assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Isnin, 6 Julai 2009

Bila hukuman hudud boleh disabitkan?

sumber cina islam
Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita menyenaraikan jenis-jenis kesalahan di bawah hukuman hudud sebelum ini, pada kali ini mari kita halusi satu daripada kesalahan hudud sebagai contoh kes. Fokus kita adalah pada kesalahan zina iaitu bagaimana seseorang itu boleh disabitkan sebagai berzina dan bagaimana dia boleh dihukum dengan hukuman hudud?

Zina diharamkan oleh Islam berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah amalan kotor dan seburuk-buruk perjalanan hidup” (Surah Isra’: 32).

Sebenarnya dalam ayat tersebut Allah melarang seseorang itu menghampiri zina, bukan hanya sekadar melarang perbuatan zina semata-mata. Namun pada hari ini larangan itu tidak diambil perhatian terutama remaja.

Dalam masyarakat kita hari ini lelaki dan perempuan dilihat bebas bergaul. Batasan agama sudah tidak diambil kisah apatah lagi apabila mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa. Terdapat beberapa kes yang kita temui di taman perumahan khususnya di apartmen, beberapa lelaki senang-senang membawa teman wanitanya bermalam di rumahnya.

Pernah juga ditemui di rumah atau apartmen yang disewa oleh wanita bujang, turut dikunjungi oleh lelaki pada waktu malam. Malah ada juga yang dibenarkan tidur di mana-mana antara bilik di rumah tersebut. Pada mereka perbuatan itu tidak salah selagi tidak berzina.

Mereka yang terlibat dalam kes ini lazimnya tidak dapat dikesan jiran setaman kerana kehadiran mereka ke rumah itu bagaikan suami isteri. Kecuali jiran yang peka dengan keadaan sebenar jirannya, ada kemungkinan akan membuat laporan kepada pihak berwajib. Namun sebahagian besarnya tidak berani untuk melakukan sesuatu kerana takut dikatakan “menjaga tepi kain orang.”

Penulis pernah bertemu dengan beberapa orang yang dikesan dalam kes seumpama ini. Apabila disoal tentang hukum agama, ternyata mereka berada dalam keadaan terkeliru. “Kami tidak buat apa-apa, salah ke macamni?” jawab salah seorang daripada mereka. Ada juga yang berkata, “Ayah saya tahu kedudukan kami, dia pun tidak pernah marah.”

Sebenarnya keberadaan mereka di dalam rumah sebegitu boleh dikategorikan sebagai berkhalwat dan ia satu kesalahan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995, antara lain menyebut bahawa mana-mana lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri berada dalam keadaan yang mencurigakan dalam sesuatu tempat adalah melakukan kesalahan khalwat.

Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah memperuntukkan pada 9(1) “Mana-mana orang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Khalwat kerana Jahil
Apabila ditangkap baru dia tersedar bahawa khalwat adalah satu kesalahan. Kejahilan umat Islam terutama remaja dalam hal ini amat dikesali. Barangkali inilah antara sebabnya mengapa masih berlaku gejala sosial dalam masyarakat Islam kini.

Bayangkan kalau berkhalwat sudah dikira satu kesalahan, apatah lagi kalau mereka berzina. Jadi, mereka yang peka atau sensitif dengan hukum Allah ini pasti tidak akan berkhalwat kerana dalam keadaan itu peluang ke arah zina sudah terbuka luas.

Menurut pengamal undang-undang Syariah, kes yang banyak diputuskan dalam mahkamah syariah adalah melibatkan kesalahan khalwat berbanding kesalahan zina. Hal ini kerana kesalahan zina sukar dibuktikan kecuali dengan pengakuan pihak terbabit.

Siapakah di dunia ini pada zaman ini yang sanggup mengaku salah apabila dia benar-benar bersalah? Kalau boleh, mereka akan menutupnya kerana malu atau takut dihukum. Kalau adapun yang mahu mengaku salah, hanya apabila telah didesak dengan pelbagai cara. Sesetengahnya terpaksa mengaku salah apabila kesnya berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa.

Kalau begitulah keadaannya bagaimana hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini? Sedangkan kebanyakan hukum hudud yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah adalah dengan pengakuan sendiri sama ada pihak lelaki mahupun perempuan.

Sabit Kesalahan Zina
Saya ingin mengajak anda menghayati kisah berikut; pada satu hari Dolah membawa Joyah ke hotel di ibu kota dan bermalam di situ. Pada malam itu Dolah berjaya memujuk Joyah untuk melakukan hubungan seks. Tanpa rasa bimbang dan takut diserbu pihak berkuasa, berlakulah drama seks antara mereka sampai pagi. Tiga bulan kemudian Joyah didapati mengandung. Dan sembilan bulan kemudian, Joyah dengan rasa bangga bersalin anaknya dengan selamat. Tetapi pada tahap ini, Joyah menangis sedih kerana anaknya terpaksa didaftarkan sebagai anak tanpa bapa. Hal ini kerana Joyah gagal menunjukkan sijil nikah mereka.

Ya, cuba anda bayangkan jika hukum hudud telah dilaksanakan sekarang di negara ini, bagaimana mereka berdua boleh disabitkan sebagai berzina? Bolehkah mereka berdua dihukum setelah disedari oleh pegawai pendaftar kelahiran?

Sebenarnya dalam Islam, untuk mensabitkan kesalahan zina adalah dengan salah satu daripada tiga sebab iaitu:

1. Pengakuan sendiri oleh lelaki atau perempuan
2. Wanita mengandung sedangkan dia belum berkahwin
3. Empat orang saksi terhadap kejadian zina tersebut.

Pengakuan sendiri
Terdapat banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah bagi menyokong sebab pertama. Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah di masjid, dia mengaku dengan katanya, “Wahai Rasulullah aku berzina,” maka Baginda berpaling muka daripadanya. Maka dia beralih tempat bagi menghadap muka Baginda lalu mengulangi kata, “aku berzina,” Baginda sekali lagi berpaling daripadanya. Dia mengulangi perbuatan yang sama sehingga cukup empat kali.
Setelah pengakuan yang keempat Baginda terus bertanya, “apakah kamu gila?” Tidak jawabnya. “Adakah kamu sudah berkahwin?” Ya sudah katanya. Sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat yang hadir: “Bawalah dia dan rejamlah,” (Muttafa’ alaih).

Berdasarkan hadis ini, walaupun pengakuan dilakukan oleh orang yang terlibat, masih diperlukan pengakuan sebanyak empat kali. Ini bagi memastikan dia serius dan melakukannya bukan kerana tertekan.

Dalam hadis lain daripada Amran bin Husain dia berkata, seorang wanita, Jahniah dalam keadaan mengandung hasil perzinaan datang menemui Rasulullah lalu mengaku dengan katanya, “wahai Rasulullah aku telah terlanjur, hukumlah aku. Maka Baginda memanggil walinya dan berkata, “jaga elok-elok anakmu.” Setelah bersalin, dilakukan seperti yang diminta. Maka nabi pun meminta wanita itu memakai pakaian menutup tubuhnya, kemudian diperintahkan supaya dia direjam sehingga mati. Rasulullah melakukan solat jenazah ke atas jenazahnya.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).

Wanita Bujang Mengandung
Bagi wanita yang mengandung sedangkan dia belum berkahwin, pensabitannya tidak perlu kepada empat kali pengakuan. Dan untuk itu juga, pihak berkuasa tidak perlu mengharapkan mereka datang membuat aduan sendiri. Sebaliknya mereka boleh ditangkap dan didakwa sebagai berzina. Cuma dalam keadaan itu terdapat dua keadaan yang diputuskan ulama:
Jika wanita itu mendakwa dia dipaksa atau dia tidak tahu tentang zina, tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud untuknya. Demikian pendapat Imam Syafii, Abu Hanifah dan Ahmad al-Hanbali.

Wanita itu tetap dihukum hudud kecuali jika dia dapat mendatangkan bukti bahawa dia dirogol. Demikian pendapat Imam Malik.

Empat Saksi
Sabit kesalahan zina apabila terdapat empat orang saksi terhadap kejadian zina itu. Saksi adalah menjadi penentu jika tidak terdapat sebab pertama dan kedua. Firmah Allah, “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara wanita kamu, maka buktikan dengan empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.” (Surah al-Nisa’: 15).

Hadis daripada Abi Hurairah menyebut bahawa Saad bin Ubadah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu jika aku dapati lelaki lain bersama isteriku, lalu aku bertenang sehingga dibawakan kepadaku empat orang saksi? Baginda bersabda, ya betul,” (Riwayat Syafii, Ahmad, dan Malik).

Berdasarkan hadis itu, sebagai suami mereka harus bertenang, jangan membuat tuduhan melulu apabila melihat sesuatu yang meragukan terhadapa isteri. Kalau suami sendiri begitu kedudukannya, bagaimana orang lain, tentulah tidak wajar bertindak melulu. Begitu juga jika dakwaan itu datang daripada saksi yang tidak cukup syarat, dakwaan itu seharusnya ditolak sahaja.

Dalam hal ini jika dakwaan tanpa empat orang saksi, maka dakwaan itu dianggap palsu dan pendakwanya dianggap sebagai pembohong. Jadi, dakwaan itu bukan sahaja tidak boleh disabitkan, bahkan pendakwa itu boleh disebat dengan 80 kali sebat.
Pembuktian saksi boleh diterima apabila:

Empat saksi melihat sendiri perbuatan zina berlaku antara lelaki dengan perempuan tersebut.
Mereka membuat pengakuan menyaksikan zakar lelaki berada dalam faraj wanita.
Saksi tersebut akan disoal tentang apa yang difahami tentang zina, bagaimana berlaku zina, tempat berlaku zina, masa berlaku zina, dan perempuan yang dizinai itu.

Jika berlaku percanggahan dalam persaksian itu antara empat saksi tersebut, saksi itu akan ditolak dan kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hukum hudud tidak boleh dikenakan. Oleh sebab itu saksi dalam kes ini tidak boleh bertindak merancang dan berpakat bagi memerangkap mangsa.

Realiti Masa Kini
Berdasarkan sebab-sebab yang boleh mensabitkan zina hingga boleh dikenakan hukuman hudud, saya mengajak anda padankannya dengan kisah di atas. Sebab yang manakah boleh disabitkan pasangan itu?

Jelas di sini, empat orang saksi sudah tentu tidak boleh mengesan kesalahan mereka. Meskipun mereka dibantu oleh pegawai hotel untuk menunjukkan biliknya, namun mereka tidak mampu nampak perbuatan zina itu. Jadi pasangan itu boleh bebas sampai ke pagi.

Katalah empat pegawai penguat kuasa berjaya memecah masuk bilik itu, mereka sudah tidak nampak aksi seks itu kerana mereka sudah bangun, malah pasangan tersebut berjaya menyorok di tempat berasingan. Jadi, kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hudud tidak boleh dikenakan terhadap mereka walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina.

Dalam kes itu juga, pasangan itu tidak mahu membuat pengakuan berzina, malah sanggup mengguna peguam untuk menyelamatkan mereka daripada tuduhan itu. Jika mereka mengaku kemudian setelah dibicarakan, kesalahan zina itu juga tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud.

Katalah pasangan itu selamat daripada diberkas penguat kuasa, hingga anak yang dikandungi itu berjaya dilahirkan, maka sebab kedua tidak boleh digunakan lagi. Waktu dia mengandung tidak siapa yang berjaya mengesannya kecuali bahagian pendaftaran sewaktu hendak membuat pendaftaran kelahiran anaknya. Bukti kelahiran anak tidak termasuk dalam sebab yang membolehkan mereka disabitkan kesalahan itu walaupun hakikatnya mereka berzina. Kalau begitu, hudud tidak akan boleh dilaksanakan dalam keadaan ini.

Peranan Ulama Mendidik Iman
Sekadar andaian, barangkali itulah sebabnya mengapa para ulama pada ketika itu sehingga ke hari ini tidak begitu secara serius mengetengahkan hukum hudud. Mungkin pada mereka kalau hudud dilaksanakan pada hari ini, akan berleluasalah perzinaan kerana peluang untuk sabit zina seperti mustahil.

Mungkin umat Islam pada zaman Rasulullah yang terdidik iman, mampu mengaku salah apabila terjebak dalam kancah zina. Mereka sanggup mengadu dan meminta dihukum atas keinsafan. Tapi bagaimana dengan umat pada hari ini, iman senipis kulit bawang, tidak mungkin mereka akan mengadu dan minta dihukum.

Pada hari ini, ramai wanita yang mengandung di luar nikah. Maka untuk mengelak daripada hukuman hudud, mereka akan mengaku dirogol. Ya, kerana tidak ada iman, mereka boleh buat apa sahaja.

Selain itu, tanpa iman ramai lagi lelaki dan wanita akan merancang untuk berzina. Hal ini kerana pada mereka, kalau melakukannya di hotel atau di rumah yang tertutup tidak mungkin dijejaki oleh empat orang saksi kerana Islam tidak benarkan mengintai.

Jika benarlah ulama berfikiran begitu, mungkin ramai yang boleh menerimanya sebagai munasabah dan relevan pada zaman awal kemerdekaan, namun setelah beberapa tahun berlalu, apakah ulama itu tidak cuba menaiktarafkan iman umat Islam? Tentulah tidak wajar iman mereka semakin menurun kalau mereka terus berdakwah secara serius dalam tempoh itu.

Realiti yang dapat dilihat pada hari inilah, iman umat Islam semakin luntur, maksiat semakin menjadi-jadi. Adakah ulama, pendakwah, dan ahli cerdik pandai Islam tidak begitu memainkan peranan mereka ke arah itu?

Tentu tidak munasabah setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kefahaman umat Islam terhadap agamanya tidak meningkat. Jika semua agensi agama, ulama, mubaligh dakwah, dan NGO memainkan peranan masing-masing bukan sahaja umat Islam bertambah ini, orang bukan Islam pula semakin faham tentang Islam. Kalau begitu kedudukannya, apakah alasan lagi untuk kita takut untuk melaksanakan hukum Islam sepenuhnya.

Sebenarnya hukum hudud berdasarkan perlembagaan sudah boleh dilaksanakan di negara ini tanpa rasa ragu. Tetapi persoalannya sudahkah ulama cuba meyakinkan pemerintah? Sudahkah ulama menjelaskan faedah sebenar pelaksanaan hudud itu? Hakikatnya, ulama sendiri tidak sanggup mempengaruhi pemerintah dan pada masa yang sama mereka tidak serius dalam mendidik iman umat Islam dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini ulama yang mewakili umat Islam seharus menyahut seruan Allah, “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk kebaikan manusia, kerana kamu berperanan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman),” (Surah Ali Imran: 110).

Maknanya ulama seharusnya merobah fikiran masyarakat termasuk pemimpin, bukan sebaliknya, pemimpin dan masyarakat yang merobah fikiran ulama. Namun itulah realiti yang berlaku pada hari ini, ulama lebih dipengaruhi oleh pemerintah dan masyarakat. Apabila pemimpin mengeluarkan satu idea, ulama akan sambut dan mencari hujah untuk menyokongnya.

Apakah Jalan Keluarnya
Berdasarkan apa yang dibentangkan di atas, hukum hudud seharusnya boleh digubal mengikut kesesuaian iklim negara kita. Walaupun hukum hudud itu pada masa ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu digusarkan kerana pada jangka panjang, perlembagaan itu boleh dipinda kemudiannya.

Pada masa yang sama, ulama termasuk NGO perlu bergerak mendidik iman dan takwa. Umat Islam perlu disedarkan tentang iman, Islam, dan ihsan. Rakyat Malaysia seluruhnya perlu diberi penjelasan sebenar tentang kebaikan Islam dan hukumnya.

Kemudian sementara menunggu perlaksanaan sepenuhnya, sebab kedua bagi mensabitkan hukuman hudud boleh diguna sebagai percubaan. Hal ini kerana terlalu berleluasa mereka yang mengandung di luar nikah pada hari ini. Mereka itu seharusnya didakwa dan dihukum dengan yang setimpal bagi menyedarkan orang lain bukan sekadar melindungi di rumah pemulihan akhlak sahaja.

Benar mengikut pendapat di atas, wanita yang rogol tidak boleh sabitkan sebagai zina dan tidak boleh dikenakan hukum hudud. Kes ini samalah juga dengan kes yang empat orang saksi lelaki yang tidak cukup syarat untuk mensabitkannya.

Dalam hal ini perlu dijelaskan bahawa apabila mereka disyaki oleh pemilik hotel terdapat pelanggannya dan kemudiannya berjaya dikesan oleh empat pegawai penguat kuasa agama, hudud tidak boleh disabitkan kerana mereka tidak dapat melihat secara jelas perbuatan zina itu. Walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina, hudud tetap tidak boleh dikenakan kepada mereka.

Sungguhpun begitu, kita kena ingat apabila syarat untuk mensabitkan kesalahan itu tidak dapat dipenuhi, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, tetapi ada gantinya. Kesalahan mereka wajib dihukum dengan takzir. Hukuman takzir adalah menjadi hak hakim sama hendak mendendanya dengan wang, atau penjara, atau rotan yang jumlahnya tidak menyamai kadar hudud.

Perlu ditegaskan di sini, undang-undang jenayah syariah yang sekian lama dijalankan di negara kita kini adalah berdasarkan takzir. Hukum ini tidak bercanggah dengan Islam kerana syarat untuk sabit hudud tidak dapat dipenuhi. Jadi, hukum takzir hakikatnya adalah undang-undang Islam juga.

Oleh sebab itu, adalah keterlaluan kalau ada dalam kalangan umat Islam yang menentang perlaksanaan undang-undang syariah di sini dengan pelbagai tuduhan liar. Tuduhan bahawa undang-undang itu sebagai tidak Islamik adalah salah kerana takzir juga sebahagian daripada hukum Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan