assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Khamis, 19 Ogos 2010

Laut terbelah di Korea


Ratusan ribu pelancong banjiri Jindo setiap tahun untuk merasa sendiri kejadian laut terbelah.
Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam
APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.
Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.
Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.
Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.
Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.
Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.
Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.
“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.
Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.
Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.
Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”
Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.
Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.
Kisah Nabi Musa belah samudera
Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.
Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.
Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap – di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.
Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.
Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.
Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.
Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.
Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.
Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.
INFO: Laut terbelah Jindo
· Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
· Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
· Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
· Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
· Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun

Rabu, 18 Ogos 2010

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

Jumaat, 13 Ogos 2010

Innalillah....

Salam, shbt smua,

2 org Sahabat kita Tn, Hj. Mazlan dan Ust. Idris, terlibat dalam kemalangan petang semalam berhampiran tol Sg.Buloh. Hj. Mazlan memandu U. Idris memboceng.
Menurut cerita U.Idris tayar belakang motor bocor, dlm terhuyong-hayang Hj. Mazlan bjaya mengawal motor hingga ketepi l/raya, ttp gagal mengawal disana dan terbabas.
Izin Allah shbt al-Ikhlas Sdr. Khalid lalu berkereta dan mengecam motor Hj. Mazlan dan berhenti memberi bantuan dgn mengambil brg bharga dan memanggil ambulan.

Kondisi 1. Hj. Mazlan - patah beberapa tulang rusuk kiri dan kanan masuk wad 5C Hos. Sg. Buloh, keadaan stabil.
2. Ustz. Idris - Patah tulang Bahu kanan dah balik kerumah malam semalam.

Ujian di Ramadhan kali ini utk 2 shbt kita ambil ikthibar dan berdoa utk keselamatan mereka supaya lekas sembuh dan meneruskan perjuangan memartabatkan Syiar Islam di bumi Malaysia ini.

Aaminn2..... Ya Rabbalalamin
Wassalam

Istiqamah Amalan Sepanjang Ramadhan.

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat Ilahi kepada hambaNya, kerana hanya Ramadhan disebut namanya oleh Allah di dalam Al-Quran, sedangkan bulan-bulan lain tidak dinyatakan namanya oleh Allah. Ini satu penghormatan Ilahi kepada Ramadhan serta pengisytiharaan Ilahi kepada seluruh umat manusia. Lantaran itu kehadiran Ramadhan hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif positif bagi menjadikannya pemangkin kepada perubahan.

Antara musuh utama yang diisytiharkan oleh Allah bagi manusia ialah syaitan, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka hendaklah kamu perlakukannya sebagai musuh”. Syaitan yang menjadi musuh utama itu telah dibelenggu oleh Allah sepanjang Ramadhan.

Ini satu lagi rahmat Ilahi kepada hambaNya dalam bulan Ramadhan.
Menyedari syaitan bukan lagi menjadi halangan bagi muslim sepanjang Ramadhan, maka yang tinggal hanyalah hawa nafsu yang juga menjadi keperluan manusia. Nafsu bukanlah semua negatif, kerana adanya nafsu mutmainnah yang membina nilai positif, hanya nafsu amaarah yang mendorong ke arah nilai negatif.

Maka mengenal sifat nafsu amaarah sangat penting, kerana nafsu ini secara sendiriannya ia tidak mendorong ke arah keburukan, hanya ia berhajat kepada faktor lain bagi membentuk sikap negatif dalam jiwa manusia. Seperti sifat pemarah yang dihasilkan dari ego, takabbur, makanan yang mengandungi kadar kolestrol tinggi, daging, persekitaran yang membosankan serta tekanan hidup.

Maka factor-faktor pendorong inilah yang perlu dijauhi agar nafsu amaarah tidak bergelojak dalam diri seterusnya mendorong kepada keburukan. Jadikan Ramadhan sebagai titik tolak (turning point) kepada perubahan positif dalam diri.

Untuk melakukan perubahan adalah sesuatu yang sangat sukar dalam kehidupan manusia, apatah lagi kalau sesuatu itu telah sebati dalam diri mereka atau telah lama dilakukan sehingga ianya menjadi budaya bagi dirinya. Seperti mendedahkan aurat. Bagi sesetengah wanita yang biasa tidak memakai tudung, sehingga ia rasakan perkara tersebut sebagai perkara biasa seolah-olah bukan lagi satu dosa.

Kedatangan Ramadhan sebaiknya dijadikan titik tolak memulakan kehidupan baru sebagai wanita Islam dengan memulakan memakai tudung, serta menutup aurat dengan sempurna. Mendirikan solat berjamaah dan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan diri kepada Allah. Ia sangat ringan untuk memulakan di awal Ramadhan ini.

Keghairahan di awal Ramadhan sangat menyeronokkan, bila mana surau dan masjid dipenuhi oleh pelbagai golongan bagi mendirikan solat tarawikh. Hal ini perlu dikekalkan sehingga penghujungnya dan berterusan selepas itu.

Namun yang biasa kita lihat semakin hamper ke penghujung Ramadhan, semakin berkuranglah jamaah. Sedangkan diakhir Ramadhan lah dipenuhi dengan hari-hari Allah melepaskan manusia dari azab neraka.
Persoalannya bagaimanakah untuk istiqamah. Maka empat jalan yang disarankan:

* Lakukan amal ibadah secara sederhana, ringan tetapi berkekalan. Jangan ghairah di awal sehingga menjemukan.

* Memikirkan banyaknya kesalahan dan dosa dengan Allah, yang menuntut kita membanyakkan bekalan amal ibadat dan bertaubat dari dosa tersebut.

* Semua keberkatan, rahmat dan keampunan yang ada dalam bulan Ramadhan akan berakhir, maka kita mesti mengambil peluang ini sebelum ianya berakhir.

* Mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan akhir dalam kehidupan kita, maka kita mesti mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Ya Allah, jadikalah awal Ramadhan ini sebagai hari-hari terbaik dalam kehidupanku, dan jadikan aku orang yang sabar dipertengahan Ramadhan dan perkuatkan imanku pada akhir Ramadhan agar dengannya aku dikasihi olehMu, diampuni seluruh dosaku dan diberkati baki-baki dari umurku.” Amin…

Dipetik dari blog Tuan Ibrahim Tuan Man

Perlantikan Pemimpin

Oleh Al-bakistani

Tugas pemimpin adalah 'khalifah fi al-ard', iaitu melaksanakan agama dan mentadbir bumi dengan agama. Mereka adalah pengganti para nabi yang merupakan 'duta' Allah di atas muka bumi ini.Para nabi itu pula hadir, atas perlantikan dari Allah SWT. Dan lantikan Allah, sudah pasti adalah yang paling baik untuk manusia.

Adapun pemimpin yang merupakan pengganti Nabi, ia tidak boleh terus menabalkan dirinya sebagai pemimpin tanpa persetujuan rakyat. Jika tidak, ia akan melahirkan kekacauan dan kecelaruan.

Tindakan ini, dilakukan sendiri oleh para sahabat terdahulu. Abu Bakar As-Siddiq tidak menabalkan dirinya sebagai Khalifah Rasulillah SAW, sebaliknya setelah dibaiah baru Abu Bakar bertugas sebagai Khalifah. Begitujuga berlaku kepada khalifah yang lain, seperti Umar bin Al-Khattab, Usman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Ada pihak menolak konsep ini, seakan-akan mereka mahu mengatakan bahawa pemimpin mereka itu seperti wakil tuhan. Jika inilah keadaan dan system mereka, ia tidak ada beda dengan konsep teokrasi dan dictator atas nama tuhan, seperti yang dilakukan oleh paderi-paderi di zaman kegelapan eropah terdahulu, waima mereka menggunakan istilah-istilah Islam untuk menegakkan konsep mereka.

Dalam Islam, perlantikan itu terletak kepada orang bertaqwa. Ekoran itu, Allah SWT ada berfirman;

وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya;
"[mereka berdoa] jadikan kami menjadi pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa"

(Al-Furqan : 74)

Dalam ayat ini, amat nyata bahawa Allah SWT mencadangkan kepada satu doa yang kandungannya meminta agar kita memohon kepada Allah SWT menjadi ketua atau pemimpin dari kalangan orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

persoalannya, apakah orang melantik kita atau tidak? Maka itu bukan perkara penting. Kita tidak dituntut supaya melobi, dan kempen agar orang lain lantik kita sebagai pemimpin. Tetapi, apabila Allah SWT hendak kita menjadi pemimpin, tanpa kita kempen pun, automatik orang akan memilih kita sebagai pemimpin.

Soalnya, bagaimana hendak dipilih oleh Allah SWT? Tidak lain dan tidak bukan, kita perlu menjadi manusia yang terbaik dan paling taqwa dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Menjadi kebiasaan dalam kehidupan ini, bahawa seseorang ketua itu dilantik dari kalangan orang yang terbaik dari kalangan mereka. Contohnya dalam sesebuah syarikat. Semua ahli lembaga pengarah akan melantik kita sebagai pengarah, jika mereka sendiri nampak dan percaya kita adalah yang terbaik dalam menjadi ketua syarikat.

Maka begitujuga jika kita dilantik menjadi ketua dari kalangan orang yang bertaqwa. Apabila rata-rata rakyat bertaqwa kepada Allah, secara automatik, mereka akan melantik orang yang paling bertaqwa dari kalangan mereka sebagai pemimpin.

Kesimpulannya, kebanjiran manusia bertaqwa menyebabkan lahirnya masyarakat bertaqwa. Apabila masyarakat bertaqwa, ketika itu secara majoriti rakyat akan memilih orang yang paling bertaqwa sebagai pemimpin.

Mungkin ada benarnya ungkapan menyebut, "Pemimpin yang bodoh, akan dilantik oleh majoriti rakyat yang mudah diperbodohkan"

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

Kelantan lancar matawang syariah dinar, dirham


Kelantan berhasrat menjadi negeri pertama mempelopori penggunaan emas dan perak yang dikenali mata wang syariah emas dinar dan perak dirham.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urusniaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya.

"Kita bercadang mengamalkan semua urusniaga dan membayar gaji kakitangan menggunakan mata wang syariah, iaitu dinar emas dan dirham ini secara menyeluruh tidak lama lagi," katanya pemberita selepas majlis pelancaran dinar emas di Kota Bharu, hari ini.

Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

Nik Abdul Aziz, yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurusniaga di premis mereka.

Selain itu, Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurusniaga.

Beliau berkata, tidak ada sebab urusniaga mengunakan mata wang syariah ini tidak boleh diamalkan di negeri ini kerana penggunaannya telah diamalkan sebelum kejatuhan Kerajaan Othmani di Turki.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pihak menggunakan mata wang syariah itu secara menyeluruh dan bukan untuk negeri ini sahaja.

- Bernama

Rabu, 11 Ogos 2010

LIST OF HALAL HOTELS! PLEASE SHARE

Salam,

Tidak lama lagi bulan Puasa bakal menjelma. Hotel akan menjadi tempat persinggahan untuk berbuka puasa bagi yang berkemampuan. Namun, agak terkejut apabila membaca Berita Kosmo bahawa HAnya 32 Hotel Halal Menjelang Ramadhan . Antara serba sedikit ulasan di Metro Itu adalah :

1. Rekod Jakim sehingga semalam (23 Julai 2010) mendapati hanya 63 buah dapur di 32 hotel daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara mempunyai Sijil Halal Malaysia.

2. Memandangkan bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi, pasti banyak majlis berbuka puasa akan diadakan di hotel-hotel. Jakim akan menyediakan pegawai khusus untuk memproses permohonan sijil halal itu tanpa pihak hotel perlu mengikut giliran," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Agak terkejut kerana rasanya terlalu banyak Hotel yang menyediakan Pakej Berbuka Puasa Ketika Ramadhan namun hanya segelintir sahaja yang betul-betul mendapatkan sijil halal. Kenalah lebih berhati-hati selepas ini.

Hotel 5 Bintang :
1) Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya
2) Hotel Evergreen Laurel , Pulau Pinang
3) Hotel Grand Dorsett, Labuan
4) Hotel Pan Pacific KLIA
5) Hotel Legend , KL
6) Hotel Grand Bluewave , Shah Alam
7) Tradewinds Hotels & Resorts, Johor Bahru
8) Hotel Istana, Kuala Lumpur

Hotel 4 Bintang :
1) Hotel Ancasa Kuala Lumpur
2) Hotel Cititel Pulau Pinang
3) Hotel Crystal Crown, KL
4)Hotel Grand Seasons, KL ( latest : telah ditarik lesen halal!!!)
5) Hotel Armada, Petaling Jaya
6) Hotel Seri Malaysia, Alor Setar
7) Hotel Ming Court, KL
8) Hotel the Summit, USJ Subang
9) PNB Darby Park, Executives Suite, KL

Hotel 3 Bintang :
1) Hotel Brisdale International, KL
2) Hotel Dynasty, KL
3) Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands
4) Hotel Seri Malaysia, Marang
5) Hotel KL, Jalan Raja Muda
6) Hotel Nilai, Negeri Sembilan
7) Hotel PG, KL
8) Hotel Puteri Park, KL
9) Hotel Quality, KL
10) Hotel Residence , Kajang
11) Hotel The Paramount, Sibu
12) Hotel Plaza, KL

Dua Bintang :
1) Hotel Seri Malaysia, Kuantan
2) Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani
3) Hotel Seri Malaysia , Bagan Lalang

Sumber : Berita Kosmo dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Naif sungguh rasa diri ini, tahun-tahun sebelum ini tak pernah semakpun senarai hotel yang ada sijil halal sebelum makan. Asalkan hotel tu nampak Islam dan ramai pengunjung Islam pergi sana, terus je terjah. Walaupun setiap tahun hanya sekali dua sempat berbuka special di hotel, namun tetap tak menyemak terlebih dulu dan ikutje rakan yang lebih alim dan arif dalam hal camni. Tak sangka pula dalam beribu-ribu hotel, tak sampai 50 sahaja yang dapat sijil halal dari JAKIM.