Jamaah

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 14 April 2009

Selisih faham, prasangka buruk barah kebahagiaan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap perbalahan sesama manusia perlu diselesai melalui meja rundingan, permuafakatan

PEMILIHAN manusia sebagai khalifah di muka bumi dengan tujuan jelas dan membawa tanggungjawab cukup berat. Sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab memastikan kemakmuran bumi dan seluruh penghuninya, kita seharusnya sentiasa menginsafi tugas dipikul itu satu amanah yang jika tidak dilaksanakan dengan baik, pelbagai bentuk masalah pasti akan datang tanpa diundang.

Tanggungjawab khalifah mencakupi pelbagai aspek terutama yang berkaitan hubungan dengan Allah sebagai pencipta yang Maha Agung (al-Khaliq) dan hubungan dengan sesama manusia (al-Makhluq).

Jika dilihat daripada aspek hubungan dengan Allah, jelas bahawa pengabdian diri kepada-Nya menjadi keutamaan kepada manusia, sesuai dengan tanggungjawab sebagai khalifah. Hal ini selaras dengan tujuan utama penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan jiwa dan raga hanya kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah az-Dzariyaat, ayat 56)

Justeru, segala bentuk hak Allah perlulah dijadikan keutamaan, lebih-lebih lagi ketika bertembung dengan kehendak manusia yang kebiasaannya bersifat keduniaan semata-mata. Semua tindak-tanduk khalifah haruslah mengarah kepada kebaikan serta sentiasa menurut garis panduan al-Quran dan sunnah.

Oleh itu, gesaan sesetengah pihak untuk meminda hukum dan ketetapan dalam al-Quran yang dikira sudah tidak lagi relevan dengan zaman ini, perlulah ditolak dengan cara terbaik supaya hak Allah sentiasa terpelihara.

Jika hubungan dengan Allah sentiasa dijadikan keutamaan, maka terpeliharalah iman daripada segala bentuk anasir jahat yang sentiasa mengarah kepada keburukan dan kejahatan. Malah, keberkatan Allah akan terus dinikmati, kesan daripada keimanan teguh serta jitu kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah ruah berkatnya, dari langit dan bumi." (Surah al-A'raaf, ayat 96)

Menyentuh hubungan sesama manusia pula, Islam menggariskan tatacara dan panduan bagi menjaga hubungan itu. Menerusi hubungan baik sesama manusia, kehidupan di dunia akan disinari cahaya keharmonian dan kebahagiaan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perbandingan orang mukmin dalam berkasih-sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka dan dalam rasa simpati mereka adalah laksana tubuh badan yang satu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam konteks lebih luas, hubungan antara sesama manusia tidaklah terbatas antara Muslim bahkan Islam menggesa umatnya berbuat baik dan berkasih sayang dengan berlainan agama serta kepercayaan.

Inilah antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia supaya kehidupan di muka bumi sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia. Adalah menyedihkan apabila segelintir kita terus-menerus berada dalam keadaan berselisih faham dan berprasangka buruk.

Sesungguhnya masalah ini jika dibiarkan akan menjadi barah bakal memusnahkan kebahagiaan hidup, malah lebih teruk lagi menjauhkan kita daripada rahmat dan keberkatan Allah. Menjadi tuntutan dalam Islam supaya setiap permasalahan dan perselisihan diselesaikan dengan cara terbaik seperti melalui meja rundingan dan permuafakatan.

Dengan cara itu, titik pertemuan dapat dicari dan jurang perselisihan pendapat dapat dikurangkan. Lebih penting adalah menjamin keberkatan, rahmat dan keredaan Allah terus dinikmati bagi meneruskan kehidupan di dunia penuh cabaran yang saban hari bertukar-ganti.

Hakikatnya setiap perselisihan berlaku sesama manusia, haruslah dirujuk kepada al-Quran dan sunnah. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah)." (Surah an-Nisa', ayat 59)

Sebagai ummah terbaik, kita seharusnya sentiasa bersikap positif dan bersangka baik sesama manusia. Jika ada perkara belum diketahui kebenarannya, maka selidik dengan teliti. Hanya dengan itu kita dapat menjauhkan diri daripada terus berprasangka buruk..

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa." (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Marilah kita bertekad untuk sentiasa memelihara hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Semoga kita tidak tergolong di kalangan manusia yang dimurkai Allah dan ditimpa kehinaan kerana tidak mementingkan hubungan itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan