assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Jumaat, 15 Januari 2010

Filem Islamik Tetapi Dedah Aurat & Adegan Haram

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

SOALAN

Dahulu saya juga berhati-hati apabila mahu mengulas isu-isu semasa. Tetapi kadang kala saya melihat isu itu terang-terang tidak menguntungkan islam malah banyak menjauhkan umat islam dari agama. Namun, apabila diulas, ada yang mendakwa isu itu ada pakar yang lebih mengetahui selok beloknya berbanding kita yang awam hatta ustaz yang faham agama.

Isu yang saya ingin bangkitkan adalah isu industri hiburan. Pembukaan aurat adalah haram di sisi Islam. Persentuhan untuk menunjukkan kasih sayang atau melakonkan watak di kalangan bukan mahram juga haram di sisi islam.

Apabila saya sudah mengetahui akan hukum haram ini, dan melihat suasana industri hiburan yang meraikan kedua-dua kemungkaran tersebut lalu saya mengulas dan memprotesnya, adakah saya juga dikategori sebagai tidak berhati-hati?

Ini kerana ada yang menganggap selok belok industri hiburan lebih diketahui oleh orang hiburan sendiri. Maka patut atau tidak patut, baik atau tidak baik mereka melakukan perkara haram itu sehingga boleh mereka mengHARUSkan pembukaan aurat dan persentuhan lelaki perempuan dalam nyanyian atau lakonan atas dua alasan:

1) menyampaikan mesej dan pengajaran dengan lebih berkesan

2) mencari rezeki, kerana itulah satu-satunya jalan mereka boleh cari makan

Malah ada 'ustaz' yang menghalalkan segala perbuatan mereka itu dalam keadaan sekarang dengan mengkategorikan sebagai darurat.

Darurat baginya kerana:

1) sukar untuk memproduksikan karya hiburan yang islami kerana tenaga kerja seperti penulis skrip yang berbakat, pengarah yang berbakat, pelakon atau penyanyi yang berbakat malah penerbit yang sudi memproduksikan karya islami masih belum wujud.Maka hukumnya sama seperti berurusan di bank konvensional ketika masih belum ada bank islam.

2)sukar untuk mendapat perhatian awam jika karya itu tak ditayangkan perbuatan haram yang lazim berlaku dalam masyarakat. karya yang mencerminkan realiti akan memberi impak nasihat yang lebih berkesan

-MFR studio-

(dari ruangan komen)

JAWAPAN

Sewajarnya, isu ini memerlukan huraian dan penulisan yang lebih jitu dan panjang. Namun untuk tidak mengecewakan penanya, saya sertakan respon ringkas saya. Ia mungkin tidak jitu dengan hujjah dan komprehensif, namun diharap mampu memberi gambaran general pandangan saya berkenaan isu yang ditanyakan.

Begini pandangan saya :-

Pertama : Sdr boleh terus memberi pandangan cuma jangan terlalu muktamad merasakan bahawa kita dan tafsiran kita dalam hal yang sebegini akan sentiasa lebih tepat dari pihak berkelayakan (berilmu) yang lain. Dengan itu, barulah saudara akan terhindar dari penyakit yang sedang saya hurai ini. (merujuk kepada artikel "ilmu sekerat-kerat, akhirnya sesat" )

Kedua : Sejauh mana kebenaran kenyataan, ada 'ustaz' yang menghalalkan. Kenyataan sebegini perlu dihindar kerana saya pasti, tiada seorang ustaz pun yang akan menghalalkan yang haram. Cuma apa yang ada mungkin, 'ustaz' yang terbabit melihat manfaat melebihi mudarat. Dia mungkin tersilap, tetapi belum muktamad dia silap kerana sememangnya di dalam Islam terdapat konsep Tadarruj iaitu beransur ke arah kebaikan.

