assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 28 Julai 2009

Salafi’ di Yaman masuk politik

BINGKISAN DARI YAMAN
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Salafi adalah satu istilah yang merujuk kepada golongan tertentu yang beriltizam mengamalkan sunnah dan mengikut jalan dan manhaj salafus-soleh dalam perkara akidah, fiqh dan tazkiah al-nafs (akhlak).

Hal ini adalah sangat baik kerana kita sedang hidup pada satu zaman yang cukup mencabar dan seruan untuk kembali kepada manhaj salaf adalah satu perkara yang dirasakan sangat perlu.

Akan tetapi, kita juga perlu melihat realiti zaman yang sudah banyak berubah. Maka, seruan untuk kembali kepada manhaj salaf dan berhadapan dengan realiti zaman di mana kita berada perlu diimbangi dengan kaedah-kaedah syarak demi maslahah umat dan menolak mafsadah serta kerosakan yang lebih teruk.

Kembali kepada istilah ‘salafi’, berpunca daripada salah faham dan kejahilan umat, maka gelaran yang mulia ini telah mendapat reaksi yang agak negatif dari kalangan masyarakat muslim di mana-mana negara dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Ini kerana, apabila disebut gelaran ‘salafi’ atau ‘wahhabi’ atau golongan ‘sunnah’, kebiasaan yang tergambar dalam pemikiran masyarakat ialah golongan ini menolak berpegang dengan satu-satu mazhab, amalan tahlil, bacaan Yassin pada malam Jumaat, talkin di atas kubur dan lain-lain perkara yang disifatkan sebagai furu’ iaitu cabang dalam agama.

Saya tidak ingin terjun dalam membincangkan fitnah ini. Terlalu banyak kontroversinya. Lagi pun sudah ramai ilmuwan agama di negara kita yang telah menghuraikannya dari sudut pro dan kontra. Bahkan, hari ini ramai juga yang sudah faham hakikat sebenar istilah ‘wahhabi’ yang dituduh sesat dan menyeleweng dari akidah Ahlul-Sunnah wal-Jamaah.

Satu perkara yang kurang diketahui tentang golongan ‘salafi’ ini ialah tentang pegangan mereka dalam bidang politik yang mengharamkan pilihanraya untuk memilih pemimpin negara kerana ianya dibuat mengikut acuan demokrasi. Sedangkan demokrasi adalah suatu yang bukan berasal dari syariat Islam.

Pengamal demokrasi atau kepartian sering dituduh sebagai sesat, menyeleweng, malah dikafirkan oleh golongan yang agak keras. Bukan sekadar itu, mana-mana golongan yang menentang pemerintah dalam pilihanraya akan dihukumkan sebagai bughah yang menderhaka dan memerangi pemimpin kaum muslimin. Perbuatan ini adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar.

Kerana itu, akhbar-akhbar berhaluan bebas di Yaman mula mempersoalkan pendirian kelompok ‘salafi’ di Yaman yang sudah mula terjun ke dalam medan politik dengan menyokong parti pemerintah secara terang-terangan.

Dalam pilihanraya presiden tahun 2006, ramai para pemerhati melihat bahawa mereka telah dipergunakan oleh pihak pemerintah supaya mengeluarkan fatwa melarang rakyat Yaman mengundi calon-calon daripada parti pembangkang terutamanya Parti Islah yang berhaluan Islam. Kerana perbuatan itu termasuk menentang pemerintah muslim dan dikira sebagai dosa besar.

Ketika itu, mereka menyebarkan buku-buku yang menerangkan haramnya menentang pemerintah dengan dana yang cukup besar. Malah mereka juga mempergunakan mimbar khutbah untuk memberi amaran kepada rakyat agar tidak menyokong pihak pembangkang.

Di pihak pemerintah pula, fatwa golongan ‘salafi’ ini telah disebarkan melalui SMS Yemen Mobile. Maka dengan jelas, golongan ini telah masuk ke dalam kancah politik demokrasi yang dahulunya dikecam sebagai sesat, kufur dan syirik.

Syeikh Abu Hassan al-Ma'rebi adalah di antara tokoh ulama salafi yang dilihat rapat dengan presiden dalam jangka masa kempen pilihanraya di Ma'reb. Mereka hanya berpegang bahawa menentang pemerintah adalah haram tanpa menyedari bahawa pemerintah yang dipertahankan itu juga lahir daripada sistem demokrasi yang haram sebagaimana dakwaan mereka.

Sebenarnya terdapat ramai para ulama berhaluan ‘salafi’ yang mengambil pendirian sederhana dalam persoalan ini. Malah terdapat di kalangan mereka yang berada dalam Parti Islah walaupun mereka kurang percaya pada ketelusan sistem demokrasi dan pilihanraya. Syeikh Muhammad as-Sodeq Abdullah Mughlis adalah salah seorang tokoh ulama salafi dalam Parti Islah dan beliau pernah berperanan sebagai ahli parlimen.

Di antara tokoh-tokoh salafi yang dikenali keras menentang pilihanraya dan demokrasi ialah Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan Syeikh Muqbil bin Hadi – rahimahullah Ta’ala.

Dalam sebuah buku karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam berjudul Tanwir al-Zhulumat bi Kasyf Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabat, beliau telah menyenaraikan 45 kerosakan dalam pilihanraya. Di antaranya ialah perbuatan keluar menentang pemerintah muslim adalah haram dalam agama Allah (hal.171).

Beliau mendatangkan dalil daripada hadis-hadis yang sahih bagi menyokong pendapatnya. Di antaranya ialah, hadis Ummu Salamah r.anha tentang golongan pemerintah yang tidak dibenci oleh rakyatnya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah boleh kami memeranginya? Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak, selagi mana mereka masih bersolat.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi dan Abu Daud).

Dalam hadis Ibnu Abbas pula, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada pemerintah, maka hendaklah dia bersabar. Maka sesungguhnya sesiapa yang memecahkan jamaah sebanyak satu jengkal, lalu dia mati dengan kematian jahiliyyah.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Kedua-dua hadis ini melarang umat Islam daripada memerangi pemerintah selama mana mereka masih solat dan hendaklah bersabar ketika menghadapi perbuatan zalim daripada pemerintah.

Tetapi, adakah boleh dikiaskan hadis ini dengan tindakan menukar pemerintahan melalui pilihanraya? Di mana pihak pemerintah sendiri yang membuka jalan agar jawatan pemerintah ini dipertandingkan. Malah pemerintah itu juga turut sama bertanding untuk menyandang kembali jawatan tersebut. Dalam keadaan pemerintah itu sendiri redha jawatannya itu dipertandingkan, adakah tindakan parti pembangkang meletakkan calon untuk bertanding mendapatkan kerusi pemerintahan dikira sebagai bughah, fasik, berdosa besar atau kafir?

Persoalan ini akhirnya menjerat kembali golongan ‘salafi’ dengan fatwa-fatwa mereka dan pendirian mereka berhubung dengan pilihanraya dan demokrasi. Sekiranya mereka sudah iltizam bahawa ianya adalah sesat dan keluar daripada sumber-sumber Islam, maka mengapakah mereka kini semakin menzahirkan diri dalam kancah politik di Yaman?

Menurut tokoh-tokoh salafi yang sederhana dalam Yayasan al-Hikmah dan al-Ehsan di Yaman, mereka juga menyeru dan menyokong Presiden Ali Abdullah Saleh kerana beliau telah dipilih oleh rakyat dalam pemilihan pada tahun 1978. Tetapi mereka sendiri terpaksa menyedari hakikat bahawa proses pemilihan itu juga bukanlah bersifat syura yang dianjurkan dalam Islam.

Yang jelas, golongan ‘salafi’ di Yaman ini terpaksa berhadapan dengan realiti negara republik ini dan dalam masa yang sama mereka perlu bersikap berkecuali sekiranya benar-benar berpegang dengan prinsip mereka.

Bukanlah suatu yang pelik, di negara saya sendiri terdapat golongan yang mengaku berpegang dengan manhaj salaf begitu keras menolak pilihanraya dan demokrasi, akan tetapi sangat kuat juga menyokong dan berdampingan dengan pemerintah yang berhaluan sekular dan kebangsaan. Pastinya, mereka juga berdalilkan hadis-hadis di atas sebagai hujah. Lalu adakah tindakan menentang pemerintah dalam pilihanraya umum di Malaysia juga dikira sebagai bughah dan berdosa besar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan