Oleh : WAN JEMIZAN WAN DERAMAN
UMAT islam perlu berhati-hati agar tidak terlibat dalam kegiatan riba termasuk dalam membeli rumah.
MELIHAT kepada situasi hari ini, semakin mudah untuk seseorang itu terlibat dengan amalan riba. Bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional mengamalkan riba dalam transaksi harian mereka.
Apabila individu mendapatkan pinjaman daripada bank-bank konvensional atau membeli produk-produk insurans daripada syarikat insurans konvensional, secara automatik individu tersebut akan terlibat dengan amalan riba.
Riba jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Ada beberapa pendapat dalam penjelasan makna riba.
Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisaa' : 29)
Di dalam al-Quran, perkataan riba ini diulang lapan kali di dalam empat surah iaitu surah al-Baqarah, ali-'Imran, An-Nisaa' dan Ar-Rum.
Ini menunjukkan bahawa pengharaman riba itu diturunkan secara berperingkat- peringkat seperti juga pengharaman arak kepada manusia.
Dalam Surah Ar-Rum ayat ke-39, Allah SWT telah menerangkan unsur negatif yang terdapat dalam riba. Riba itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah sekalipun di sisi Allah SWT.
Sebaliknya, orang yang mengeluarkan zakat itulah yang akan dilipat-gandakan pahalanya serta mendapat keredaan Allah SWT. Inilah teguran pertama daripada Allah SWT kepada pengamal riba.
Riba telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia juga diharamkan oleh semua agama. Allah SWT melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)
Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)
Al Qurtubi menyebut bahawa tiada dosa yang lebih buruk dari riba sehinggakan Allah SWT sendiri begitu tegas di dalam firman-Nya dengan mengisytiharkan perang.
Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang sangat tinggi termasuklah dalam soal hartanya. Tidak wajar mencabuli harta yang dimilikinya kerana ia dikira mencabul kehormatannya. Riba adalah salah satu bentuk pencerobohan ke atas harta orang lain secara batil.
Sebagai contoh dalam pinjaman, sebarang pertambahan ke atas nilai pokok yang diberikan dianggap sebagai mendapatkan habuan tanpa ada susah payah malah diperolehinya di atas kesusahan orang lain.
Oleh itu Islam mengharamkan riba untuk menjaga maruah seseorang daripada sewenang-wenangnya dicerobohi.
Islam sangat menggalakkan sifat tolong menolong di antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: ...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah... (al-Maidah: 2)
Falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam ialah untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.
Dengan mengenakan caj tambahan yang kadangkala berganda-ganda melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.
Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.
Islam mengharamkan riba kerana ia bercanggah dengan fitrah kehidupan manusia di mana setiap individu perlu menjadi anggota atau unsur kepada produktiviti. Akan tetapi menerusi amalan riba ini menyebabkan manusia menjadi malas untuk berusaha dan hanya memikirkan bagaimana hendak melipatgandakan keuntungan di atas keringat orang lain.
Akhirnya harta tidak berkembang dan hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (al-Rum: 39)
Riba juga akan membuka pintu keburukan dan menghilangkan keberkatan harta serta kehidupan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa". (riwayat Ahmad)
Pengamal riba dikira telah melakukan dosa zina ibu bapa sendiri seperti sabda Rasulullah SAW: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..." (riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim)
Riba itu boleh terjadi dalam dua keadaan iaitu semasa berjual beli ataupun berhutang. Dalam perbahasan kitab fikah ia disebut sebagai Riba Buyu' (riba dalam jual beli) dan Riba Duyun (hutang).
Riba Buyu' adalah berlaku pertukaran barangan ribawi yang berbeza dari segi kuantitinya seperti menukarkan 1 kilogram (kg) beras jenis A dengan 2 kg beras jenis B atau berlaku penangguhan dari sudut masa seperti membeli emas secara hutang. Dalam konteks semasa riba jenis ini boleh berlaku sebagai contoh dalam urusniaga mata wang asing (forex).
Barangan ribawi ialah medium pertukaran seperti emas, perak, mata wang dan makanan asasi seperti beras, gandum dan sebagainya. Jual beli yang melibatkan barangan ribawi ini hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan agar tidak berlaku transaksi riba seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tepung dengan tepung, kurma dengan kurma, garam dengan garam, bayaran harus dari tangan ke tangan (tunai). Barang siapa memberi tambahan atau meminta tambahan, sesungguhnya ia telah berurusan dengan riba. Penerima dan pemberi itu sama-sama bersalah. (riwayat Muslim)
Riba Duyun adalah riba yang berlaku dalam urusan pinjam meminjam, iaitu apa-apa penambahan ke atas amaun pokok sama ada penambahan tersebut dijanjikan oleh peminjam atau ditetapkan oleh pemberi pinjam semasa akad atau semasa apabila telah berlaku default.
Sebagai contoh, seseorang memberi pinjam kepada sahabatnya RM10,000. Semasa beliau memberikan wang tersebut beliau menetapkan kepada sahabatnya supaya membayar lebih RM500 ke atas nilai pokok tersebut daripada awal lagi atau mengenakan caj sebanyak lima peratus jika sahabatnya gagal membayar ansuran atau sahabatnya berjanji untuk membayar lebih sebanyak RM300.
Semua senario ini adalah contoh mudah senario transaksi Riba Duyun dalam pinjaman. Riba jenis ini banyak berlaku di bank-bank konvensional masa kini seperti pinjaman dalam membeli kereta, membeli rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya.
Berdasarkan hujah-hujah yang diberikan sama ada daripada ayat-ayat al-Quran, as-Sunnah dan praktis semasa bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional pada hari ini, ia menunjukkan amalan riba membawa kepada lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada individu mahu pun ahli keluarga mereka.
Justeru, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab serta mementingkan keadilan dalam setiap perkara, seharusnya kita mempromosikan perbankan Islam dan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Takaful, sebagai alternatif dan jalan penyelesaian daripada terlibat dengan amalan riba.
Sekurang-kurangnya, kita telah berusaha untuk memberi jalan keluar kepada masyarakat daripada terus bergelumang dengan amalan riba yang sememangnya dilaknat oleh Allah SWT.
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010
Jumaat, 7 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan