assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Rabu, 11 Mac 2009

LAYANAN KITA TERHADAP AL-QURAN??!!

Hak Al-Quran

Saya tidak pernah lihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya ia disia-siakan atau seolah-olah ia dipelihara tetapi sebenarnya ia telah diabaikan sepertimana yang berlaku pada al-Quran yang ada pada umat kita ini. Allah telah menurunkan al-Quran al-Karim sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia.

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (Fussilat: 42)

Menyentuh tentang al-Quran al-Karim ini saya yakin ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam.

Pertama: Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membaca al-Quran.

Kedua: Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran ini perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Ketiga: Meletakkan al-Quran sebagai asas kepada undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan rasulNya. Allah mewariskan kitabNya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar. Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini dan kerana itu mereka bangkit melaksanakannya sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka yang membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca seluruh al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih. Ada di antara mereka apabila tidak berkesempatan membaca al-Quran mereka akan melihat mashaf al-Quran dan membaca beberapa ayat al-Quran kemudian mereka akan berkata: “Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran.” Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketiga iaitu Saidina Uthman r.a yang masih tidak bercerai daripada mashaf walaupun dia dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Di awal malam dia membaca kitab Allah

Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya:

Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud

Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka anda akan dapati tiada seorang pun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi s.a.w. telah bersetuju dengan Muaz apabila baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: Dengan kitab Allah. Muaz mulakan dengan kitab Allah kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci. Anda sendiri tahu bagaimana Umar r.a. telah melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar tentang apa yang dihalal dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana para imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi’ tabiin seperti Sa‘id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah. Sa‘id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata: Sa‘id berkata begini! Said berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan kitab Allah dan sunnah rasulNya.

Apakah dengan kisah-kisah seperti ini anda masih tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah meletakkan kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran. Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan atau diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu, di mana Islam ketika itu masih aktif dan segar. Agama ketika itu merupakan nikmat yang dirasai oleh semua. Pada hari itu seluruh umat Islam memahami apakah faedah kewujudan al-Quran bersama mereka, seperti yang diajari oleh Tuhan kepada al-Quran dan nabi pembawa al-Quran.


(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Sad: 29)

Setelah itu, tamatlah riwayat negara ini, pengaruh al-Quran pun mula hilang daripada ingatan umat Islam. Lidah dan akal mereka kini dicemari pengaruh asing. Ketika itu mereka dan al-Quran berada di tempat yang berasingan ibarat timur dengan barat.

“Dia berjalan ke timur aku berjalan ke barat

Alangkah jauh bezanya antara timur dan barat”

Menyentuh tentang beribadat dengan membaca al-Quran di tengah malam dan di siang hari, hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang menjaga dan mengamalkannya. Ahli-ahli ibadat pula mempunyai wirid atau himpunan atau amalan atau selawat yang mereka susun sendiri ataupun disusun oleh tuan-tuan guru mereka. Ini menyebabkan mereka mengenepikan kitab Allah dan mereka gantikan dengan amalan-amalan tadi yang mereka hafal, mereka amal, mereka baca, mereka ulangi sepanjang masa. Kita tidak pernah mengharamkan wirid-wirid yang sahih. Kita juga tidak pernah menghalang masyarakat mengamalkan doa dan himpunan yang tidak bercanggah pada dasarnya dengan syariat. Cuma kita katakan adalah lebih baik mereka amalkan kitab Allah. Pada peringkat permulaan, latih diri kamu untuk membaca beberapa juzuk al-Quran sehingga ia menyentuh hati kamu dan roh kamu sebati dengan limpahan cahayanya. Setelah itu barulah kamu berzikir mengingati Allah sebanyak mana yang kamu mahukan. Cuma bacaan tersebut hendaklah bertepatan dengan hukum agama. Namun apabila kamu abaikan al-Quran sebaliknya semua ibadat kamu hanya menggunakan wirid yang kamu susun sendiri atau disusun oleh orang lain bererti kamu telah meninggalkan kitab Allah dan kamu abaikan hak-haknya.

Menyentuh tentang pencedokan hukum daripada al-Quran, kejahilan orang ramai tentang kitab Allah menyebabkan wujud tembok pemisah antara mereka dengan al-Quran. Ini memaksa mereka hanya berpuashati dengan ringkasan dan huraian. Mereka tidak berminat untuk mengkaji ke tahap yang lebih tinggi.

Menyentuh tentang pelaksanaan hukum-hukum al-Quran yang berkaitan dengan urusan dunia, apa yang nyata hukum-hukum ini telah ditukar kepada undang-undang lain. Mereka meletakkan undang-undang bangsa asing serta undang-undang ciptaan Perancis dan Rom sebagai asas kepada undang-undang mereka. Kesannya, hukum-hukum kitab Allah dibekukan dan kewujudannya dilupakan oleh umat Islam. Melalui hukum-hukum ini Allah sebenarnya mahukan apa yang terbaik untuk mereka, jika mereka benar-benar mendengar. Akhirnya umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai jampi buat menyembuhkan penyakit atau dijadikan perhiasan atau hiburan dalam majlis iaitu ketika majlis keraian atau kematian. Mungkin tidak salah jika ketika itu mereka tetap menunaikan hak-hak al-Quran. Malangnya anda dapat lihat sendiri bagaimana sikap mereka dalam majlis tersebut, mereka tetap alpa dan leka. Mereka lebih banyak berhibur, bersembang dan membuang masa. Sedangkan Allah berfirman:


Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Al-A’raf: 204)

Suatu ketika dahulu al-Quran adalah hiasan dalam sembahyang. Namun sekarang al-Quran hanya hiasan dalam majlis keramaian. Dahulu al-Quran menjadi neraca keadilan dalam mahkamah. Namun sekarang ia menjadi bahan hiburan dalam pelbagai perayaan. Dahulu al-Quran disematkan dalam ceramah dan nasihat. Namun sekarang ia hanya disematkan dalam hiasan dan jampi serapah. Tidakkah benar apa yang saya katakan tadi: Saya tidak pernah lihat sesuatu yang kelihatan dijaga rapi tetapi sebenarnya ia disia-siakan seperti al-Quran!!

Layanan kita terhadap al-Quran ini adalah silap sama sekali. Memang betul kita mengagungkannya. Memang betul kita mempertahankannya. Memang betul kita gunakan al-Quran untuk mendekatkan diri dengan Allah. Namun saudara, cara kamu mengagungkan al-Quran itu silap. Cara kamu mempertahankan al-Quran itu terseleweng. Cara kamu menggunakan al-Quran untuk mendekatkan diri dengan Allah itu juga salah. Bukankah kita sebenarnya telah mensia-siakan kitab Allah apabila pusat-pusat menghafal al-Quran yang selama ini boleh mengecualikan sejumlah besar pemuda daripada terpaksa menyertai kerahan tentera kini lengang. Tiada siapa yang menghafal al-Quran dan tiada siapa yang mahu menghafal al-Quran kerana tiada pengecualian.

Bukankah kita sebenarnya mensia-siakan al-Quran apabila lita lihat seorang pelajar yang ingin memasuki al-Azhar al-Sharif hanya menghafal al-Quran kerana itu adalah syarat kemasukannya. Apabila dia keluar dia akan melupakannya kerana tidak disyaratkan dia perlu menghafal al-Quran sehingga tamat pengajian. Oleh itu anda lihat apabila mereka keluar dan menjadi imam mereka lakukannya sambil lewa. Apabila mereka menjadi penceramah mereka terpaksa bergantung kepada para ulama kampung yang menghafal al-Quran. Apabila mereka menjadi peguam atau hakim mereka terpaksa merujuk mashaf untuk memastikan ketepatan ayat yang mereka gunakan sebagai sandaran mereka.

Kita sebenarnya telah mensia-siakan al-Quran. Seolah-olah al-Quran itu kitab kuno yang sudah tidak berguna lagi atau tidak boleh dilaksanakan lagi. Inilah sebenarnya punca kenapa kita menerima segala bencana dan malapetaka ini.

Sidang pembaca yang dihormati, setelah anda memahami semua hakikat ini, sedarlah bahawa Ikhwan al-Muslimin sentiasa berusaha dengan gigih untuk membawa diri mereka terlebih dahulu kembali kepada kitab Allah. Mereka beribadat membaca al-Quran. Mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk memahami pendapat para ulama. Mereka menuntut supaya masyarakat melaksanakan segala hukum-hakam al-Quran. Mereka mengajak masyarakat supaya bersama-sama mereka bagi mencapai hasrat ini iaitu hasrat yang paling mulia bagi seorang muslim dalam hidupnya. Namun segala-galanya terserah kepada Allah jua.

dipetik dari: Adakah Anda Golongan Bekerja [Imam Hassan Al-Banna]

Ibnu Muslim:
Bejuanglah wahai seluruh umat Islam untuk memartabatkan al-Quran dalam segenap kehidupan haian kita..Jadikanlah al-Quran sebagai teman/rakan karib di dunia, di alam kubur dan di akhirat. SELAMAT BERAMAL..WASSALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan