assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Rabu, 21 April 2010

GOLONGAN YANG HARAM DI SOKONG

Muqaddimah

Apabila orang Islam menganggap persoalan politik ialah sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam, maka mereka menyerahkan kuasa kepada sesiapa sahaja yang mereka suka dengan perhitungan nafsu tanpa melihat kepada tuntutan-tuntutan agama. Hasil dari sikap, ini maka individu serta golongan yang jahat dan zalim menguasai tampuk pemerintahan. Golongan ini menganggap kuasa adalah sumber dan lesen untuk mereka melakukan apa sahaja tanpa merasa takut kepada amaran-amaran Allah. Politik dijadikan modal untuk mengaut kekayaan dan harta serta melakukan jenayah dan kezaliman ke atas orang lain. Ini adalah politik yang diwarisi daripada Fir`aun dan kuncu-kuncunya. Firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 4:

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلاَ فِي الأرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِ نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنْ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya:
Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.

Sekiranya Fira`un membunuh anak-anak lelaki di kalangan Bani Israil kerana bimbang tergugat kuasa dan politiknya demikian juga para pewaris menghapus dan menghancurkan segala musuh politiknya yang boleh menggugat sistem kezaliman dan kekejaman yang dihidupkan.

Para `ulama - seperti yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari- menamakan Abu Jahl sebagai فرعون هذه الأمة (Firaun bagi umat ini) kerana sikapnya yang menentang kebenaran dan zalim. Sebenarnya Fir`aun adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang memerintah Mesir kuno. Abu Jahl bukan pemerintah negeri Mesir dan beliau juga tidak membunuh anak-anak lelaki Quraish atau Bani Israil namun sikapnya yang bangkit melakukan kezaliman dan mengepalai penentangan terhadap kebenaran melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berkenaan. Demikianlah sesiapa yang mewarisi sikap itu maka mereka adalah Fir`aun sepanjang zaman.

Amaran Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

إنه سيكون من بعدي أمراء يظلمون و يكذبون فمن صدّقهم بكذبهم وأعانهم على ظلمهم فليس مني ولست منه ولا يرد على الحوض ومن لم يصدقهم بكذبهم ولم يعنهم على ظلمهم فهو مني وأنا منه وسيرد على الحوض

Maksudnya:
Sesungguhnya selepasku ini akan adanya pera pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolongan kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangan telaga (di syurga)

(Kata al-Haitami: Hadith ini diriwayatkan oleh oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Ausod . Para perawi salah satu sanad al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari)[1]

Rasulullah s.a.w. utusan Allah yang diberikan wahyu kepadanya dan tidak bercakap dengan hawa nafsu. Firman Allah dalam Surah an-Najm ayat 3-4:

وَمَا يَنْطِقُ عَنْ الْهَوَى(3)إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَى(4
Maksudnya:
Dia (Muhammad) tidak bercakap berdasarkan hawa nafsunya. Segala yang diucapnya adalah wahyu yang diwahyukan.

Dengan wahyu Allah, Allah telah mengkhabarkan kepada NabiNya tentang keadaan-keadaan yang bakal berlaku selepas ketiadaan baginda. Antaranya, akan wujudnya para pemimpin yang zalim dan penipu. Sesiapa yang menyokong mereka maka Nabi s.a.w. tidak mengakuinya sebagai pengikut baginda dan tidak akan meminum telaga di syurga, dalam kata lain tidak memasuki syurga melainkan diazab di atas jenayah sokongan mereka kepada para pemimpin jenis tersebut. Sesiapa yang tidak menyokong dan menolong para pemimpin yang zalim dan pembohong maka dia adalah pengikut Nabi dan akan memasuki syurga.

Mukmin yang sebenar akan bimbang dan merasa takut dengan amaran ini. Tidak mengapa seseorang dipecat dari menjadi ahli sesuatu pertubuhan, tetapi yang yang sangat bahaya dan menakutkan apabila kita dipecat dari menjadi pengikut Nabi s.a.w. Di manakah golongan ini akan berhimpun di akhirat jika Nabi s.a.w. tidak menerima mereka sebagai pengikutnya?

Sesungguhnya asas utama kezaliman pemerintahan yang wujud sekarang adalah kerana tidak melaksanakan syariat Allah. Firman dalam Surah al-Maidah ayat 45:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُونَ

Maksudnya:
Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang zalim.

Dengan kezaliman yang asas ini para pewaris Fir`aun menambahkan lagi kezaliman demi kezaliman. Membolot harta rakyat dan menzalimi setiap yang bangun menasihatinya.

Larangan Menyokong Puak Yang Mungkar

Firman Allah dalam Surah al-`An`am, ayat 68 :

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya:
Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Kata al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi: "Ayat ini adalah dalil bahawa tidak dihalalkan duduk bersama ahli mungkar"[2]

Duduk bersama golongan munkar tidak dibenarkan apatah lagi menyokong, membantu dan menolongnya.

Firman Allah dalam Surah an-Nisa` ayat 140:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ

Maksudnya:
Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: "Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka."

Katanya lagi: "Firman Allah إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini[3]

Sesiapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang melakukan kejahatan dan kezaliman serta mempermainkan ayat-ayat Allah, maka sesungguh dia sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut. Mungkin dia berkata, saya tidak menzalimi orang lain, atau memepersendakan agama tetapi sekadar menjadi ahli biasa parti sahaja, sedangkan pemimpinnya zalim dan jahat maka dia turut menanggung dosa. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 66-67:

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَالَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَ(66)وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَ

Maksudnya:
Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

Demikianlah halnya ahli neraka yang dahulu menjadi pengikut setia para pemimpin yang melanggari ajaran Allah dan RasulNya. Mereka yang taat dan terus setia sehingga akhirnya mereka dihumbankan ke dalam neraka.

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113:

وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمْ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ(113)
Maksudnya:
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Menyokong Yang Zalim Adalah Asobiyyah

Adalah sangat pelik, apabila kezaliman yang begitu jelas dan nyata sehingga golongan bukan Islam pun menyatakannya zalim tetapi masih ada yang mengaku muslim terus menyokongnya. Kononnya kerana mempertahankan keutuhan parti, warisan dan seumpamanya. Ini adalah bisikan syaitan dan bicara seorang yang tiada pegangan aqidah serta keyakinan terhadap petunjuk agama.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

من قاتل تحت راية عمية ويدعو إلى عصبية أو يغصب لعصبية فقِتلته جاهلية

Maksudnya:
Sesiapa yang berperang dibawah "bendera buta" dan menyeru kepada `asabiyyah atau marah kerana `asabiyyah maka kematianya adalah jahiliyyah. (Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasai)

Kata as-Sindi dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: "Lafaz راية عمية (bendera buta) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil." [4]

Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah, apatah golongan dan individu yang mempertahankan pemimpin yang terang-terang zalim dan jahat.

Ini adalah sikap yang lebih jahiliyyah. Golongan jahiliyyah sebelum kedatangan Nabi s.a.w. terkenal dengan sikap mempertahankan puak

sekalipun bersalah. Jahiliyyah moden juga demikian. Mereka terus mempertahankan seseorang pemimpin yang zalim sekalipun mereka sedar dia zalim semata-mata kerana parti yang didokong. Maka golongan ini mati jahiliyyah, seperti matinya pendokong-pendokong jahiliyyah yang lalu.

Dalam menjelaskan maksud `asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

العصبية أن تعين قومك على الظلم

Maksudnya:
`Asobiyyah itu kamu menolong kaummu atas kezaliman

(Hadith ini riwayat Abu Daud. Kata Ibn Muflih ابن مفلح dalam al-Adab as-Syar`iyyah, hadith ini hasan. Ini disokong oleh Syu`ib al-Arnaud dalam tahqiqnya kepada kitab tersebut)[5]

Golongan asabiyyah membukti dan mengamalkan `asabiyyah apabila mereka terus menyokong seseorang sekalipun zalim dan menindas. Golongan ini mati seperti mati seorang yang tidak berpegang kepada Islam sebaliknya berpegang kepada dasar jahiliyyah. Semoga Allah jauhkan kita dari termasuk dalam golongan ini.

Semua Wajib Mencegah Mungkar

Kezaliman adalah kemungkaran. Wajib bagi setiap individu muslim mencegahnya. Sesiapa sahaja yang mendakwa dirinya muslim maka kewajipan ini mesti dilakukannya. Ini bagi meyahut sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:
Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadith di atas membuat contoh seperti berikut: "Apabila seseorang melihat insan lain membeli barangan yang rosak atau seumpamanya lalu dia tidak membantah dan memberitahu pembeli maka ini adalah kesalahan yang jelas. Pada ulama telah menetapkan bahawa wajib sesiapa yang menyetahui perkara seperti ini membantah penjual dan memberitahu pembeli"[6]

Sekiranya dengan hanya melihat seseorang membeli sesuatu barang yang rosak, wajib diberitahu kepadanya dan dibantahi penjualnya, apatah lagi jika kita melihat seseorang yang ingin memberikan undi atau sokongan kepada golongan yang rosak, jahat dan zalim. Sudah pasti kewajipan mengingatkan para pengundi lebih besar dari mengingatkan seorang pembeli. Ini kerana mengingatkan pembeli untuk menyelamat individu dari ditipu sedangkan mengingatkan pengundi adalah demi menyelamatkan umat dari binasa.

Undi Mempunyai Nilai Besar Dalam Islam

Seseorang mungkin menyangka bahawa apalah adanya kaitan antara undian yang diberikan kepada seseorang dalam pilihanraya dengan kedudukannya di hari akhirat. Pilihanraya urusan politik sedangkan agama urusan di masjid. Inilah pemikiran sekular yang meresapi sebahagian umat Islam yang tidak diajar tentang Islam yang tulen.

Sabda Nabi s.a.w.:

إن العبد ليتكلم بالكلمة من سخط الله لايلقى لها بالا يهوي بها في جهنم

Maksudnya:
Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan sesuatu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah padahal dia tidak terfikir, maka kerananya dia jatuh ke dalam neraka jahannam (Riwayat al-Bukhari)

Sabda baginda juga:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Maksudnya:
Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda juga:

إن أحدكم ليتكلم بالكلمة من رضوان الله ما يظن أن يبلغ ما بلغت فيكتب الله له بها رضوانه إلى يوم يلقاه و إن أحدكم ليتكلم بالكلمة من سخط الله ما يظن أن يبلغ ما بلغت فيكتب الله له بها سخطه إلى يوم يلقاه

Maksudnya:
Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. (Riwayat Malik dalam al-Muwatta` dan al-Tirmizi, katanya hasan sahih)

Sufyan bin `Uyainahسفيان بن عيينة menyebut: "Hadith ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkainya) ialah yang mendorongnya melakukan kezaliman"[7]
Sesungguhnya undi memainkan peranan yang sama dengan sepatah kalimat bahkan undi lebih besar dari sepatah kalimat yang membolehkan seseorang pemimpin meneruskan atau dihentikan kezalimannya. Dengan itu undi yang dilakukan oleh seseorang dalam negara demokrasi ini diperhitungkan Allah pada hari akhirat kelak. Hendaklah seseorang muslim membuat perhitungan yang betul dalam hal ini.

Muslim Sensitif Dengan Kezaliman

Seseorang muslim hidupnya berdaulat dan merdeka. Mempunyai kekuatan menilai dan membenci kezaliman serta kejahatan. Rasulullah s.a.w. telah mendidik para sahabah agar perasaan anti-kezaliman itu hidup dalam setiap muslim.

Dalam sebuah hadith:

عن جابر قال: لما رجعت إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم مهاجرة البحر، قال "ألا تحدثوني بأعاجيب ما رأيتم بأرض الحبشة. قال فتية منهم؛ بلى يا رسول الله! بينا نحن جلوس مرت بنا عجور من عجائر رهابينهم تحمل على رأسها قُلَّة من ماء فمرت بفتىً منهم فجعل أحدى يديه بين كتفيها ثم دفعها فخرت على ركبتيها فانكسرت قلتها فلما ارتفعت، التفتت إليه فقالت؛ سوف تعلم ياغُدر! إذا وضع الله الكرسي وجمع الأولين والآخرين وتكلمت الأيدي والأرجل بما كانوا يكسبون فسوف تعلم كيف أمري وأمرك عنده غداً .قال؛ صدقت،صدقت كيف يقدس الله أمة لا يؤخذ لضعيفهم من شديدهم

Maksudnya:
Daripada Jabir katanya: Apabila para muhajirin Habsyah pulang ke pangkuan Rasulullah s.a.w., baginda bersabda: Mengapa tidak kamu ceritakan kepadaku perkara-perkara pelik yang kamu telah lihat di bumi Habsyah?. Kata seorang pemuda dari kalangan mereka: "Bahkan wahai Rasulullah!. Suatu ketika tatkala kami sedang duduk tiba-tiba lalu seorang wanita tua dari kalangan orang-orang tua rahib mereka. Dia memebawa di atas kepalanya bekas tembikar yang berisi air. Kemudian dia melalui seorang pemuda, pemuda itu meletakkan satu tangannya di atas belakang wanita berkenaan lalu ditolaknya sehingga wanita itu tersungkur di atas lututnya dan bekas tembikar itu pecah. Apabila wanita itu bangun dia menoleh ke arah pemuda itu dan berkata: "Wahai pengkhianat! Nanti engkau akan tahu, ketika Allah meletakkan kursiNya dan dihimpunkan yang terdahulu dan terkemudian, bercakap segala tangan dan kaki di atas apa yang mereka lakukan, nanti engkau akan tahu bagaimana kedudukanmu dan aku aku di sisiNya nanti" . Sabda Nabi s.a.w: Dia benar! Dia benar!. Bagaimanakah Allah memuliakan suatu umat yang tidak membela golongan yang lemah dari ditindas oleh golongan yang kuat! (Riwayat Ibn Majah, kata Ma’mun Syiha sanadnya sahih) [8]

Lihatlah para sahabah, mereka begitu sensitif bila sahaja melihat kejahatan dan penganiayaan. Terus sahaja terlekat dalam minda mereka dan membencinya. Rasulullah s.a.w. pula dalam ulasan terhadap kisah itu, membenarkan ucapan wanita itu dan menyatakan bahawa kemuliaan dan ketinggian tidak akan diberikan Allah kepada suatu umat atau bangsa yang membiarkan orang yang kuat bermaharajalela, menindas yang lemah dan tidak berupaya. Demikian indahnya sikap masyarakat Islam yang dibentuk oleh Nabi s.a.w. Masyarakat yang hidup dan peka terhadap persekitarannya, bukan yang mati dan membiarkan apa sahaja berlaku.

Akhirnya…

Dengarlah amaran Allah terhadap golongan yang zalim. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 42-43

وَلاَ تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ(42)مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ(43

Maksudnya:
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

Golongan zalim akan mengadap Allah dengan kemurkaanNya. Demikian juga para pengikut dan penyokong mereka juga akan dihadapkan atas jenayah sokongan terhadap kezaliman. Oleh itu, bertaubatlah jika anda pernah menyokong golongan yang zalim, sama ada dengan suara, perbuatan atau undi anda.
_____________________________________
RUJUKAN:
[1] Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid, jld. 5, m.s. 248, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Lubnan
[2] Ahkam al-Quran, jld. 2, m.s. 260, cetakan Dar al-Fikr
[3] . Tafsir Ayat al-Ahkam, jld. 5, 418, Dar al-Fikr, Beirut
[4] Syarh Ibn Majah jld. 4, m.s. 326, cetakan Dar al-Ma’rifah, Lubnan
[5] al-Adab as-Syar`iyyah, jld 1, m.s. 81, cetakan Muassasah ar-Risalah
[6] Syarah Sahih Muslim, jld. 1, m.s. 219, cetakan Dar al-Khair, Beirut
[7] Tuhfah al-Ahwazi, oleh al-Mubarakfuri, jld. 7, m.s. 21, cetakan Dar al-Fikr, Beirut
8] Syarah Ibn Majah oleh as-Sindi tahqiq Ma’mun Syiha jld. 4, m.s. 363

PENULIS: DR MOHAMAD ASRI ZAINAL ABIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan