
"Antara manusia paling sibuk mencari populariti, glamour, nama dan duit segera ialah para selebriti, artis dan yang sepertinya. Halal haram, mana perintah Allah, mana larangan Allah, patuh atau langgar syariat semuanya dipinggirkan. Ia tidak menjadi keutamaan. Yang diutamakan ialah 4,5 perkara di atas tadi.
Di Malaysia, antara modal insan paling ramai dilahirkan ialah melalui industri seni dan hiburan.
Tidak perlu kelulusan akademik tinggi. Yang diperlukan ialah bersedia menjadikan hawa-nafsu sebagai raja, mengenepikan hukum halal-haram, syariat dan menggadaikan tugas sebagai khalifah Allah di bumi.
Maaflah kalau tulisan ini agak keras bunyinya. Kekadang tulisan yang keras baik bagi melembutkan hati yang keras.
Bagi mereka glamour, dan duit ratusan ribu ringgit sebagai bayaran melalak, berpura-pura dalam drama dan filem itulah yang boleh menyelamatkan mereka dari murka Allah.
Saudara/i, sedarlah bahawa itu semua hanya sementara untuk sebuah kehidupan di dunia yang menjadi ujian ini. Glamour tidak lama, ia akan pupus. Nama tidak kekal, ia akan pudar. Duit tidak boleh menyelamatkan, ia akan habis.
Biarlah nama kita dikenali di langit. Jika Allah menyayangi seseorang, Allah memanggil Jibril dan memberitahunya bahawa Allah sayangkan si fulan. Kamu kena sayang kepadanya dan beritahu malaikat lain supaya menyayanginya. Akhirnya semua makhluk di langit sayang kepadanya. Begitu juga sebaliknya jika Allah murka kepada si fulan-si fulan. Akhirnya semua makhluk di langit murka kepadanya.
Mudah sahaja untuk kita tahu yang mana disayangi Allah dan mana yang dimurkai Allah. Orang yang ikut ajaran Islam, ikut Nabi, ikut perintah Allah, jauhi larangan Allah itulah insyaAllah orang yang disayangi Allah, Jibril dan makhluk di langit. Sebaliknya mereka yang suka melanggar perintah Allah dan Rasul itulah yang dimurkai di langit.
Elok juga kalau diajar telinga itu untuk mendengar peringatan supaya tahu hakikat hidup ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan