assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Jumaat, 12 Februari 2010

Memelihara aib orang

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

SEBAGAI orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan al-sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini.

Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu, kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengembara dibekalkan dengan penunjuk arah.

Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Justeru, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, "Just do it". Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto itu. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan itu.

Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?

Walaupun seorang Muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu adalah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri sendiri mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini adalah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Jadi, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri sendiri.

Namun, apabila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Malangnya, ramai orang Islam lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan, menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu, mahupun menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.

Malah, ada yang mengaut keuntungan daripada keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?

Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan itu mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam daripada menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan itu, ia menjadi fasik, maka hendaklah bertaubat. Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya," ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…". Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?

Dalam pengenalan beliau mengenai surah al-Hujurat ini, Abdullah Yusuf Ali, dalam terjemahan al-Qurannya menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar ketua dihormati, khabar angin diselidiki, damaikan dua pihak yang berkelahi, manusia lain jangan dicemuh atau diperlekeh, jangan melabel orang dengan perkataan yang buruk, jauhi prasangka, jangan mencari salah dan keaiban manusia, jangan mengumpat dan berkenalanlah sesama manusia.

Amat malang sekali apabila umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat tidak mengambil manfaat daripada panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya. Jadi, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding dengan masyarakat Barat atau Timur yang tiada 'kompas' penunjuk jalannya?.U/M

PENULIS ialah Fellow Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Hari Valentine bertentangan syariat Islam

Oleh Mohd Shukri Hanapi

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa.


Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.
Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak.

Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'. Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka. Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.

Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga. Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini.

l Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

l 'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.
B/H

KELEBIHAN LELAKI PADA AKALNYA

Email : mohd naim mohd zain

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.

Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

dipetik dari RAHSIA PERKAHWINAN

Khamis, 11 Februari 2010

Keberkatan surah al-ikhlas

Email : mohd.raziff


Ketika Memulakan Kerja

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum Masuk Ke Rumah

Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Ketika Sakit

Sabda Rasulullah S..A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).


Khatam al-Quran

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.
Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.

Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran. Pahala membacanya

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.

Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka :
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi : Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a..s.

Nota

Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW : 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
(1) Sedekah/amal jariahnya,
(2) Doa anak-anaknya yang soleh dan
(3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

…Wallahu a'lam

Thanks & Regards,
Mohd Raziff
New Business Support (Endorsement)

Rabu, 10 Februari 2010

Rahsia Taugeh


Menu TAUGE untuk hidangan makan tengah hari mahupun makan malam sering kali dipandang sebelah mata oleh kebanyakan kita.
Tauge dilihat sebagai hidangan yang langsung tidak menyelerakan.

Tapi tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat.

Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.

Bagaimanapun, khasiat tauge tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.

Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia ya berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

Selain itu, tauge juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam tauge dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis)

Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus.

Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka.

Saponi dalam tauge, menghalau "lemak jahat" LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.

Selain sarat DNA, tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda.

Satu lagi khasiat tauge yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser.

Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser.

Selepas membaca kebaikan sayur tauge janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya.
Jadi apalagi,

JOM kita ramai-ramai makan tauge hari-hari.

Masalah masyarakat kita serius

Setiap 17 minit seorang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia.
Dan perkara ini berlaku setiap jam, setiap hari dengan kadar yang
semakin meningkat.

Malangnya perkara ini bukan tajuk utama akhbar. Umat Islam di
Malaysia leka dengan cerita sensasi , cerita politik , cerita artis di akhbar.

Lupa kerja dakwah, lupa ingat mengingati untuk sembahyang, lupa ke masjid.

Cinta DUNIA, Takutkan MATI. Inilah Virus W1H1N iaitau WAHAN yang
sedang melanda umat Islam sekarang ini.

Itu yang direkodkan 83 anak luar nikah setiap hari, yang tidak direkodkan ?

Jangan lupa, kita di akhirat nanti sendiri-sendiri.

************ ********* ********* ********
STATISTIK ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri
daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak
berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran.
Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran
anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor
sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian
bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa
catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada
setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes
pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran
kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003)
30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan
adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

http://berita- harian-online. com/statistik- anak-luar- nikah-di- malaysia/

Selasa, 9 Februari 2010

NEW CRIMINAL TACTIC

Dear friends,
Ni cerita penuh kejadian yg menimpa staff PPMSB semalam.

MELAKA: “Saya terperanjat apabila lelaki itu tiba-tiba menerpa ke dalam kereta sebelum terus memandu kerana enjin tidak dimatikan ketika ayah turun melihat kerosakan akibat dilanggar dari belakang.

“Badan saya menggigil dan dalam keadaan kelam-kabut itu terpaksa menjerit sekuat hati serta menumbuk bahu lelaki terbabit berkali-kali sebelum menyuruhnya berhenti,” kata pelajar wanita Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim), Norfadzilah Nazirah Ghazali, 18, ketika menceritakan detik cemas terselamat selepas beberapa minit dilarikan seorang daripada tiga penjenayah yang menyamun Toyota Wish dipandu bapanya, kira-kira jam 6.40 pagi semalam di depan Ozana Resort di sini.

Menurutnya, lelaki berusia 30-an itu dipercayai tidak menyedari dia duduk di bahagian belakang sebelum terkejut mendengar jeritannya lalu cuba merampas telefon bimbitnya.

Namun, katanya, dia dapat merampas semula telefon itu selepas bergelut dan memukul bahu lelaki terbabit yang turut menjerit dan mengarahkannya supaya terjun dari kereta.
“Tergamam dengan tindakan lelaki itu, saya nekad terjun keluar apabila lelaki itu memperlahankan kereta dan menyuruh saya terjun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Duyung, dekat sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia trauma kerana berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya dan sedang menduduki peperiksaan akhir semesta pertama di Kuim, Kuala Sungai Baru.


Sementara itu, bapanya, Ghazali Md Tion,44, kakitangan Petronas berkata, dia menyedari sebuah kereta mengekori rapat kenderaannya ketika memandu di Jalan Bukit Katil berhampiran simpang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Kali pertama saya rasa seperti kereta dilanggar tetapi tidak berhenti kerana was-was. Saya meneruskan perjalanan dan sebaik tiba di depan Ozana Resort Bukit Katil, sekali lagi terasa kereta dilanggar tetapi lebih kuat.

“Saya berhenti untuk memeriksa kereta dan berbincang dengan pemandu Proton Wira dengan nombor pendaftaran MAU 3632 sebelum lelaki terbabit meminta saya membuat laporan polis atau menyelesaikan masalah itu di tempat kejadian sebelum dia terus meluru masuk dalam kereta dan memandu serta melarikan anak perempuan saya.

“Saya terkejut dan cuba mengejar sebelum tersungkur dan luka di tangan dan muka,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kesakitan, dia cuba mengejar dan menjerit memanggil nama anaknya manakala Proton Wira yang dinaiki dua lelaki itu turut mengikut rakan mereka yang melarikan keretanya yang baru dibeli kira-kira 10 bulan lalu.

“Saya bersyukur kerana anak saya terselamat dan tidak cedera. Hanya Allah tahu betapa bimbang saya apabila melihat anak perempuan saya dilarikan.

“Macam-macam perkara buruk terlintas dalam fikiran ketika itu dan saya tidak kisah hilang kereta kerana lebih penting nyawa anak saya selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka.

Dia membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh berhubung kejadian itu.

Taktik Rompakan Di Lebuhraya Guna Telur Ayam!


Ni aku ada dengar satu cerita. Nak kata baru tu tak jugak lah. Cuma
sekadar peringatan buat kita semua, supaya sentiasa berhati-hati walau
di mana kita berada.

Kisah ni terjadi sewaktu member kepada member aku ni, Mat Hassan (bukan
nama sebenar) sedang memandu di Lebuhraya Kesas dekat Plaza Tol Puchong
menuju ke Kajang 23 Disember 2007 lalu lebih kurang jam 11 malam.

Dia bersama isterinya Tipah (juga bukan nama sebenar), pulang dari makan
malam di rumah adiknya di Bandar Sunway.

Kemudian, sebuah motosikal memotongnya. Si pembonceng tiba-tiba melempar
dua biji telur ayam ke arah cermin hadapan (windscreen) kereta Mat
Hassan. Habis kotor cermin tu, sampai susah nak tengok depan.

Mat Hassan yang terus ter-refleks, tariklah spray wiper. Apalagi terus
hilang pandangan hadapan! Langsung tak nampak apa-apa. Mana taknya,
telur tu bila diratakan dengan bilah wiper, makin memutih la kat atas
cermin tu dengan sebati dan sekata lagi....

Terus Mat Hassan berhenti mengejut di lorong kecemasan. Dia pun keluar
dari kereta, lap kesan telur tadi. Tipah pulak cemas je dalam kereta.

Tiba-tiba sebuah Proton Satria berhenti belakang kereta Mat Hassan. 3
orang lelaki sasa keluar dari kereta terus meluru ke arah Mat Hassan
dengan pedang Samurai sebilah seorang sambil menempik menyuruh diorang
serah diri - bagi kunci kereta, wallet, dan handset.

Nasib baik laa, nak dijadikan cerita, Mat Hassan ni polis. Polis apa,
aku pun tak tau (member aku tak citer pun). Terus dia keluarkan revolver
dia dan melepaskan 2 das tembakan kecemasan amaran ke udara.

3 lelaki tadi terus lari lintang pukang, melompat masuk macam orang
gila, ke dalam kereta dan terus blah, dengan lajunya, dengan tak bagi
isyaratnya...

Mat Hassan pun terus call bantuan, dan mereka akhirnya selamat. Kesan
telur pecah jer tak sempat nak lap lagi.

Modus operandi sebegini sebenarnya dah banyak digunapakai di lebuhraya.
Mangsa yang dituju biasanya golongan perempuan - lebih lagi yang bawak
anak kecil kat belakang.

Jadi, tolonglah kita sama-sama kena ingat. Bila perkara sebegini berlaku
kepada anda, pastikan:

1. Jangan sesekali tarik spray wiper;
2. Teruskan memandu dengan apa jua keadaan pun, ke mana-mana stesen
minyak, balai polis, 7-Eleven, atau mana sahaja tempat tumpuan
orang ramai.

Tolong pesan sekali kepada semua ahli keluarga, sedara mara dan rakan-rakan
Pandulah dengan selamat, wallahu a'lam.

P/s: Kadang-kadang bila kita dengar banyak cerita macam ni, kita akan
jadi lebih berhati-hati. . Bila perkara yang seumpama ini berlaku pada
kita, kita akan jadi lebih alert dan tindakan kita akan jadi lebih
proaktif dan berkesan.

Isnin, 8 Februari 2010

PERSOALAN GHAIB


Dalam Aqidah Islam –sekaligus Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah- antara persoalan asas ialah percaya kepada kewujudan yang ghaib. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah “Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib” (ayat 3). Namun perkara ghaib yang disuruh supaya kita percaya dan kita imani bukanlah yang berdasarkan khayalan kita atau mana-mana orang, akan tetapi berdasarkan wahyu Allah (al-Quran dan as-Sunnah). Hakikat perkara ghaib ialah perkara yang wujud dan ada tetapi tidak dapat disingkap oleh pancaindera zahir manusia.

Perkara ghaib bukanlah perkara yang tidak ada. Ia ada, cuma kita yang tidak dapat menanggapinya dengan mata, telinga atau deria-deria kita yang lain. Walaupun tidak nampak dan tidak didengari, namun tidak dapat kita nafikannya kerana yang mengkhabarkan keberadaannya ialah Allah, Tuhan yang menjadikan kita dan sekelian makhluk. Oleh itu, percaya kepada yang ghaib –dalam pengertian; percaya kepada perkara-perkara tidak nampak yang diberitakan kewujudannya oleh Allah dan

RasulNya dalam al-Quran atau as-Sunnah- adalah bukti keyakinan kita kepada Allah dan Rasul. Dalam pengertian lain, antara kandungan iman kita kepada Allah dan Rasul ialah percaya kepada segala yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasulnya termasuklah dalam perkara-perkara ghaibiyyat yang merangkumi;

1. Kewujudan makhluk-makhluk ghaib iaitu malaikat, jin, iblis, syaitan dan ruh.
2. Kewujudan alam-alam ghaib iaitu alam barzakh dan alam akhirat
3. Peristiwa-peristiwa di akhirat; syurga, neraka, mahsyar, titian/sirat, al-haudh dan sebagainya.
4. Sifat-sifat Allah dan perbuatan-perbuatanNya.

Oleh kerana perkara ghaib bukanlah perkara khayalan tetapi perkhabaran dari Allah dan Rasul, maka tidak harus sesiapa pun mereka-reka atau mengada-ngada cerita yang ghaib tanpa nas dari Allah dan Rasul (al-Quran dan as-Sunnah). Seorang yang mendakwa atau menceritakan tentang suatu yang ghaib sedangkan perkara itu tidak ada disebut di dalam al-Quran atau al-Hadis, ia sebenarnya telah berbohong. Sebagai contoh;

1. Mendakwa kayu kokka mempunyai khasiat tertentu seperti dapat menghalau jin, menjadi pendinding atau sebagainya termasuk mendakwa ia adalah kayu bagi tongkat Nabi Musa, bahtera Nabi Nuh dan sebagainya tidak harus dakwaan itu melainkan dengan adanya nas sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah. Jika tanpa nas, pendakwanya adalah berdusta kerana perkara ghaib bukanlah rasa-rasa atau agak-agakan, tetapi mesti dengan nas dan dalil Syarak.

2. Tidak harus mendakwa suatu bacaan atau suatu bahan menjadi pelindung melainkan mesti dengan nas Syarak. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. melarang tangkal sebagaimana sabda beliau; “Sesiapa menggantungkan tangkal, sesungguhnya ia telah syirik” (Riwayat Imam Ahmad dan ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.). “Sesiapa menggantungkan tangkal (dengan harapan Allah akan menyempurnakan hajatnya), Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya” (Riwayat Imam Ahmad dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.) Perhatikan, hadis yang kedua menggambarkan kepada kita bahawa pemakai tangkal sebenarnya waham; mereka merasakan tangkal memberi manfaat, namun sebenarnya itu hanya khayalan mereka sahaja kerana Allah tidak akan menunaikan hasrat mereka.

Seorang muslim tidak perlukan tangkal, azimat, jampi, mentera atau sebagainya. Bagi mereka, cukup dengan perlindungan Allah yang akan mereka perolehi dengan beribadah, bertaqarrub dan mentaati Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; “Peliharalah (hubungan kamu dengan) Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu” (Riwayat at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Jika ingin berdoa memohon perlindungan Allah, mereka hanya akan membaca ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir-zikir perlindungan yang maksur dari Rasulullah s.a.w..

3. Tukang tilik, tukang ramal dan tukang tenung adalah pekerjaan haram dan haram juga mendatangi mereka. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim). Sabda baginda juga; “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat).

4. Di antara yang diharamkan oleh Islam ialah melakukan tilikan atau ramalan melalui bintang. Malah mempercayai sempena bintang sudah dilarang oleh Nabi s.a.w. dan baginda menganggapnya sebagai kufur kepada Allah. Terdapat hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya; Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab; Allah dan RasulNya lah yang paling tahu. Baginda berkata; Tuhanmu telah berkata; “Di kalangan hambaku ada yang berpagi dengan beriman kepadaku dan ia kufur (kepada bintang). Adapun sesiapa yang berkata; kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, maka orang itu adalah beriman denganKu dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata; kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuriku dan ia beriman dengan bintang”. (Hadis ini terdapat di dalam Soheh Imam al-Bukhari dan juga Soheh Imam Muslim).

5. Tidak harus menyebut nama-nama malaikat melainkan dengan nama yang terdapat di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Kita biasa mendengar pengamal-pengamal perubatan traditional Melayu menyebutkan nama-nama yang pelik dalam jampi-jampi mereka. Bila ditanya, mereka menjawab; “Itu adalah nama-nama malaikat”. Maka perlu dijelaskan; orang yang mendakwa nama-nama malaikat, walhal nama-nama itu tidak ada di dalam al-Quran atau as-Sunnah, ia sebenarnya terbohong. Mungkin nama-nama itu adalah jin-jin yang dipujanya. Jika benar sekalipun nama itu adalah nama malaikat, perbuatan itu tetap berdosa kerana kita hanya disuruh berdoa kepada Allah dan dilarang kita menyengutukan Allah dengan sesiapa sahaja termasuk malaikatnya.

6. Melukis wajah jin atau melakonkan watak jin termasuk cerita-cerita hantu yang berleluasa dalam TV hari ini merupakan satu pendustaan dan pembohongan. Ia bertentangan dengan agama kerana akan menyuburkan kepercayaan khurafat dan karut marut di dalam masyarakat. Walaupun sekadar hiburan, tidak harus –di sisi agama- kita berhibur dengan perkara yang memudaratkan apatahlagi memudaratkan aqidah dan kepercayaan.

7. Batu-batu; mendakwa sesuatu batu itu mempunyai kelebihan; jika kelebihan yang didakwa itu dari sudut sains atau perubatan, terserahlah kepada ahli-ahli sains dan dan ahli-ahli perubatan untuk mengesahkannya sama ada benar atau tidak dakwaan itu. Namun jika kelebihan yang didakwa itu bersangkutan dengan perkara ghaib (seperti boleh menjadi pendinding, menyembuhkan penyakit secara ghaib, boleh menghalau jin, hantu dan sebagainya), maka orang yang mendakwanya mesti membawa nas Syarak. Jika tidak, ia adalah berdusta dan menggunakan agama untuk kepentingan diri.

Saidina ‘Umar r.a. tatkala mengucup Hajarul Aswad (batu hitam di penjuru di Kaabah), beliau berkata; “Aku mengetahui bahawa engkau hanyalah batu yang tidak berkuasa memberi mudarat dan juga memberi manfaat. Kalau tidak kerana melihat Rasullulah saw mengucupmu, nescaya aku tidak akan mengucupmu” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Seharusnya seorang muslim sentiasa berhati-hati dalam masalah aqidah termasuk kepercayaan dan keyakinan kepada perkara ghaib. Aqidah yang benar ialah yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah. Jangan benarkan sewenang-wenangnya sebarang maklumat tentang aqidah masuk ke dalam akal dan pemikiran saudara. Jangan terima maklumat tentang aqidah yang tidak menepati al-Quran dan as-Sunnah. Saudara perlu bertegas dengan diri saudara dalam perkara ini. Malah dalam semua ilmu, kita perlu ada ketegasan dalam memerhati sumbernya. Imam Ibnu Sirin (seorang ulamak tabi’in terkenal) pernah menasihatkan; “Ilmu adalah agama. Maka hendaklah kamu perhati dari siapa kamu mengambil agama kamu” (Soheh Muslim).

Wallahu a’lam.