assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Khamis, 10 Disember 2009

Berdakwah di pusat hiburan menepati sasaran dakwah

Oleh Misbahul Munir

Cadangan Dr. Asri yang ingin berdakwah di pusat-pusat hiburan harus diberi sokongan oleh semua pihak terutama para ulama dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri, IKIM, Pusat Islam dan sebagainya. Cadangan ini adalah menepati dengan sasaran dakwah yang sebenar. Kerana antara ciri-ciri dakwah itu ialah pendakwah, uslub dakwah (method/pendekatan), maudhu’ (tajuk/isi dakwah) dan mad’u (sasaran dakwah).

Sasaran dakwah mestilah sesuai dengan isi dakwah yang ingin disampaikan, kalau pendakwah ingin menyampaikan dakwah yang berkaitan dengan menjauhi maksiat judi, minum arak, berdangdut hingga ke pagi, berkaraoke atau berdisko kepada anak-anak muda atau orang awam yang lain, di mana sasaran yang sebenar? Sudah tentulah antaranya pusat-pusat hiburan yang dikunjungi oleh orang awam ini , kerana di situlah mereka menghabiskan masa dengan menari, berjudi, berpelukan dengan pasangannya, minum arak dan sebagainya. Ketika inilah para pendakwah mengunjungi tempat tersebut untuk memberi nasihat dan teguran dengan penuh lemah lembut dan bijaksana.

Selama ini para ulama hanya berdakwah melalui masjid, surau atau memenuhi jemputan-jemputan samada di pentas awam, pejabat-pejabat kerajaan, sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi. Kebanyakan para pendengarnya pula mereka yang sememangnya ahli masjid atau mereka yang berminat dengan ceramah-ceramah agama.

Isi ceramahnya pula biasanya berkaitan dengan kelebihan amal, pengajaran dari peristiwa-peristiwa besar dalam Islam yang kadang-kadang diselitkan juga dengan isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan ummah seperti sosial, ekonomi, pendidikan, politik, kekeluargaan dan sebagainya. Ada setengah penceramah agama langsung tidak mengaitkan dengan isu-isu kemasyarakatan apatah lagi isu-isu berkaitan dengan politik.

Ada penceramah yang menggunakan medium ini untuk menghentam mereka yang terlibat dengan maksiat, berbuih mulut mereka mengutuk pelaku-pelaku maksiat ini. Pada hal para pendengarnya seorang pun bukan kaki judi, kaki minum, kaki perempuan atau kaki dangdut. Begitu juga mat-mat rempit dihentam dan dikutuk sebegitu rupa dalam ceramah-ceramah agama di masjid atau surau, sama juga, tidak seorang pun mat rempit yang hadir mendengar ceramah tersebut.

Para ulama selama ini tidak turun ke lapangan dakwah yang sebenar, mat-mat rempit tidak pernah didampingi oleh mereka, pengunjung-pengunjung kasino, kelab malam dan dangdut juga tidak pernah didekati untuk diperdengarkan nasihat-nasihat agama.
Pengunjung-pengunjung kelab malam dan pusat-pusat maksiat yang lain bukan ahli masjid atau ahli agama, bahkan saya percaya mereka bukan pengunjung atau peminat ceramah-ceramah agama. Mereka jarang sekali mendengar kuliah-kuliah agama apatah lagi mengunjungi majlis-majlis dakwah seumpama itu.

Sekalipun program dakwah dianjurkan berhampiran pusat-pusat hiburan, yang datang sudah pasti ahli masjid dan peminat ceramah agama sahaja. Pengunjung pusat hiburan pastinya tidak akan hadir ke program tersebut. Apabila sasaran dakwah tidak menepati dengan tujuan atau tajuk dakwah sudah pasti matlamat dakwah juga tidak tercapai.

Pandangan beberapa ulama yang tidak menyokong cadangan dan usaha murni ini bukan sahaja dangkal malahan primitif. Mereka yang menganggap ulama yang turun ke pusat-pusat hiburan untuk tujuan dakwah seumpana terjun ke tong najis adalah sangat keterlaluan dan menghina para ulama tersebut.

