assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Isnin, 11 Oktober 2010

Kehidupan yang Berkat

Ahmad Baei Jaafar

الحمد لله القائل : وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا ونبينا محمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
أما بعد، فيآ أيها المسلمون، اتقوا الله، قال الله تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ.

Muslimin sidang Jumaat sekalian, takutlah kalian kepada Allah, Firman Allah s.w.t: “Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan kamu mati kecuali dalam keadaan menyerah diri kepada Allah.” (Surah Ali Imran 3: 102)

Kehidupan yang berkat menjadi idaman semua manusia terutama umat Islam. Malah ungkapan berkat itu sudah menjadi buah mulut dalam kalangan umat Islam. Persoalannya apa yang kita tahu tentang berkat itu? Tercatat dalam sebuah kitab:

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثُرته، وإذا حلت في كثير نفَع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

"Sesuatu kepastian kebaikan di sisi Ilahi pada sesuatu perkara iaitu apabila jatuh sesuatu perkara kepada yang sedikit akan menambah banyak jumlahnya, dan apabila jatuh kepada yang banyak, akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah Azzawajalla.

Berdasarkan kenyataan itu, apa pun yang kita lakukan dalam kehidupan ini mestilah hasilnya adalah untuk ketaatan kepada Allah, barulah semua apa yang dilakukan itu beroleh berkat. Dalam hal ini mari kita rujuk kepada firman Allah yang berbunyi:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq 65: 2-3)

Menyentuh persoalan berkat dalam kehidupan ini suka saya memberi fokus kepada kehidupan rumah tangga kerana keberkatan berpunca dari sini. Mana mungkin pasangan suami isteri yang masing-masing cara hidupnya tidak menjurus ke arah taat kepada Allah, boleh mendapat berkat? Mana mungkin anak yang tidak taat kepada ibu bapa boleh pula taat kepada Allah dan seterusnya beroleh berkat.

Tanda kehidupan tidak berkat, hidup suami isteri tidak tenang, asyik bergaduh walaupun dalam perkara yang kecil. Anak-anak tidak hormat ibu bapa malah selalu menengking ibu bapa dengan kata-kata yang kesat. Dan di sudut ekonomi, walaupun mereka beroleh pendapatan yang banyak, rezekinya tidak pernah cukup.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Menyentuh soal ini ingin saya mengajak sidang Jumaat sekalian melihat kembali mengapa kita memilih untuk berkahwin. Apakah niat kita untuk berkahwin? Ya, memang ramai yang akan menjawab ikut sunah Rasulullah. Tetapi benarkah kita berkahwin kerana ikut sunat Rasul? Apakah sunahnya yang ikut?

Waktu akad nikah mungkin ikut Rasulullah, tetapi selepas itu bagaimana? Waktu bersama suami dan isteri pada waktu makan bagaimana? Waktu bersama dalam bilik tidur bagaimana? Waktu berjauhan semasa masing-masing melaksanakan amanah Allah, bagaimana? Adakah kita ikut sunah Rasulullah?

Kalau Rasulullah berkahwin kerana melaksanakan perintah Allah; bagi merapatkan keluarga yang jauh; bagi menghalalkan perkara yang sebelumnya haram; bagi mencambahkan zuriat secara halal dan berkualiti. Bagaimana dengan kita? Kita boleh jawab sendiri tepuk dada tanya iman.

Waktu bersama dengan isteri, Rasulullah sangat berhemah dan sangat manja tingkah lakunya. Isteri pula menghormati suami atas sifat suami. Waktu makan, suami didahulukan, malah baginda selepas itu memberikan makanan kepada isterinya. Dan pada waktu malam, kasih sayang dibina melalui hubungan kelamin yang amat romantik. Bagaimana dengan keadaan kita dengan isteri kita pada waktu-waktu tersebut?

Selagi suami bersikap kasar dan keras terhadap isteri, tidak memberi muka kepada isteri dalam banyak perkara, tentu tidak akan wujud keserasian dalam rumah tangga. Atau suami terlalu bertolak ansur hingga semua kehendak isteri diikut semua, lambat laun akan mencetuskan kompleks dalaman yang serius.

Jika waktu makan, masing-masing bersaing untuk makan dahulu. Suami atau bapa tidak lagi dihormati. Dan kalau bersama dalam hubungan kelamin tidak dilakukan dengan penuh kasih sayang. Isteri melayan suami kerana perintah dan kehendak suami dan suami melayan isteri kerana tuntutan nafsu. Bolehkah apa yang dilakukan oleh suami dan isteri itu dinilai sebagai mentaati perintah Allah? Yang jelas Allah tidak mahu hambanya melakukan sedemikian.

Sidang Jumaat yang berbahagia

Kalau berkat yang ingin kita cari dalam kehidupan, maka amalan yang bercanggah dengan amalan Rasulullah itu harus ditinggalkan. Segala perkara yang telah menjadi amalan buruk selama ini harus diubah segera. Niat kita biar satu iaitu mengikut perintah Allah dan mencontohi sunnah Rasulullah.

Tetapi bagi mereka yang belum berkahwin, masih tercari-cari pasangan maka memilih pasangan hidup mestilah mengikut lunas Islam iaitu, sekufu atau taraf yang seimbang antara lelaki dengan perempuan. Lelaki mesti lebih di sudut ilmu pengetahuan Islam berbanding perempuan. Lelaki mesti lebih kuat imannya berbanding perempuan dan lelaki mesti lebih tinggi akhlaknya berbanding perempuan. Sudah pastinya lelaki lebih matang daripada perempuan.

Semua itu harus diusahakan oleh lelaki mahupun perempuan. Oleh sebab itu jika lelaki ingin berkahwin dia harus belajar ilmu agama, tingkatkan iman, dan perbaiki akhlak yang ada. Begitu juga bagi seseorang perempuan, dia juga perlu ada ilmu pengetahuan agama, iman dan akhlak. Inilah yang dimaksudkan dengan sekufu.

Setelah dikenal pasti pasangan, masuklah meminang untuk beberapa tempoh bagi membolehkan pasangan itu menilai secara lebih dekat. Namun perlu diingat, dengan pertunangan belum ada kelonggaran untuk mereka berdua-duaan di tempat yang mencurigakan. Jadi, ke mana pun mereka, perlu ada teman mahram bagi mengawasi pergerakan dan perhubungan mereka berdua.

Jika sehingga peringkat ini, pasangan lelaki dan perempuan itu dapat menjaga peradaban Islam, tidak syak lagi mereka sudah dikira mentaati Allah dan mengikut sunnah Rasulullah. Tetapi persoalan sekarang, adakah masih wujud pasangan lelaki dan perempuan seperti itu? Masih beroleh berkatkah pasangan yang semasa bertunang boleh bebas ke mana-mana tanpa diragui oleh ibu bapanya?

Sidang Jumaat yang berbahagia

Pilihan tempat berlangsungnya majlis akad nikah juga penting. Tren pada hari ini, upacara perkahwinan dilakukan di dalam masjid. Tujuannya sudah tentu untuk keberkatan. Memang masjid tempat yang paling sesuai untuk upacara pernikahan kerana setidak-tidaknya di masjid tidak ada orang yang berniat jahat. Maka upacara akad nikah berlaku dalam keadaan tiada seorang pun yang menanggung dosa. Itulah erti keberkatan.

Tetapi satu hal yang jarang diberi perhatian dalam soal ini ialah, terdapat adab sopan yang perlu dipatuhi oleh orang yang berada dalam majlis itu. Antara yang penting ialah:

1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada wanita.

2. Niat iktikaf di Masjid.

3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di dalam masjid.

4. Mulakan dengan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang berkaitan.

5. Tidak bercampur dan bergaul terlalu bebas antara lelaki dan perempuan.

6. Jika pengantin perempuan didatangi haid dan tidak dapat hadir ke masjid, maka wali boleh menjemput jurunikah datang ke rumah terlebih dahulu untuk proses wali meminta izin dan menyerahkan wakilnya kepada jurunikah.

7. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam Dewan Solat masjid.

8. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.

9. Jika boleh, hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

10. Jangan bergambar atau berposing untuk bergambar secara melampau di dalam masjid atau di sekitar kawasan masjid.

Panduan ini jika dapat dipatuhi oleh semua pihak, akan sempurnalah keberkatan kehidupan umat Islam. Mereka akan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Bukan sahaja Allah restui kehidupan mereka, bahkan ibu bapa dan kaum kerabatnya juga akan menyukai mereka.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآَبِ. قُلْ أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ.

Dihias indah untuk manusia; rasa suka kepada keinginan nafsu sama ada perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak yang terdiri daripada emas dan perak, kuda yang terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan/isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Surah Ali Imran 4: 14-15)

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan