assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Rabu, 26 Mei 2010

Kisah Nabi Daud Dengan Ulat

Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud A.S sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu.
Lalu Nabi Daud A.S. berkata pada dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?"

Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud A.S. "Wahai Nabi Allah! Allah S.W.T telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud A.S. "Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?"
Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah S.W.T. maka Nabi Daud A.S. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T. Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai bahan sejarah, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini.

Rasulullah SAW Dihina Lagi

Oleh asshafiee

Molly Norris, seorang kartunis di Seattle telah membuat deklarasi bahawa 20hb Mei adalah hari ‘Everybody draw Mohamed Day’ (Hari untuk semua orang melukis Mohamed). Begitu biadab sekali tindakan si kafir ini. Kini, ‘Facebook’, laman web sosial yang berpengkalan di AS pula menyokong tindakan tersebut. Persoalannya sekarang, apakah tindakan kita umat Islam terhadap kebiadaban ini?

Apakah kita masih lagi mengharapkan para pemimpin umat Islam yang dayus dan khianat untuk berbuat sesuatu? Kaum kuffar akan terus menerus menghina, membunuh dan merampas hak kaum Muslimin kerana kita hidup berpecah-pecah, tanpa kesatuan politik dan intelektual. Realitinya, kaum kuffar masih terus berani melakukan semua ini kerana ia masih dibenarkan oleh para pemimpin umat Islam yang khianat. (Lihat Gambar)

Alasan yang digunakan oleh Barat adalah tidak lain tidak bukan, kebebasan. Sesungguhnya kebebasan yang mereka laung-laungkan itu hanyalah merupakan alasan untuk terus menghentam Islam. Apakah ratusan Muslim yang dipenjara di Guantanamo Bay tanpa pertuduhan menikmati kebebasan seperti mana yang dilaung-laungkan Barat? Apakah individu di Barat yang mengkritik peristiwa ‘Holocaust’ bebas berbuat demikian? Hakikatnya terlalu banyak perkara yang boleh diketengahkan yang menunjukkan sikap hipokrit Barat dalam mengenengahkan idea kebebasan.
Barat mengetahui bahawa umat Islam tidak akan dapat berbuat apa-apapun kerana kita tidak hidup di bawah Islam sebenar yang akan melindungi kita. Mereka tahu bahawa kaum Muslimin lemah dan tidak bermaya tanpa kesatuan politik di bawah Daulah Islam. Namun, ramai antara kita kaum Muslimin masih buta dan terus leka dengan suasana hari ini tanpa ada sedikitpun kesedaran bahawa keadaan hidup kita hari ini , tanpa Islam sebagai Deen yang syumul, bukanlah keadaan yang diredhai Allah.

Junjungan besar kita, Muhammad SAW adalah makhluk Allah yang paling mulia. Baginda adalah Rasul kita. Baginda adalah penyelamat kita. Apakah kita akan terus redha dengan perilaku kaum kuffar yang terus menerus menghina Islam dan Rasul kesayangan kita ini? Barat sedar bahawa provokasi seperti ini akan membakar semangat kaum Muslimin dan ini memberikan mereka justifikasi yang lebih kuat untuk War on Terror yang mereka pelopori. Dan mereka begitu ghairah berbuat demikian kerana mereka tahu, tiada siapa yang akan membela kita. Namun sejarah mengingatkan kita ketika George Bernard Shaw, seorang penulis Inggeris ingin membuat suatu penulisan negatif mengenai Rasulullah, kewujudan Khilafah Uthmaniyyah yang pada ketika itu sudahpun lemah, adalah cukup untuk menghalang penulis ini dari meneruskan hasratnya. Di dalam biografinya, tertulis:

‘I had long desired to dramatise the life of Mahomet. But the possibility of a protest from the Turkish Ambassador - or the fear of it - causing the Lord Chamberlain to refuse to license such a play, deterred me.' [Hesketh Pearson's biography of George Bernard Shaw]

(Saya telah lama ingin menulis drama mengenai kehidupan Muhammad tetapi kemungkinan adanya protes dari duta Turki atau kebimbangan mengenainya sehingga Lord Chamberlain menolak dari memberi lesen bagi drama ini, telah menghalang saya (dari menulisnya)

Artikel ini dicopy dari http://ustaznoramin.blogspot.com/2010/05/rasulullah-saw-dihina-lagi.html

Selasa, 25 Mei 2010

Bila Hukum Islam di Buang

-Dr Badrulamin

Luar NegaraBAGHDAD: Penduduk ibu kota Iraq kembali mengeluh dan kesal dengan kemunculan semula alkohol, judi dan pelacuran selepas hilang sejak enam tahun lalu malah kali ini peningkatannya lebih ketara.

“Dosa kembali menjadi sebahagian hidup penduduk Baghdad sekali lagi,” kata anggota pergerakan yang memperjuangkan tradisi keluarga dan moral, Fadilla Muhammed.

Bar, kelab dan kedai arak, satu ketika dulu ditutup oleh kumpulan militan, kembali meneruskan perniagaan dan membuat keuntungan lumayan. Pusat pelacuran juga kembali aktif dan kebanyakan mereka ligat mencari pelanggan.

Di pinggir Baghdad, panggung wayang yang menayangkan filem bertemakan seks ketika penonton melakukan aksi itu di "kerusi masing-masing" atau di dalam bilik air dibuka semula. Wanita yang ditemui dalam panggung wayang seperti itu, menawarkan diri atau anak gadis masing-masing untuk pelanggan.

Menurut pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Mustafa al-Ghadhun, terdapat peningkatan dalam pengambilan alkohol dan ketagihan dadah di Iraq.

“Kami bimbang dengan kuantiti yang diambil, kerana banyak kes ketagihan alkohol dilaporkan,” katanya.

Daerah seperti Sadr, Alawi, Dora, Bab al-Muadhem dan Gazellia di Baghdad dilaporkan menjadi kawasan popular bagi urusan jual beli dadah.

Pengedar juga aktif di kawasan berkenaan yang kurang diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Bagi mereka yang terbabit dalam amalan yang satu ketika dulu diharamkan, inilah yang mereka mahu dibawa oleh Amerika Syarikat ke Iraq.

“Ini masanya untuk berasa bebas dan menikmati tradisi Barat. Kami sudah dewasa dan bertanggungjawab di atas tindak tanduk masing-masing,” kata Abu Feiraz yang bermain catur dengan anak lelakinya berusia 17 tahun di sebuah kafe di Karada sambil bangga menuangkan wain ke dalam gelas anaknya itu. – Agensi

Cukup Dahsyat Tapi Sudah Sedarkah?

Setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera menghebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

Tidak dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barangsiapa yang mensyirikkannya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik."

Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera menghebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Ertinya : Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. ( Al-Baqarah : 275 )

Itulah kengerian hukuman Allah swt terhadap satu dosa selain syirik. Itulah pengamal riba setelah pengharamannya.

Cuba kita sama-sama petikan penutup ayat di atas

وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Ertinya : Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut :-

ومن عاد أي إلى الربا ففعله بعد بلوغه نهى الله عنه فقد استوجب العقوبة
Ertinya : Lafaz "barangsiapa mengulangi" ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walalupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras" (Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 1/328)

Berdasarkan dalil-dalil hadis, para ulama membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah shahadah, sebanyak manapun dosa yang dilakukan di atas dunia, mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, terkurung didalamnya untuk satu tempoh yang layak bagi dosa mereka, kemudian mereka akan dikeluarkan darinya dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan mati, kemudian ditempatkan di dalam sungai kehidupan, lalu hiduplah kembali. Semua ini dicatatkan dalam hadis. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 3/36 )

Selanjutnya Imam An-Nawawi mengulas terdapat lima jenis syafaat yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w di akhirat kelak iaitu ( Syarah Sohih Muslim, 3/36) :-

1) Memberi tenang dan rehat dari hiruk pikuk mahsyar dan menyegerakan seseorang untuk masuk ke Syurga. Syafaat ini khusus untuk Nabi Muhammad s.a.w.

2) Memasukkan seseorang ke Syurga tanpa hisab, peruntukan syafaat ini juga terdapat untuk Nabi Muhammad s.a.w.

3) Kaum yang wajib dihumban di neraka boleh diselamatkan oleh Nabi s.a.w

4) Mengeluarkan kaum yang sedang diazab di neraka untuk kembali ke Syurga kecuali bagi mereka yang mati dalam keadaan kafir.

5) Peningkatan darjat di syurga agar mendapat tahap syurga yang lebih baik.

Sedarkah ?!

Namun sedarkah kita dan mereka di sekeliling kita, keluarga, rakan dan lainnya bahawa, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba setelah pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu, tatkala itu matinya mereka adalah dengan hati kekafiran hingga terkeluar dari senarai mereka yang boleh mendapat syafaat nabi Muhammad s.a.w.

Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakpedulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya. Seterusnya boleh mejatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Moga kita semua dipelihara oleh Allah swt.

Inilah yang diulas oleh Imam Fakhruddin Ar-razi apabila beliau menghurauikan maksud ‘orang yang kembali' dalam ayat di atas sebagai :-

فالمعنى ومن عاد إلى استحلال الربا حتى يصير كافراً
Ertinya : erti ayat "barangsiapa yang kembali" (di atas, adalah bermakna mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi kafir. ( Tafsir Al-Kabir, 7/82)

Akhirnya, alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti dan pelabagi pagi alasan orang di zaman ini dari berubah dari pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, mahal sikit la, leceh proses, belum ada masa dan pelbagai lagi TIDAK WAJAR SAMA SEKALI wujud dalam hati individu yang bernama MUKMIN MUSLIM.

Itu pun jika ingin selamat diakhirat, jika tidak..tunggulah bila waktunya tiba.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/702/98/

Isnin, 24 Mei 2010

Laksana syariah jalan penyelesaian gejala sosial


SHAH ALAM, 23 Mei: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (Jim) berusaha memberikan kefahaman bahawa syariat Islam adalah penyelesaian terhadap segala masalah sosial yang sedang melanda masyarakat hari ini.

Yang Dipertua Jim Selangor, Mohd Kamal Mohd Rathi (gambar) berkata percaya pelaksanaan syariah Islam yang syumul memastikan segala perkara yang makruf digalakkan manakala jalan-jalan maksiat dan kemungkaran ditutup dan dicegah.

Menurutnya, usaha-usaha mengajak kepada kebaikan harus berjalan seiring dengan langkah-langkah mengelakkan kemungkaran.

Katanya lagi, setiap ahli masyarakat pula seharusnya mempunyai kesedaran dan mengambil tanggungjawab di dalam aspek menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang digariskan oleh Islam.

“Sesungguhnya objektif atau maqasid syariah bertujuan memelihara dan melindungi lima perkara dalam kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan,” ujarnya pada sidang media sempena Seminar Menangani Isu-isu Islam (SeMI) 2010 bertajuk Gejala Sosial: Syariah Jalan Penyelesaian di Dewan Auditorium Sirim di sini, hari ini.

Selain Jim Selangor, SeMI 2010 dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat Menangani Gejala Sosial Jais yang turut dianggotai Abim Selangor, Unit Mubalighat Jais, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Unit Hidayah Mafaa dan Persatuan Pelajar Islam Selangor.

Jelasnya, seminar itu diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan sebenar mengenai syariah Islam, penjelasan mengenai pelaksanaan syariah sebagai jalan penyelesaian kepada gejala sosial yang berlaku dan membetulkan beberapa salah faham dan salah tanggapan berkaitan pelaksanaan syariah.

Mohd Kamal menambah, bersempena SeMI 2010 itu, pihaknya berazam bekerjasama dalam memacu usaha-usaha memberi kefahaman sebenar mengenai syariah dan pelaksanaannya dalam masyarakat, mempertingkatkan aktiviti menghalang merebaknya gejala sosial serta menggalakkan peluang dan ruang bagi ahli masyarakat untuk melakukan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.

“Kami ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat tidak mengira bangsa atau agama termasuk pihak berkuasa agar mengambil perhatian serius dan memberikan sokongan padu ke atas usaha-usaha ke arah membentuk negara Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi malahan cemerlang dari aspek morak dan akhlak,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Keburukan Berjudi

Oleh Lokman Ismail

Judi adalah antara amalan termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Tegahan berjudi kerana perbuatan itu mendatangkan banyak keburukan bukan saja kepada orang yang suka berjudi, juga mereka yang rapat dengannya.

Pengharaman judi jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Gila judi juga mendorong seseorang melakukan perbuatan menyalahi syariat agama dan lebih teruk lagi, akibat judi menyebabkan seseorang itu berpaling daripada Allah seterusnya melupakan tanggungjawab kepada penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).” (Surah al-Maidah, ayat 91)

Permusuhan mudah tercetus di kalangan kaki judi. Pihak yang menanggung kerugian sering memandang serong kepada pihak yang menang. Banyak kemenangan biasanya diperoleh secara penipuan dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak lawan.

Biarpun ada pihak mendakwa perjudian dikendalikan syarikat berlesen adil dan terhindar daripada penipuan, hakikatnya keburukan sebenar perjudian masih ada. Islam mengharamkan semua bentuk judi tidak kira memiliki lesen perniagaan atau diadakan secara haram.

Sebenarnya tidak ada syarikat pengendalian perjudian menanggung kerugian sebaliknya, pelanggan atau kaki judi yang berterus-terusan menanggung kerugian. Bilangan mereka mendapat keuntungan daripada perjudian amat sedikit dan tidak memadai jumlah yang dihabiskan selama ini.

Wang hasil perjudian adalah haram dan tiada keberkatan. Sesiapa memiliki wang judi tidak kekal lama. Masyarakat menyebutnya ‘wang panas’ yang tidak dapat disimpan lama. Orang menang judi bersikap boros, menghadapi malapetaka dan kesusahan menyebabkan wang itu habis dibelanjakan.

Malah, ada menjadi gila atau hilang ingatan selepas menang besar dalam perjudian. Semua itu adalah pembalasan Allah kepada kaki judi di dunia ini lagi. Orang suka berjudi tidak akan melihat perkara lain lebih penting dalam hidup mereka selain berjudi.

Mereka sanggup mengalami keretakan rumah tangga dan membiarkan orang disayangi menderita kerananya. Malah, orang berjudi ramai terbabit dengan amalan syirik apabila mempercayai bomoh ekor, bertapa dan memuja keramat. Oleh itu, aktiviti perjudian bukan saja merugikan dalam bentuk kewangan, juga melahirkan masyarakat malas dan kuat berangan-angan. Pakar psikologi dan sosiologi bukan Islam turut sepakat mengatakan judi banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Mereka ketagih judi merasakan dirinya mendapat keuntungan, sedangkan hal sebaliknya dialami. Sebab itu Islam mengharamkan segala bentuk permainan yang mempunyai unsur judi biarpun dalam bentuk mana ia diadakan.

Sesuatu yang mendatangkan keburukan adalah ditegah sama sekali dilakukan oleh umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Usahlah menyimpan harapan mendapat kekayaan daripada hasil judi. Perbuatan yang didorong hasutan syaitan tidak akan menjanjikan sebarang kebaikan. Berjudi yang menjadi amalan

Manfaatkan teknologi maklumat dalam berdakwah

Oleh LanH

TERTARIK benar penulis dengan penjelasan seorang tok guru dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini bahawa dalam perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih mudah untuk seseorang mendekatkan dirinya dengan Penciptanya, Allah SWT.

Katanya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. “Tetapi janganlah dibuka dalam tandas,” beritahu tok guru.

Katanya, pada zaman serba canggih ini semakin mudahlah seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah, namun keberkesanannya bergantung kepada individu juga; jika teknologi hebat dia hanya berminat untuk mendengar lagu-lagu penyanyi kesukaannya, maka gagallah dia mendekatkan dirinya dengan Allah.

Tok Guru berkata; “dah tua-tua ni janganlah terlalu berminat dengan suara Siti Nurhaliza lagi, bertaubatlah, gunakanlah kemudahan moden itu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hayatilah bacaan al-Quran, ketenangan akan kita perolehi.”

Bercakap mengenai penggunaan teknologi komunikasi dalam dakwah, berdasarkan pengalaman penulis mengikuti tazkirah dan kelas pengajian di masjid berbanding kursus umrah yang dianjurkan syarikat swasta, ternyata yang kedua ini selalunya menggunakan pendekatan multimedia mendatangkan kesan lebih mendalam kepada hadirin.

Pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang biasanya diadakan antara solat maghrib dan isyak, komunikasi adalah sehala, ustaz saja yang bercakap sedangkan jemaah mendengar saja. Jarang benar ustaz bersedia membuka soalan kepada jemaah.

Apabila berlaku komunikasi sehala, penulis perhatikan ada jemaah tersenguk-senguk, menandakan mereka tertidur tetapi pada persembahan multimedia ketika kursus umrah penulis mendapati hadirin begitu tertarik dan bersemangat sekali.

Teknologi komunikasi berkembang pesat, jadi tidakkah teringin pemimpin masjid meningkatkan kaedah penyampaian termasuk tazkirah dengan menggunakan alat bantuan multimedia seperti slaid Powerpoint dan skrin gergasi?

Berhubung perkara ini, Abdul Halim Ismail dalam majalah Risalah, Bilangan 4 (April 1992) antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.

“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.

“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.

“Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”

Berdasarkan pengamatan penulis, jemaah yang mengikuti kelas pengajian di masjid pada setiap kali adalah orang yang sama. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang.

Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.

Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.

Sebuah masjid di ibu kota (Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar) telah memulakan alat bantuan multimedia pada khutbah Jumaatnya. Dua skrin gergasi yang setiap satu bernilai RM6,000 diletakkan di sebelah mimbar, dan apabila khatib berkhutbah, persembahan slaid mengiringi isi khutbah, sekali gus menaikkan minat jemaah yang biasanya terkulai layu pada tengah hari yang panas itu.

Di beberapa masjid lain di Wilayah Persekutuan sudah ada persembahan Powerpoint bagi mengiringi khutbah Jumaat. Semuanya dilakukan dengan harapan jemaah akan lebih memahami sesuatu isu itu di samping mengelakkan mereka daripada terlena.

Alangkah baiknya, alat bantuan ini juga digunakan ketika diadakan tazkirah dan kelas pengajian di masjid. Pengurusan masjid juga boleh memikirkan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.

Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.

Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap rumah dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak.

Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan rumah penduduk dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di rumah, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.

Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-rumah itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.

AIR TANGAN ORANG YANG TAK SOLAT

Email : Savvy Merah

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa as. Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi. Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu; isteri kita.

Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dsb. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak gamak ' kan ? Tapi lain pula halnya dengan kita ni. Pagi petang, mamak! Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia.. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik.

Beware (berhati2) apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril as. Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maknanya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu" .

Jadi, sama-samalah kita pelihara solat dari segi zahir & batinnya kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan kelak. Sahabatku, Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dgn amaran2 Allah. Jika ku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dgn tarbiah Pencipta. Jika ku lemah sedarkanlah agar aku berubah. Dan jika esok ku lena tanpa terjaga, iringlah lenaku dgn kalungan doa.. Berjanjilah sahabatku, ukhwah kita utk selamanya.. ~