Antara kerja dakwah Hassan Al Banna adalah mengunjungi kasino, bar dan pusat-pusat hiburan. Peringkat awal dakwahnya beliau dikecam oleh ahli masyarakat, lama kelamaan pendekatan ini diterima dan ramai pengikut-pengikutnya terdiri dari pengunjung-pengunjung kasino dan bar. Uslub dan penekanan dakwah Hasaan Al Banna cukup memikat para pendengar, yang akhirnya mereka meninggalkan maksiat dan menjadi pengikut setia anggota ikhwan.

Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w . pernah mengunjugi pasar Ukaz, iaitu tempat berkumpulnya para penyair yang handal-handal dari pelusuk tanah arab, masing-masing akan memperdengarkan syair-syair mereka, kebanyakan syair ketika itu bertemakan memuja dan memuji manusia, wanita, atau alam. Dalam pesta syair di pasar Ukaz, acaranya bukan sahaja pementasan syair semata-mata, malahan acara-acara lain yang berunsurkan syirik dan maksiat juga diadakan. Rasululllah s.a.w pernah mengunjungi tempat tersebut, kehadirannya turut mengejutkan pemuka-pemuka Quraish termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab. Lantas Rasulullah s.a.w. ditegur oleh mereka bertanyakan tujuannya datang ke situ, mereka tidak terfikir Rasulullah s.a.w akan mengunjungi pesta yang penuh maksiat itu.

Kesempatan ini digunakan oleh Rasulullah s.a.w dengan mengatakan beliau juga mahu bersyair lalu membaca ayat al Quran dari surah Al Qariah. Ayat al Quran yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. melopongkan mulut seluruh ahli-ahli syair termasuk pemimpin-pemimpin Quraish. Sebelum ini mereka tidak pernah mendengar bait-bait syair seumpama itu, bukan sahaja susunan ayat dan bahasa yang cukup menarik dan indah, bahkan ianya mengandungi maksud yang cukup menggetarkan dan menggerunkan para pendengarnya.

Selama ini hanya orang yang beriman sahaja yang mendengar ayat-ayat seumpama itu, mereka tidak pernah mendengar kalimah-kalimah al Quran, kerana mereka tidak pernah hadir ke majlis-majlis anjuran Rasulullah saw. Mulai saat itu, ada di kalangan mereka yang cuba mencuri-curi dengar ayat-ayat al Quran dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. Ada yang tertarik dan akhirnya menerima Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya adakah martabat Rasulullah s.a.w. menjadi hina kerana mengunjungi tempat tersebut untuk tujuan dakwah.

Saya tidak nampak sedikitpun para ulama yang berdakwah di kelab-kelab malam terasa terhina dan dihina dengan pendekatan ini. Saya percaya kalau peluang ini digunakan, para ulama dan para pendakwah akan menggunakan pendekatan dakwah yang sesuai dan penuh bijaksana, bukannya terus melontarkan ucapan-ucapan liar yang boleh menjauhkan pendengar-pendengarnya.

Jabatan -jabatan Agama sewajarnya berterima kasih kepada Dr. Asri dan para ulama lain yang mahu berdakwah ke pusat-pusat hiburan tersebut, kerana mereka sanggup mengambil alih tugas yang sepatutnya dibuat oleh pegawai-pegawai agama di Jabatan Agama masing-masing. Mereka tidak sewajar hanya memenuhi ceramah di masjid atau disurau yang kadang-kadang hanya untuk mengisi kantung poket mereka semata-mata (maaf sekiranya tersinggung).

Turunlah berdakwah ke lapangan yang sebenar, bertemu dengan mat rempit, berkunjung ke pusat-pusat maksiat dan sebagainya.

Saya sangat menyokong cadangan dan usaha murni ini. Dan saya bersedia untuk turun bersama ulama-ulama yang lain bagi menyahut kerja dakwah di lapangan yang penuh mencabar ini.

http://misabah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan