Ditulis oleh Adam Yew Abdullah
http://damsithoh.blogspot.com/
Mungkin ada orang yang tidak mengetahui, amalan sedekah dalam islam adalah suatu amalan yang sangat terpuji. Sehingga ulama-ulama mengatakan bersedekah adalah sunat yang dituntut, wajar dilakukan oleh setiap muslim. Dan Allah SWT menyukai orang yang suka bersedekah.
Untuk pengetahuan muslim semua, ini pengalaman saya ketika saya menganut agama nenek moyang dahulu, orang-orang cina suka bersedekah kepada tokong-tokong mereka.
Kerana apa? Kerana orang-orang cina mempercayai bahawa sedekahnya itu akan menjadi berkat dan kekayaan mereka akan bertambah. Tidak kira tua atau miskin pun mereka tetap akan bersedekah walaupun seringgit atau dua ringgit. Bersedekah adalah menjadi amalan budaya orang-orang cina. Maka tidak hairanlah, kalau kita lihat kebanyakkan tokong-tokong cina di Penang semuanya berbesar-besar. Cuba anda semua lihat bertapa besarnya dan hebatnya bangunan seperti ‘Kek Lok Se’ di Air Itam. Semua itu dibangunkan dengan menggunakan duit sumbangan orang-orang cina. Dan sumbangan yang terbesar direkodkan adalah dari masyarakat negara cina itu sendiri. Malah setiap duit yang disedekah oleh mereka dicatat pada setiap tiang-tiang dan bumbung-bumbung bangunan. Untuk apa semua ini? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa ini adalah amal jariah yang dilakukan oleh penderma. Dan setiap kali sami membaca doa, nama-nama yang menderma disebut sebagai tanda penghormatan. Bagi orang cina bersedekah adalah semacam periuk nasi mereka. Ketahuilah…!
Apa yang saya cuba membuatkan anda semua faham adalah amalan sedekah seharusnya mencontohi amalan seperti orang-orang cina yang menjadikan ia sebagai sebahagian budaya mereka. Budaya bersedekah harus diterapkan dalam setiap diri muslimin dan muslimat. Tidaklah kira tua atau muda, miskin atau kaya. Semuanya wajar bersedekah kerana Allah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada muslim semua sekiranya kita melakukan sedekah. Allah berfirman dalam surah al-baqarah, ayat 261 iaitu,
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
Lihatlah betapa ganjaran pahala yang banyak dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang membelanjakan harta mereka itu ke jalan Allah SWT. Allah mengumpamakan setiap seringgit yang kita sedekahkan kepada orang-orang yang layak menerima sedekah di dalam jalan Allah, akan seperti sebiji benih yang ditanam akan tumbuh menjala tangkai-tangkai pokok itu memperolehi hasil-hasil daripada tanaman itu. Begitulah lebih kurang maksud ayat di atas. Apabila kita bersedekah kepada anak-anak yatim umpamanya, setiap wang ringgit yang dibelanjakan dan barangan keperluan digunakan oleh mereka, kita yang menyumbangkan itu akan memperolehi keuntungan ganjaran pahala dari Allah SWT. Setiap satu atau setiap sen yang kita sumbang akan mendapat kepujian dari Allah SWT. Tidakkah mahu kita mengejar semua itu yang terbukti dan ternyata disebut dalam al-quran? Kita sebagai muslim yang percaya dan yakin dengan kepercayaan kita sewajarnya sekurang-kurang menghayati ayat di atas dan cuba hulurkan sedekah walaupun ianya sedikit.
Pernah saya ditanya oleh seorang hamba Allah, adakah sedekah ini hanya dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan sahaja? Saya kata tidak. Sedekah itu banyak bentuknya. Di antara bentuk sedekah yang disebut oleh Nabi SAW ialah,
Dari Abu Dzar al-Ghaffari r.a., Nabi SAW bersabda:
“Pada setiap hari yang disinari oleh cahaya matahari, diwajibkan bagi setiap orang bersedekah untuk dirinya sendiri.”
Lalu saya bertanya : “Ya Rasulullah, dari mana saya dapat menunaikan sedekah itu, padahal kami tidak mempunyai harta?”
Nabi menjawab : “Karena di antara pintu-pintu sedekah ialah membaca takbir, subhaanallah, alhamdulillaah, laa ilaaha illallaah dan astaghfirullaah. Juga bila anda menyuruh berbuat baik dan mencegah yang jahat, menghindarkan duri, tulang dan batu dari tengah jalan, membantu orang yang buta, mengajar orang tidak tahu membaca dan bisu hingga orang itu pandai, menunjuk orang yang menanyakan sesuatu keperluan yang anda ketahui tempatnya, dengan kekuatan berjalan membantu orang yang malang meminta tolong, dan dengan kekuatan lengan mengangkat barang orang yang lemah, semua itu merupakan pintu-pintu sedekah, yakni dari dirimu untuk dirimu sendiri. Juga dalam mencampuri isterimu, kamu akan beroleh pahala”.
Riwayat Muslim dan Ahmad
Jadi, inilah bentuk-bentuk sedekah yang boleh disumbangkan oleh kita walaupun kita adalah orang yang tidak berupaya mengeluarkan wang ringgit mahupun barangan. Walaupun dengan perkataan yang baik-baik itu juga disebut sebagai sedekah dan sudah memadai.
Namun kita perlu berhati-hati ketika melakukan amal ibadah bersedekah ini. Perlu dijaga tata tertib kita ketika bersedekah. Orang yang bersedekah dinasihati supaya jangan mengungkit-ungkit atau menyebut-yebut sehingga didengari oleh orang yang menerima sedekah itu. Sehinggakan menyakiti hatinya dan berbangga-bangga dengan sedekahnya. Dan paling jelik sekali ialah bersifat riak dengan sedekahnya itu, bertujuan menunjuk-nunjuk keupayaannya dan bongkak dengan hartanya yang banyak. Orang-orang seperti ini dilaknati dan tidak sukai oleh Allah SWT. Akan terbatal pahala amalan sedekahnya. Malah mendapat dosa besar kerana menyakiti hati sipenerima. Ini adalah sesuatu perbuatan yang seharusnya tidak wajar berlaku bagi seorang pemberi sedekah sama ada bercakap dari belakang, tetap terbatal amalan pahala sedekahnya. Allah Maha Mengetahui segala apa yang diucapkan mahupun diucapkan di dalam hati. Allah SWT berfirman….
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir
Apa yang patut dan mampu kita sumbangkan kita lakukan dengan niat yang ikhlas.. Bersedekah mengikut kemampuan kita dapat menghindari dari mengungkit-ungkit kerana itu adalah harta lebihan setelah menolak sedekah keatas dirinya, isteri dan anak-anaknya dan kaum kerabatnya. Setelah selesai itu, maka barulah disedekah wang lebihan itu kepada orang yang memerlukan saja jika mampu.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, tidak akan dipandang dan tidak akan dihargaiNya, serta bagi mereka disediakan siksa yang pedih”. Siapakah mereka itu, ya Rasulullah?”
Jawab Nabi “Orang yang berbangga-bangga dengan pakaiannya, orang yang menyebut-yebut pemberiannya dan orang yang menawar-nawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu”.
Maka janganlah kita tergolong dalam sifat-sifat yang seperti di atas. Adab bersedekah harus dijaga ketika bersedekah. Jangan mengungkit-ungkit sehingga menyakitkan hati orang yang menerima. Kalau rasa tidak mampu bersedekah atau tidak bersedia, maka jangan sekali-kali memaksa diri untuk bersedekah. Kerana itu boleh menyebabkan penyakit ungkit-mengungkit dalam hati kita.
Alhamdulillah, setakat ini mampu saya mengongsi pendapat dan pandangan saya tentang amalan bersedekah ini. Saya rasa amat penting setiap orang muslim bertanya untuk diri sendiri, adakah saya sudah bersedekah? Jika belum, lakukanlah sekarang, mulai hari ini. Terutama pada bulan Ramadhan ini, bersedekah dalam bulan ini sangat baik kerana dijanjikan amalan pahala yang banyak, insyaAllah, kalau kita niat kerana Allah SWT. Oleh itu, bagi yang mampu, mulakanlah sedekah anda dengan menyumbang walaupun seringgit kepada tabung anak yatim. Semoga apa yang disumbangkan itu membawa berkat pada anda semua. InsyaAllah.
Wallahu a’lam
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010
Khamis, 30 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan