Oleh MOHAMAD ABDULLAH
Banyak insiden yang kurang menyenangkan berlaku dalam tempoh 10 hari pertama tahun 2010. Kebanyakan insiden itu menguji kebijaksanaan dan rasional kita untuk menanganinya. Sesetengahnya begitu mencabar kekuatan kita sebagai umat Islam.
Umat Islam di negara ini bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dan tekanan pihak luar, malah juga dari dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Terdapat pelbagai isu termasuk masalah sosial, jenayah dan kegiatan tidak bermoral yang terus menghimpit dan memerlukan tindakan berkesan dan berterusan
Peristiwa demi peristiwa yang berlaku menyebabkan umat Islam sentiasa diperhatikan dan didorong untuk bertindak mengikut apa yang diharapkan oleh pihak tertentu terutama dalam isu-isu yang menyentuh akidah, kepercayaan dan budaya yang rapuh.
Justeru, belum pun dapat dipastikan siapakah yang melakukan tindakan yang tidak sewajarnya itu, maka terus sahaja pihak tertentu menuding jari, termasuk kepada pihak berkuasa dan kepimpinan negara.
Tindakan segelintir mereka yang melakukan sesuatu yang tidak wajar itu jelas mendapat reaksi cukup hebat daripada pelbagai pihak termasuk pihak luar. Ia sekali gus menunjukkan kegagalan kita untuk belajar daripada pelbagai tekanan dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam sejagat selepas peristiwa 11 September 2001.
Sikap tergesa-gesa, marah, ganas dan pelbagai lagi yang dilakukan oleh segelintir mereka yang mengaku sebagai Muslim telah membawa kesan buruk yang tiada kesudahan kepada umat Islam sehinggakan di mana sahaja, mereka dipandang sinis dan dengan mudah pula menjadi ikon keganasan.
Umat Islam terus dijadikan kambing hitam dalam banyak insiden yang berlaku. Barangkali dalam sejarah manusia, tidak ada kumpulan manusia yang lebih dicurigai dan menghadapi tekanan sebegitu rupa, walaupun ada kes-kes terpencil yang turut berlaku di beberapa tempat lain. Ini diburukkan lagi dengan peristiwa kekejaman dan kehancuran tamadun umat Islam seperti di Palestin, Bosnia Hezergovina, negara-negara miskin di benua Afrika dan negara-negara Asia Barat lain yang sering menarik perhatian kita.
Tidak kurang juga dengan wajah-wajah menyayat hati kemiskinan dan kebuluran di negara-negara dunia ketiga yang berpunca daripada peperangan dan pertelingkahan sesama sendiri. Umat Islam terus melalui pelbagai tragedi kemiskinan, peperangan sesama sendiri, pergaduhan dan lain-lain yang dijadikan bahan paparan dengan persepsi yang amat buruk terhadap Islam.
Lihatlah bagaimana persepsi keganasan oleh pihak lain yang menukar pengganas menjadi watak wira sehingga pemimpinnya dipilih menerima Hadiah Keamanan dalam isu Palestin.
Kemarahan dan keganasan yang ditunjukkan oleh umat Islam di serata dunia, walaupun atas nama mempertahankan diri dan berjuang untuk kedaulatan ummah tidak mengubah apa-apa, selain menambah buruk lagi keadaan.
Kebencian dan kemarahan yang ditunjukkan hanya seperti anjing menyalak bukit yang akhirnya kehilangan suara, manakala bukit terus tegak dengan angkuh dan gagah sekali.
Ini dapat difahami dengan mudah jika secara rasional, kita dapat memikirkan sebab-sebabnya. Thomas Friedman, kolumnis akhbar The New York Times dan pernah memenangi tiga kali Pulitzer Prize dalam buku yang merupakan siri tulisannya dalam akhbar tersebut bertajuk Longitudes and Atitudes: Exploring The World Before and After September 11 (2003) menulis: "They Hate Us! They Need Us!". Beliau juga menulis: "…one reason no alliance has formed against America yet is that, while resentment of America is rife, particularly among European elites, the attraction of America - its culture, universities, movies, food, clothing, and technologies - is just as strong, and today no power in the world can balance it…"
Jelas sekali, puncanya adalah kelemahan umat Islam itu sendiri sehingga mudah untuk diperkotak katikkan. Walaupun umat Islam di sesetengah negara begitu kaya, namun ia gagal untuk bangkit menyaingi apa yang telah dibangunkan oleh pihak lain.
Selain itu, walaupun terdapat kekuatan dan pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang sekarang ini, namun pencapaian yang dilakukan kerap kali dipandang sebelah mata.
Jika benar kejadian merosakkan gereja dilakukan oleh pihak yang mendakwa sebagai penganut Islam, maka mereka itu adalah orang-orang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan bertindak sewenang-wenangnya mengikut emosi sendiri yang sebenarnya menjadi nilai universal yang boleh berlaku di mana sahaja termasuk dari dalam kalangan penganut agama dan kelompok lain juga.
Sehubungan itu, umat Islam harus berhati- hati dalam setiap tindakan yang dilakukan. Mereka harus bertindak dengan penuh bijaksana dengan menggunakan pelbagai saluran sah yang ada serta melihat sesuatu isu dengan pemikiran yang mendalam, dari pelbagai sudut secara rasional dan ilmiah, bukan semata-mata menggunakan emosi yang membuak-buak yang akhirnya menyebabkan keseluruhan umat Islam sekali lagi dijenamakan dengan keganasan, kejahilan dan kejumudan minda.
Tugas utama umat Islam hari ini jauh lebih besar daripada melakukan tindakan-tindakan provokasi yang menambah buruk keadaan. Jihad sebenar adalah bagaimana untuk meningkatkan martabat ummah dan membangunkan satu tamadun yang dihormati dan disegani dalam semua aspek.
Selagi umat Islam tidak berusaha untuk menolong dirinya sendiri, bersatu padu dan bertindak sebagai orang yang berilmu, maka selagi itulah, ia akan mudah dipermain-mainkan dan diperkotak katikkan. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan mengambil tindakan-tindakan yang berkesan dalam menangani nasib dan isu-isu yang melanda umat Islam hari ini. Usaha-usaha dan tenaga kita harus ditumpukan untuk menjadi umat yang kuat dan berupaya bersaing dalam semua segi sama ada ekonomi, pendidikan, politik, sosial dan sebagainya.
Keganasan tidak harus dilawan dengan keganasan. Keganasan dan perbezaan pendapat harus ditangani dengan kebijaksanaan pemikiran dan tindakan-tindakan yang dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan strategik.
Pada masa yang sama, umat Islam perlu mengukuhkan iman dan akidah yang makin tergugat dengan pelbagai budaya dan amalan yang menyesakkan nafas.
Umat Islam juga harus bangun untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua yang dipegangnya. Jika seorang pelajar, dia harus menjadi pelajar paling cemerlang. Jika seorang pengkarya, dia harus berupaya menjadi karyawan ternama. Jika seorang ahli politik, maka ahli politik Islam haruslah unggul pemikiran dan tindakannya perlu selaras dengan tuntutan Islam. Begitu juga dalam hal-hal lain.
Selain itu, umat Islam harus melihat perkembangan yang berlaku ini dengan serius dan belajar daripada nasib mereka yang berlaku di seluruh dunia, paling tidak dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini. Jihad ini jauh lebih besar iaitu membangunkan ummah secara keseluruhannya, menguasai ilmu dan teknologi dan bijaksana dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Cabaran sebenar adalah bagaimana untuk menolak tanggapan bahawa umat Islam itu ganas, kepimpinan Islam tidak rasional dan meyakinkan semua pihak bahawa ia hanya berasaskan prasangka buruk yang boleh mengkucar-kacirkan umat dan negara.
Kita tidak wajar bermain api, kerana jika terbakar semuanya akan musnah dan menjadi abu. Sebaliknya bersatu dan mengambil tindakan-tindakan mengukuhkan umat dengan menjalankan kewajipan membangunkan masyarakat dan negara secara bijaksana walaupun mempunyai pandangan yang berbeza serta digugat oleh pelbagai pihak untuk menjamin kedaulatan negara.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh menggadaikan maruah dan kesucian agama yang teguh terpelihara. Inilah yang akan memastikan kelangsungan nasib umat pada masa hadapan, bukan dengan melayan provokasi untuk bertindak di luar batas kemanusiaan.U/Malaysia
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711
SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711
Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010
Rabu, 13 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan