assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Jumaat, 14 Oktober 2011

Queen Control, murahnya harga diri suami.


Abang! Saya nak keluarkan duit simpanan kita tu untuk beli banglo baru kat rumah mak saya. Senanglah kita selalu balik kampung emak bapa saya nanti. Emak abang tu jangan fikirkan sangat, ramai adik-beradik abang boleh jaga dia. Zainul hanya menunduk tak berani komen sepatah katapun sindiran isterinya itu. Dah setahun berlalu, kali terakhir dia berjumpa ibunya adalah ketika ayahnya meninggal dunia akibat sakit jantung. Adik-adik Zainul dah tawar hati dengan sikap abangnya yang tak bertanggungjawab. Sampai hati dia membawa isteri dan anak-anaknya bercuti ke luar negara padahal ayah mereka sakit tenat. Nak pinjam duit untuk bayar hospitalpun susah kerana semua duit Zainul dipegang oleh isterinya. Bagai lembu dicucuk hidungnya, segala keputusan berada di tangan isteri!

Isteri adalah insan yang paling istimewa di hati suami. Namun jika dia menyalahgunakan keistimewaannya itu, buruk padahnya. Bahkan isteri yang meletakkan harga diri suaminya di bawah telapak kaki, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada suaminya dan diancam dengan ancaman yang dahsyat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya aku melihat syurga, lalu aku memetik satu tandan buah dan seandainya aku memperolehinya nescaya kamu dapat memakannya selama usia dunia. Dan aku melihat neraka, aku tidak pernah melihat pemandangan seperti itu melainkan ia amat buruk, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat bertanya: ”Mengapa wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Kerana kekufuran mereka. Mereka bertanya: ”Apakah mereka kufur kepada Allah? Rasulullah bersabda: ”Mereka kufur kepada suami dan mereka kufur dengan kebaikan suami mereka. Seandainya kamu berbuat baik kepada seorang isterimu sepanjang tahun, lalu dia melihat satu kesalahanmu maka dia akan berkata: Aku tidak melihat satupun kebaikanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: ”Wahai para wanita! Bersedekahlah dan banyaklah beristighfar kerana sesungguhnya aku melihat ramai wanita sebagai penghuni neraka. Mereka bertanya: ”Mengapa wahai Rasulullah? Sabda baginda: ”Kerana kamu banyak mengutuk dan tidak berterima kasih (kufur) kepada suamimu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Benarkah kedua-dua sifat ini ’mengutuk dan tak tahu berterima kasih’ sering kelihatan pada diri seorang isteri yang berperanan sebagai Queen di rumah? Apa tidaknya kalau asyik nak mengamuk dan memaki hamun tak tentu pasal. Kadang-kadang atas sebab cemburu yang membabi buta, desakan ekonomi ataupun masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak. Queen control adalah sejenis penyakit gangguan emosi yang merosakkan daya kawalan mental seorang isteri. Simptomnya adalah seperti perasaan gelisah, takut dan risau yang berlebihan sehingga mahu menguasai suami dengan cara mengancam dan menyiksa perasaannya.

Jika anda menunjukkan tanda-tanda awal terjangkit penyakit Queen control ini, seelok-eloknya anda berjumpalah dengan Doktor nurani, yang boleh memberikan ubat keimanan dan ketakwaan. Selamilah dasar hati dan tanyakan pada diri sendiri berapa banyak dosa-dosa anda kepada suami? Kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: ”Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya reda terhadapnya, maka baginya syurga.” (Hadis daripada Ummul Mukminin Saidatina Ummu Salamah RA)

Betapa senangnya wanita memiliki syurga, semudah dia terjerumus ke dalam neraka. Semua itu berpunca dari hubungannya dengan suami. Amat besar amanah seorang isteri. Sehebat apapun seorang wanita, dia tetap isteri yang wajib taat kepada suami, dengan syarat ketaatannya itu tidak menyalahi syariat. Kalau wanita tidak mahu menerima fitrahnya ini, mereka boleh hidup sendirian, jangan berkahwin dan mengambil amanah sebagai isteri. Namun demikian sikap suami yang lemah dan penakut sebenarnya juga memberi pengaruh negatif kepada perilaku isteri. Suami yang selalu mengalah dan mengikut sahaja kehendak isteri menjadi punca masalah ’Queen’ ini berterusan.

Jika suami anda jenis lelaki yang terlalu baik dan tidak kisah sama sekali dengan sepak terjang anda, anda mesti berhati-hati! Mungkin suami dah tak sayangkan anda atau dia mempergunakan kebebasan anda itu untuk berbuat bebas di luar rumah. Keretakan rumahtangga hanya tinggal menunggu binasa. Sampai bila seorang suami akan sanggup bertahan dengan perangai pengongkong isterinya. Mungkin ketika anak-anak mereka telah dewasa dan mandiri keadaan akan berubah. Perceraian juga boleh berlaku atau suami memilih wanita lain yang boleh memberi ketenangan kepada jiwanya.

Sesungguhnya suami yang anda pilih sebagai teman hidup itu memiliki perasaan dan jiwa yang sama sensitif seperti anda. Dalam diamnya dia menyimpan rahsia. Adakah hari ini dia reda menerima anda sebagai isterinya? Jawapannya hanya anda yang tahu melalui hati budi sendiri.

Muslim Produktif


Pernahkah anda berfikir mengapakah di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika sekarang ramai manusia yang tergerak hatinya mahu mengkaji agama Islam. Fenomena ini terjadi selepas peristiwa tragis 11 September. Bangsa yang berjaya dan maju sedang berbondong-bondong masuk agama Islam tetapi sebaliknya di negara-negara mundur dan miskin ramai orang yang mahu murtad daripada Islam? Mengapa fenomena ini terjadi?

Mereka yang mengkaji Islam secara benar telah menemukan ajaran-ajarannya yang bersifat seimbang dan relevan. Islam tidak mengharamkan kemodenan, bahkan menjadi penggerak ke arah kehidupan maju dan moden. Tetapi Islam juga menyediakan ruang untuk mendidik rohani di tengah-tengah kehidupan yang serba materialistik. Islam bersifat mudah dan fleksibel, tata cara ibadatnya diatur oleh disiplin ilmu yang relevan sepanjang zaman. Islam sesuai dengan tabiat manusia yang memerlukan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan. Islam membawa fahaman yang universal, tidak jumud dan menolak keras praktik kerahiban. Seorang Muslim apabila dia berdiri sebagai Imam sembahyang, dia juga adalah seorang pemimpin, pentadbir, pejuang dan pekerja yang dedikasi

Sepertimana seorang orientalis terkenal bernama H.A.R. Gibb telah memuji tanpa segan silu tentang ajaran Islam. Beliau berkata: ”Islam bukanlah semata-mata ajaran ibadat dan upacara, bahkan Islam meliputi politik dan kenegaraan, sosial dan ekonomi, undang-undang dan kekuasaan, perang dan perdamaian. Islam adalah satu sistem hidup.”

Inilah di antara daya tarikan Islam bagi orang-orang Barat yang berfikiran maju. Mereka menemukan keserasian di antara Islam dan gaya hidup moden yang produktif. Islam adalah agama produktif. Ciri-ciri produktiviti dalam Islam antara lain ialah;

1. Islam adalah agama yang meletakkan ibadat dan bekerja sebagai satu visi dan misi kehidupan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 61 yang mana Allah SWT berfirman melalui lisan Nabi Saleh kepada kaumnya yang bermaksud; ”Wahai kaumku!, sembahlah Allah yang tiada Tuhan lain bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

Ayat tersebut jelas dan terang menetapkan visi dan misi manusia dicipta iaitu menyembah Allah dan memakmurkan bumi. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Wasta’maru bermaksud: Menuntut supaya kamu membangunkannya. Asal tuntutan ini adalah wajib dan jika dilakukan menurut perintah Allah SWT serta menepati syarak maka bekerja memakmurkan bumi ini menjadi ibadat di sisi Allah SWT.

Begitulah Islam menuntut setiap umatnya menjadi muslim yang produktif. Melalui lisan Nabi SAW baginda bersabda yang bermaksud: ”Jika kiamat telah hampir sedangkan pada tangan salah seorang dari kamu terdapat biji benih yang hendak ditanamnya maka jika dia mampu hendaklah dia menanamnya!” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)

Betapa agungnya ajaran agama ini yang mengajarkan kepada kita supaya bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seakan-akan kamu akan mati esok hari. Jika umat Islam betul-betul komitmen terhadap ajaran Islam maka tidak akan ada orang Islam yang hidupnya merempat, miskin dan tertinggal. Jika sudah dilanda oleh bencana kemiskinan maka akan menular pula penyakit sosial. Dan kita melihat tidak sedikit orang Islam yang rela anak-anaknya tidak berpelajaran, bodoh dan rosak oleh gejala sosial. Semua ini berpunca dari kemalasan dan gaya hidup yang tidak produktif.

2. Merancang masa depan adalah wajib di sisi agama.

Jabir bin Abdullah berkata, pada suatu ketika kami berada di majlis Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki membawa seketul emas seperti sebiji telur, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah SAW ambillah ini sebagai sedekah daripadaku, dan demi Allah aku tidak punya harta yang lain daripada ini. Tetapi Rasulullah SAW enggan menerimanya. Kemudian lelaki itu datang lagi sambil menunjukkan seketul emas itu. Baginda pun bersabda: Bawalah kemari! Rasulullah SAW mengambilnya dan dengan bersikap marah lalu dilemparkan ketulan emas itu dengan kuat, jika mengenai lelaki itu pasti terasa sakit. Kemudian baginda bersabda: Adakalanya seorang di antara kamu membawa hartanya semua sekali padahal dia tiada memiliki selain dari itu. Kemudian setelah itu dia berkeliling meminta-minta orang. Ingatlah sesungguhnya sedekah itu dikeluarkan dari harta yang lebih. Ambillah kembali ketulan emas ini. Kami tidak memerlukannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

Berhabis-habisan mengeluarkan wang belanja sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain adalah perbuatan yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Kita sering mendengar orang yang tidak cukup makan gaji selama sebulan dan mempunyai tabiat boros dalam berbelanja. Akhirnya dia terpaksa berhutang dan meminta-minta ke sana ke mari. Jika kita merenungi hadis Rasulullah SAW tadi, jelas dengan tegasnya baginda SAW memarahi orang yang tidak merancang kewangannya. Bahkan untuk melakukan ibadat pun perlukan perancangan.

Betapa pentingnya umat Islam merancang kewangan dan mentadbir urus harta benda yang dimilikinya. Supaya umat Islam tidak jatuh ke dalam lembah kemiskinan dan selanjutnya menjadi umat yang lemah dan bergantung dengan orang-orang kafir. Ada sebahagian orang Islam yang salah faham di dalam mengamalkan sifat tawakal dan zuhud. Mereka langsung tidak merancang dan mengurus kewangan peribadi dan keluarga.

Padahal Rasulullah SAW dinyatakan bahawasanya baginda sentiasa menyimpan makanan untuk keluarganya buat masa setahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

3. Dedikasi, jujur dan amanah.

Sistem perekonomian yang seimbang sewajarnya diamalkan oleh setiap pekerja Muslim yang produktif. Seimbang dari segi keupayaan melipat gandakan keuntungan yang sifatnya materialistik dan moralistik yang berpaksikan pada iman dan takwa.

Islam mewajibkan setiap umatnya berjuang untuk kemaslahatan umat manusia seluruhnya. Setiap muslim yang produktif hendaklah bermoral bersih dan bersifat amanah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: ”Peniaga-peniaga yang amanah dan jujur akan dibangkitkan bersama-sama dengan orang-orang yang mati syahid di hari kiamat nanti.” (Ibnu Majah dan al-Hakim)