Penegasan ini sedia terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis :
“Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan sembahyang bermakna dia mendirikan agamanya. sebaliknya pula, sesiapa yang meninggalkan sembahyang bermakna dia meruntuhkan agamanya” (Maksud hadis)
“Perbedaaan antara keimanan dan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang” (Maksud hadis)
“Bahawa sembahyang itu boleh mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran” (al-Ankabut, ayat 45)
“Amalan seseorang hamba yang mula-mula sekali dihisab pada hari Kiamat ialah sembahyang fardhu. Jika baik sembahyang yang dilakukannya, maka baiklah amal keseluruhannya. Jika rosak sembahyangnya,maka rosaklah amal keseluruhannya” (maksud hadis)
Namun ramai yang memandang ringan dan mengambil mudah amalan harian ini; pekerjaan sembahyang dilakukan mengikut perasaan dan keadaan. Mereka hanya bersembahyang apabila tidak berada dalam kesibukan. Mereka bersembahyang setelah dilanda malapetaka dan kesusahan. Mereka melakukan sembahyang semata-mata sebagai suatu eksais atau senaman untuk kesihatan badan. Mereka menangguh hari tua, dan membiarkan usia muda berlalu tanpa pengisian.
Sesetengah daripada mereka ini bersembahyang untuk pertunjukan, supaya dipandang mulia dan kelihatan rajin beribadat pada pandangan orang. Bagi yang meninggal sembahyang, mereka pantang ditegur dan dinasihati; jawapan mereka ialah “ibadatnya adalah persoalan peribadi”.
Tidak hairanlah diantara mereka ini, sembahyang tidak menjadi urusan serius. Mereka bangun dan bergerak dengan malas untuk bersembahyang. Mereka tidak membersihkan diri dan berwuduk dengan teratur. Ketika bersembahyang, mereka bertindak acuh tidak acuh atau bergopoh gapah untuk menamatkan ibadatnya. Tubuh fizikal mereka sahaja yang beraksi dan bergaya, sedangkan jiwa mereka meronta-ronta. Mata mereka terbeliak melihat kemana-mana, dan anggota mereka bergerak kesini-sana. Mereka menjadi… “orang lalai dalam sembahyang…” sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran.
Kebiasaannya, sembahyang sebegini tidak melahirkan impak atau kesan yang baik. Mereka berkenaan tidak terpengaruh oleh sembahyangnya. Sembahyang mereka sekadar ritual atau lakonan yang ditinggalkan begitu sahaja sesudah ia dilakukan. Mereka kembali kepada kehidupan maksiat, jika mereka berkeadaan sedemikian sebelum itu. Perbuatan bersembahyang berlalu begitu sahaja dalam kehidupan mereka.
Sebaliknya, mereka yang beriman dan bertaqwa mengurus sembahyangnya dengan bersungguh-sungguh dan penuh rasa tanggungjawab. Mereka tidak berlengah-lengah untuk bersembahyang apabila tiba waktunya. Dengan tubuh yang telah dibersihkan dan berbekalkan wudhuk yang telah disempurnakan, mereka melakukan sembahyang dengan khusyuk. Takbiratul ihram menjadi deklarasi pembukaan, satu perisytiharan kemerdekaan. Hanya Allah sahaja menjadi penumpuan dan pemusatan. Dengan segera mereka berada disuatu alam tersendiri, dunia sembahyang. Dengan tertib dan teratur, mereka menjalankan sembahyang berkesedaran bahawa Allah sedang melihatnya. Baginya, itu mungkin pertemuan terakhir dengan Penjadinya.
“Mereka ini adalah orang yang kusyuk dalam sembahyang, dan mereka akan memperolehi kejayaan.” (maksud al-Quran : Surah al-Mukminun, ayat 2.)
Sembahyang mereka ini berpotensi atau berpeluang besar melahirkan kesan yang baik. Disamping pahala dan balasan Illahi, mereka memperolehi ketenangan jiwa hasil daripada kerehatan dalam sembahyang. Sementelah lagi jika surah-surah dibaca waktu sembahyang difahami sehingga ia diterjemahkan menjadi pegangan sesudah bersolat. Mereka kembali bertaburan di bumi Allah setelah selesai sembahyang, sambil berhubungan dengan Allah dan manusia mengikut ketetapan dan peraturanNya.
Lebih-lebih lagi sekiranya sembahyang mereka ialah sembahyang berjemaah yang menjanjikan 27 kali ganda. Perjalanan mereka ke masjid bukan sahaja dituruti oleh perjumpaan yang mengikat silatur rahim atau persaudaraan Islam, tetapi juga disaksikan oleh cahaya matahari atau air hujan, serta rumput rampai yang mengiringi laluannya.
Mereka tersebut sesungguhnya mejadikan kehidupan sebahagian daripada sembahyang. Ini menepati janji mereka dalam sembahyang apabila mereka mengisytiharkan “Bahawa sembahyangku, ibadatku, hidup dan matiku adalah kerana Allah“
Tidaklah hendak dinafikan bahawa sembahyang itu adalah pekerjaan yang berat, kecuali bagi mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Betapa tidaknya? Manusia memerlukan komitmen untuk menjalankan ibadat harian ini. Barangkali dia terpaksa bangun diwaktu pagi yang amat sejuk untuk berwudhuk, atau terlebih dahulu mandi wajib sebagai persediaan untuk bersembahyang. Barangkali dia terpaksa memberhentikan kerja yang sedang asyik dilakukan.
Tetapi dalam kehidupan hari ini, mereka juga mempunyai banyak keistimewaan. Bekalan air dan api memudahkan pengurusan sembahyangnya, sedangkan generasi sebelumnya terpaksa berpelita ayam ke perigi dan ke sungai. Kenderaan yang berbagai jenis melengkapkan perjalanan ke surau dan masjid, sedangkan nenek moyang mereka dahulu terpaksa berjalan kaki mengharungi semak dan belukar, kadangkali terpaksa pula melintasi titian batang kelapa.
Begitu hebat sekali pengaruh sembahyang, seandainya ia diuruskan dengan betul; iaitu ibadat yang diperintahkan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah S.A.W.
Maka bersesuaian sekali dengan kepentingannya, maka baginda sebelum wafat berpesan mengingati ummah supaya jangan meninggalkan sembahyang.
Oleh : Prof. Dato’ Mohamad Abu Bakar. Dipetik dari Suara Masjid At-Taqwa, TTDI m/s 4 & 10.
Sumber dari www.toyu2u.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan