Jamaah

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 14 April 2009

Tuan Guru Ghazali Batu 26: Penasihat Sultan Perak

Mohd Fadli Ghani

SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26.

Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk PAS dalam soal hukum agama.

Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901).

Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu.

Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid (ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS).

Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919.

Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram.

Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India.

Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid.

Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas Bendahari Agung PAS.

Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga, beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya.

Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab.

Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh. Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya.

sembah derhaka

Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah. Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak. Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan itu.

Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik.

Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran.

Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar.

Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi.

Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.

Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977.

Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950.

Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.

Penlibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah.

Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato� Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato.

Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato� Salleh Haji Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan