuh beberapa perkara yang beliau timbulkkan dalam sepucuk surat terbuka kepada Obama, yang diterbitkan oleh New York Times dan International Herald Tribune pada 20 Jan.

"Dalam surat itu, saya nyatakan bahawa kita mahu mengadakan persahabatan baru dengan AS, yang dibina atas dua prinsip. Pertama, saling menghormati, kedua, kepentingan bersama. Jika kita bina persahabatan atas dua tapak ini, saya kira perhubungan akan seimbang dan memenuhi kepentingan kedua-dua pihak," kata beliau.

Ihsanoglu, yang gembira dengan hakikat bahawa Obama menonjolkan OIC dalam ucapannya, berkata negara-negara anggota kumpulan itu, akan melihat bagaimana Washington mengambil langkah selanjutnya berdasarkan "perisytiharan muhibah ini" bersama dasar dan tindakannya.

Mengenai pengumuman Obama tentang usaha baru global dengan OIC bagi menghapuskan polio, Setiausaha Agung itu berkata beliau mengharapkan kerjasama dengan Pentadbiran AS dalam "usaha genting ini, yang menjadi prioriti utama kepada OIC".

Mengenai keputusan Presiden itu untuk meluaskan persahabatan bagi mempertingkat kesihatan anak dan ibu, beliau menyatakan kesediaan OIC untuk mengambil segala langkah perlu berdasarkan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dalam bidang spesifik antara Setiausaha Agung OIC dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Disember 2008.

Mengenai penilaian beliau terhadap OIC yang telah wujud selama 40 tahun, beliau berkata beliau gembira bercakap mengenai badan itu di Malaysia, di mana Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman menjadi pengasas dan setiausaha Agung pertama OIC.

"Ia punya banyak sejarah, dan OIC telah berkembang luas, kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu. Ada deretan panjang negara-negara yang menunggu untuk menjadi ahli atau pemerhati. Kita mempertimbangkan ini dengan positif".

Ihsanoglu berkata OIC, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini, telah berusaha dalam beberapa tahun ini untuk mencari penyelesaian kondusif ke arah mewujudkan keamanan di negara-negara Islam, katanya.

OIC yang dianggotai 57-negara dan berpangkalan di Jeddah mewakili 1.5 bilion Muslim di seantero dunia. Malaysia menjadi pengerusi pertubuhan ini antara 2003 dan 2007.

"OIC sentiasa aktif pada peringkat antarabangsa dan ia agak berlainan daripada sebelum ini. Kita bekerja pada asas dan aspirasi yang yang sama dengan Tunku Abdul Rahman, dengan objektif untuk meletakkan ummah Islam di bawah satu payung, tetapi dengan satu bahasa, semangat dan modus operandi baru."

Mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap badan itu kerana reaksi pasifnya dalam penganjuran utama berkaitan negara-negara Islam, Ihsanoglu, yang telah memegang jawatan itu sejak 2005, berkata: "OIC telah berubah banyak, sebagai contoh usaha kejayaannya dalam membanteras keganasan mazhab di Iraq dan memberhentikan pertumpahan darah."

Yang lain termasuk mmemberika bantuan kemanusiaan kepada Somalia dan Tunisia serta mangsa gempa bumi di Pakistan. Ia membabitkan diri dengan minoriti Islam di Mindanao, Filipina dan Pattani di Thailand, kata beliau.

Pada Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Luar di Damsyik, Syria bulan lepas, anggota majlis mencadangkan bahawa OIC hendaklah diberikan lebih kuasa untuk menangani konflik di negara-negara Islam.

OIC juga memasukkan kemajuan dalam saintifik dan teknologi sebagai satu keutamaan agendanya. Salah satu usaha segera ialah untuk memberikan ranking kepada 20 universiti terbaik di negara-negara anggota OIC dan mempromosikannya di bahagian lain di dunia.

Mengenai perdagangan intra OIC, beliau berkata krisis kewangan global telah menimbulkan insentif tambahan untuk perdagangan di kalangan negara-negara anggota, dengan sesetengah negara, yang menghadapi kesukaran dalam mengeksport barangan mereka ke tempat lain, kini berdagang antara mereka sendiri.

Seperti yang disasarkan di bawah Program Tindakan 10 tahun OIC, yang diterima pada Sidang Kemuncak Islam sesi tergempar ketiga di Mekah pada Disember 2005, beliau berkata, perdagangan intra dijangka mencecah 20 peratus sebelum 2015.

"Kita kini pada 17 peratus, dan bergerak sangat cepat sejak tiga hingga empat tahun lepas. Kita berusaha dengan sangat baik, menganjurkan pameran, festival dan forum ekonomi di pelbagai bahagian dunia untuk mempromosikan perdagangan intra," kata Ihsanoglu.

-- BERNAMA