Kalau benar ia dalam adalah sebuah proses Tadarruj , maka pelanggaran hukum hakam tadi bukanlah diHALALkan. Apa yang haram tetap haram tetapi proses timbang tara ini, apabila dilihat secara 'big picture' penyertaan dalam industri perfileman tadi adalah ke arah memperbaikinya sedikit demi sedikit. Ia diteruskan atas maqasid umum itu.

Macam orang baru masuk Islam, kita tak wajar nak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik, mewajib segala penunaian kewajiban agama dalam tempoh sehari. Justeru, perubahan kepada kebaikan itu berlaku dalam keadaan si muallaf masih membuat benda haram seperti tidak solat lima waktu contohnya, tidak tutup aurat dan sebagainya. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia adalah satu proses.

APA ITU TADARRUJ ?

Tadarruj adalah proses pembaikpulihan yang dibuat secara beransur-ansur. Dalilnya dari firman Allah : Al-Imran : 133 ; Al-Maidah : 48 , An-Nisa' : 65 ;

Hadith Nabi :

Ertinya : "Apabila aku perintahkan dengan sesuatu perintah, maka perbuatlah kamu sedaya upayamu, jika aku larang sesuatu pekara jauhilah ia" [1]

‘At-Tadarruj ' (beransur-ansur) juga lebih utama daripada membuat perubahan mendadak. Berkata Khalifah Umar Ab Aziz r.a kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan :

لا تعجل يا بني , فإن الله ذمّ الخمر في القرآن مرتين , وحرمها في الثالثة , وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة , فيدَعوه جملة , ويكون ذا فتنة .

Ertinya : "Jangan tergesa-gesa ya anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik) , maka mereka meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah.[2]

Ulama kontemporari mempunyai pelbagai pendapat terhadap Isu ‘Tadarruj ' dalam pelaksanaan hukum, secara umumnya mereka terbahagi kepada dua kumpulan :-

* Tidak bersetuju dan wajib melaksanakannya segera apa sahaja yang wajib tanpa tangguh: Ia adalah pandangan Syed Qutb, As-Syahid Abd Qadir Awdah, Dr. Said Ramadhan Al-Buti.

* Bersetuju dengan Tadarruj berperancangan ketika tiada atau kurang kemampuan : mereka adalah Abul A'la al-Mawdudi, Dr Yusof Al-Qaradhawi & Dr Muhd Abd Ghaffar Syarif.

Bagaimanapun kumpulan ini meletakkan beberapa syarat iaitu[3]:

a. Prinsip Aqidah tidak termasuk dalam bab Tadarruj ini.

b. Yakin tentang kewajiban melaksanakan syari'at Islam secara sempurna, dan wajib menyediakan suasana yang sesuai bagi melaksanakan tuntutan tersebut.

c. Bukanlah bermaksud Tadarruj, menjatuhkan hukuman kepada si lemah, dan meninggalkan si kaya dan yang berpangkat.

MUDARAT DAN MANFAAT DARI FILEM ISLAMIK

Proses ukuran manfaat dari tema dan mesej filem kepada orang awam dan mudarat hasil pembukaan aurat dan sentuhan artis juga memerlukan kepada pertimbangan yang teliti. Namun ia boleh sahaja membuka perbezaan ijtihad dan telahan yang membawa kepada satu pihak mengharam dan yang lain mengharus.

Mungkin sahaja pihak yang mengharuskan berpendapat "ketiadaan filem-filem bermesej Islamik di pasaran lebih besar mudarat berbanding pembukaan aurat pelakon dalam filem Islamik"

Atau mungkin ada yang berpandangan

"Kebaikan yang mampu disebarkan melalui mesej filem itu melebihi dari tumpuan orang kepada aurat pelakon. Malah kebanyakan penonton tidak menyedari pelakon yang bersentuh adalah bukan mahram kerana minda mereka terfokus untuk faham ia adgean ibu dan anak, atau suami dan isteri."

Kita boleh tidak bersetuju atau boleh juga bersetuju. Sebagai panduan, Islam telah menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini seperti berikut :-

إن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan / mudarat diutamakan dari memperolehi maslahat ;

Itu adalah apabila kedua-duanya sama berat. Tetapi kiranya salah satu berat, maka perlu mengikut kaedah lain di bawah.

إن المفسدة الصغيرة تغتفر من أجل المصلجة الكبيرة

Ertinya : Kemudaratan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatan yang besar.

Kaedah ini mungkin digunapakai oleh para ustaz yang mengharuskan filem-filem bermesej Islam tetapi mempunyai serba sedikit kecacatan akibat lakonan pelakonnya.

Seterusnya kaedah :

وتغتفر المفسدة العارضة من أجل المصلحة الدائمة

Ertinya : Tidak diambil kira keburukan yang terputus-putus, dalam usaha meraih kemaslahatan yang kekal dan berterusan.

لا تترك مصلحة محققة من أجل مفسدة متوهمة

Ertinya : Tidak harus meninggalkan maslahat yang pasti kerana takutkan kemudaratan yang tidak pasti dan menurut andaian yang lemah.

Selepas hadam semua kaedah ini dan fahami konteks penggunaannya, seseorang ilmuan akan dapat menetapkan pendirian dalam soal hukum membantu atau tidak penerbitan sebuah filem Islamik yang ada sedikit bercampur yang elemen haram.

Dharurat yg disebut itu mungkin sukar untuk saya terima juga kerana ia kurang menepati takrif dharurat. Selain itu, perfileman bukanlah satu perkara yang dianggap asasi, berbeza dengan perbankan yang amat amat diperlukan oleh ramai.

KESIMPULAN

Oleh itu, saya kira, pertimbangan proses Tadarruj mungkin perlu dalam hal ini. Namun kritikan boleh diteruskan kerana peningkatan kepada yang lebih baik sentiasa memerlukan kritikan membina. Jauhi kritikan menyesat dan menghentam. Jauhi juga, tuduhan ustaz yang menyokong menghalalkan yang haram dan sepertinya.

Kita juga mengharapkan penglibatan penulis skrip, pengarah, penerbit dan pemilik idea Islamik dan pergaulan mereka dengan para pelakon akan mampu mengubah sang pelakon sedikit demi sedikit. Maklumlah, nasihat dan kata-kata dari seorang pengarah, penerbit dan penuli sskrip secara tidak langsung boleh mempengaruhi orang yang dibawahnya.

Namun kebimbangan saya, jika ada pengarah dan penerbit yang lebih memfokuskan kepada keuntungan berbanding membawakan mesej Islamik yang tulus. Tatkala itu, akan muncul banyak ciri-ciri haram di dalam filemnya kerana terlalu ingin mengikuti selera penonton.

Seseorang penulis skrip, penerbit dan pengarah filem Islamik yang sebenarnya sepatunya meletakkan mesej dan inti filem sebagai pokok dalam pembikinan mereka. Hanya dengan itu, mereka mungkin layak dianggap sedang bertadarruj.

Jika benar-benar hujjah tadaruuj digunakan, mesej dakwah disasarkan, saya kira pihak pembikin filem Islam mesti sentiasa berusaha memotong, meminimakan serta meniadakan unsur-unsur yang tidak menepati hukum Islam. Itu penting bagi memastikan maslahat yang ditagih sentiasa melebihi mudarat yang terlahir dari prosesnya, contoh seperti lagu tema nyanyian wanita tentunya TIDAK DIPERLUKAN. Adegan peluk, cium atau bersentuh tidak semestinya sentiasa diperlukan bagi mendatangkan kesan kepada penonton.

Akhir sekali, bawakanlah contoh filem islamik yang tidak memerlukan adegan tidak halal tetapi berdaya saing dan terkenal. Dengan itu, ia lebih memudahkan penerbit dan pengarah untuk mendapat gambaran.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan