assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Ahad, 27 Disember 2009

Peritnya membesar, menyekolahkan anak

Oleh Lanh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maka barangsiapa yang derhaka dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya." - Q.S An-Nazi'at 37-41

ISNIN (4 Januari 2010) adalah hari pertama sesi persekolahan kebanyakan sekolah. Sekolah-sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memulakan sesi persekolahan lebih awal iaitu Ahad, 3 Januari.

Sebelum cuti anak-anak menunjukkan kepada penulis senarai buku tulis dan yuran yang perlu dijelaskan apabila sesi persekolahan bermula. Anak saya akan akan menduduki Tahun Dua, menunjukkan dua senarai keperluan iaitu untuk sekolah sesi pagi dan sesi petang (sekolah rendah agama rakyat).

Bagi sesi pagi, bayaran pembelian buku tanpa yuran (tidak dinyatakan dalam senarai bayaran) adalah kira-kira RM50, manakala bagi sekolah petang, bayaran buku dan yuran RM74.70. Ini bermakna bagi menjelaskan yuran dan buku tulis bagi anak ini adalah kira-kira RM200.

Jika seorang anak memerlukan RM200 bagi sesi baru persekolahan, seorang bapa atau penjaga lima anak, perlu menyediakan RM1,000. Bagaimanapun itu baru bayaran untuk buku latihan dan yuran di sekolah harian; jika seseorang anak itu berada di sekolah asrama, yuran tahunannya (termasuk makanan, asrama, dobi, PIBG dan pelbagai bayaran lain) jumlahnya boleh mencapai RM1,000 setahun!

Jadi cuba bayangkan jika sesebuah keluarga itu ada tiga anak di asrama, si bapa atau penjaga perlu mengeluarkan RM3,000. Kemudian jika keluarga itu ada seorang dua anak menuntut di menara gading, belanja yang diperlukan adalah ribuan malahan puluhan ribu. Ditambah dengan kos penyediaan pakaian dan peralatan sekolah, tambang bas dan duit belanja harian atau bulanan, banyak wang diperlukan sehingga ada kisah ibu bapa menggadai tanah, berhutang dan mengemis bantuan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.

Demikianlah betapa susah mak bapak hendak membesarkan anak-anak. Ketika meniti usia kian tua ini (akhir 40-an), saya merasai apa yang dialami ibu bapa saya dulu dalam membesar termasuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. Suatu ketika dulu pernah ibu bapa saya menanggung sekali gus semua kelapan-lapan anak daripada bangku sekolah rendah ke universiti.

Bayangkan betapa banyak wang yang perlu dibelanjakan jika tiga anak berada di universiti, tiga di sekolah menengah dan dua orang di sekolah rendah. Pendeknya ibu bapa perlu bergolok gadai, melakukan apa saja pekerjaan halal dan mengikat perut masing-masing bagi menyediakan anak-anak agar berjaya di dunia dan juga akhirat.

Mereka juga menebalkan muka berhutang kepada majikan dan saudara-mara jika wang yang disediakan tidak mencukupi kerana perbelanjaan persekolahan terlalu besar atau pun ditimpa kejadian tidak diduga seperti jatuh sakit dan kemalangan.

Seorang rakan saya mendakwa keluarga paling teruk membiayai perbelanjaan anak-anak adalah daripada golongan pertengahan (sederhana) seperti dirinya dan saya sedangkan golongan kaya tidak terasa apa-apa manakala golongan miskin menerima pelbagai bantuan seperti biasiswa dan diberi pengecualian pembayaran yuran dengan syarat anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Saya mengakuinya kerana dulu, hampir semua adik beradik saya mendapat biasiawa; paling koman pun mendapat pinjaman. Tetapi sekarang ini disebabkan kami suami isteri tergolong dalam kumpulan pertengahan, kebanyakan daripada perbelanjaan sekolah anak-anak perlu ditanggung sendiri; setakat ini tiada anak di peringkat sekolah menengah yang mendapat biasiswa. Tetapi syukur alhamdulillah semua buku teks sekarang ini dibiayai oleh kerajaan manakala yuran peperiksaan pun sudah dimansuhkan.

Baru-baru ini Kementerian Pelajaran mengumumkan peningkatan yuran makan di sekolah berasrama daripada RM1 kepada RM3 sehari. Sekalipun kenaikan ini hanya membabitkan ibu bapa atau penjaga yang berberpendapatan lebih RM5,000 sebulan, ia begitu membebankan golongan pertengahan.

Bijak pandai ada berkata di sebalik kesusahan ada kesenangan; ungkapan Melayu menyebut, berakit-rakit dulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dulu bersenang-senang kemudian. Yalah selepas bersusah payah termasuk bergolok gadai untuk melihat anak-anak berjaya dan terus berjaya sehingga ke menara gading, tentulah ibu bapa akan tersenyum panjang melihat mereka meniti kejayaan termasuklah semasa menerima ijazah pada majlis konvokesyen.

Di sebalik kegigihan sesetengah ibu bapa yang rela berkorban memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak, ada segolongan yang tidak peduli kepada nasib anak-anak. Mereka tidak rela berkorban, menghabiskan sejumlah wang untuk pendidikan anak-anak; jadi ada yang diberhentikan selepas tingkatan tiga dan lima. Ada dipaksa bekerja, tidak kurang juga didesak supaya berkahwin.

Ada pula anak-anak pula memilih bekerja dalam usia muda kerana bosan ke sekolah, sebahagiannya kerana kasihan melihat kehidupan daif ibu bapa lantas mahu membantu, ada yang menjadikan ibu bapa contoh; “jika ibu bapaku tidak bersekolah tinggi pun boleh mewah dan berkereta, buat apa aku belajar teruk-teruk.”

Namun apa yang membanggakan, sebahagian besar ibu bapa kini mempunyai pemikiran positif dalam pendidikan anak-anak. Berdasarkan pengalaman penulis, ibu bapa rela berkorban bagi memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Ketika menghantar anak ke pusat tuisyen, penulis perhatikan banyak ibu bapa meluangkan waktu menghantar dan kemudian sanggup menunggu penuh sabar ketika waktu tuisyen tamat. Mereka juga berebut-rebut menghantar anak-anak ke pelbagai program motivasi dan bimbingan dan tidak kisah bayaran membabitkan ratusan ringgit.

Pada hari peperiksaan umum pula seperti UPSR, PMR dan SPM, ada ibu bapa yang mengambil cuti dan kemudian ke sekolah untuk memberi perangsang dan sokongan kepada anak masing-masing.

Memang pengorbanan wang ringgit dan masa itu rasa berbaloi, segala penat lelah dan jerih mengeluarkan wang akan rasa hilang, apabila pada hari pengumuman peperiksaan si anak mengungkap: “Ayah, ibu, saya dapat 5A (jika anak mengambil UPSR) atau 9A (untuk PMR) atau 9A1 (untuk SPM)!”

* Bagaimana keputusan PMR anak-anak yang diumumkan pada 24 Disember? Insya-Allah semuanya cemerlang!-//lanh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan