Jamaah

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Sabtu, 25 Julai 2009

Pemikiran Arena Wati mengenai rasuah dan kekuasaan

Oleh H Fansuri

Arenawati atau nama aslinya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang tidak hanya sasterawan, malah wartawan terbilang, pejuang yang jelas yang muncul sejak zaman yang pernah menyaksikan pelbagai jenis perang yang melanda negara kita.

Kekayaan khazanah pengalamannya tidak terhitung. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Lelaki yang hidupnya penuh kaya dengan pengalaman ini memiliki kekuatan jalur bahasanya yang tersendiri.

Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943.

Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.

Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imaginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

Pendirian Arenawati mengenai rasuah

Dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arenawati yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 - 10 Jun lalu, Mana Sikana lewat kertas kerjanya telah menyimpulkan bahawa Pak Arena mempunyai pendirian yang keras ke atas isu rasuah dalam sesebuah negara.

Hal ini, beliau rujuk berdasarkan kajiannya ke atas skrip drama Pak Arena berjudul 'Kutukan Dari Langit' yang memperihal kisah Patigo dan kekasihnya Ratina. Drama ini banyak menyentuh hal kekuasaan, rasuah, skandal dan penyelewengan.

"Lingkaran pertuduhan dan penghujahan dalam Kutukan Dari Langit karya Arena Wati, kelihatan berlegar di sekitar pusat pemikiran pengadilan di mahkamah. Namun, secara tidak langsung turut dihadirkan pelbagai subjek lainnya, yang turut berangkaian dengan pelbagai macam, terutamanya persoalan rasuah.

"Di sana sini, pengarang menyentuh dengan sinis penyalahgunaan kekuasaan dalam pemerintahan dan masyarakat, yang menggalakkan rasuah," kata beliau.

Secara umum, menurut beliau drama Arena ini menelanjangi perilaku rasuah dan sikap pemerintah atau penguasa. Suburnya rasuah seiring dengan kata-kata akronim ABS: asal bapak senang, dan bermaharajalelalah sang rasuah.

Menyentuh karya Pak Arena itu, beliau menyifatkan bahawa lingkaran birokrasi digambarkan sangat menggerunkan. Zaman order-order baru yang kaya dengan kejahatan rasuah itu, dicontohkan pada halaman 18, .. "untuk jadi polis, mesti bayar wang bernilai 20 sapi.

Untuk jadi tentera, mesti bayar wang bernilai 25 sapi. Bagaimana akan diganti pembayaran itu? Gaji mereka hanya cukup dimakan seminggu. Wajar, jika mereka rasuah dan amalkan pungutan paksa".

"Sikap idealis pengarang untuk mendedah dan memperbaiki moral masyarakat sangat menonjol, sehingga drama ini menyentuh unsur moral supaya masyarakat menyedari setan masyarakat yang boleh menjahanamkan negara. Motif rasuah dihadirkan, yang membayangkan Arena Wati semacam muak dengan kehidupan terkini yang kaya dengan rasuah itu.

"Ia mencela habis-habisan dalam drama ini, sesungguhnya ia tidak wajar, tidak bermoral, dan melakukan munafik kepada seluruh manusia.

"Diheretnya juga, kemajuan ilmu pengetahuan yang telah menjadikan manusia sombong, seolah-olah dia sahaja yang pandai, tetapi rupa-rupanya menggunakan ilmunya untuk pemantapan dirinya, ia digelar bagaikan Fir'aun moden, kerana ia juga melakukan rasuah ilmu," kata beliau.

Kajian ke atas watak perasuah

Patigo: ..Rasuah, penipuan dan pencurian berleluasa. Ilmu digunakan berperanan salah.. Penyelewengan dianggap kebijaksanaan. Ramai anggota polis sepakat mencuri. Ramai anggota tentera bersubahat merompak dan tembak rakyat sendiri.. Nasionalis menggadai hak negara. Keadilan dikalahkan penganiayaan. Dalam situasi dan keadaan begitu Ratina semakin kaya. (Kutukan dari Langit: 79)

Mana Sikana berkata, tuduhan rasuah ini jugalah yang ditimpakan kepada salah satu watak yang cuba dijelmakan dalam skrip itu, iaitu Ratina. Patiga, seorang pensyarah telah menghantar tiga orang siswazah, calon sarjana bidang insektologi dan botani, membuat kerja lapangan di sekitar Bintamurung, Manoli, Lamakaji, Sunda Besar.

Tambah beliau, hasil daripada kajian inilah Patigo mengetahui Ratina masih hidup, malah memiliki kebun bunga dan dusun buah seluas 496 hektar, iaitu 'Ratina Bloomen Per' dan Ratina Rozen Tuin'.

"Patigo sampai kepada suatu puncak, apabila dia ditekan-tekan dengan pelbagai tuduhan terhadap Ratina: sebenarnya dia melakukan rasuah. Tetapi soalnya bagaimana dia hendak meyakinkan mahkamah di sebuah negara yang rasuah itu? Bagaimana cara pembuktian perasuahan dilakukan oleh Ratina?

Berikut dikepilkan petikan dialog seorang ketua hakim yang meminta warga mahkamah berhati-hati terhadap Patigo.

Ketua Hakim: Mahkamah diperingatkan! Jangan bersikap ala Henrik Ibsen di Norway itu, apabila hadapi Patigo. Dia matang dan memiliki keyakinan. Nanti terjerumus ke dalam lubang yang kamu gali. Patigo itu profesor. (Kutukan dari Langit: 112)

Ketika merujuk perenggan berisi dialog di atas, Mana Sikana berkata, petikan dialog tersebut menunjukkan bahawa telah wujud kepekaan sasterawan negara itu ke atas isu rasuah melalui penelitian tajamnya terhadap naskhah agung milik bapa drama dunia moden.

"Arena Wati sengaja menghadirkan tokoh Henrik Ibsen dalam konteks pengukuhan tekstualiti dramanya. Daripada sudut lain untuk membayangkan kearifan penulis terhadap Henrik Ibsen; bapa drama dunia moden itu.

"Membaca Kutukan dari Langit kita akan berhadapan dengan An Enemy of the People (1882), yang menggambarkan hal skandal, rasuah dan mencitrakan moraliti zaman yang bobrok.

"Antara 27 buah drama realisme Ibsen, An Enemy of the People sering dijadikan ikonik kepada kerja pendramanya, kerana pencitraan yang 'real', tetapi penuh rumit dan kompleks. Ciri-ciri itu saya kira diwarisi oleh Kutukan dari Langit," kata Mana Sikana.

Pendirian Arena Wati berhubung kekuasaan

Daripada segi politik, sikap dan pendirian sasterawan negara ini sangat jelas sekali memihak kepada kekuasaan politik yang mengambil perhitungan unsur-unsur kemanusiaan; keadilan, kesaksamaan, kasih sayang dan kepekaan ke atas golongan lemah yang perlukan bantuan.

Mana Sikana berkata, menerusi skrip drama 'Kutukan dari Langit', aspek kekuasaan disentuh dengan banyaknya. Tambahnya secara politik, kekuasaan menjadi dasar pengaturan negara atau institusi, alat untuk mencapai dan mempertahankannya. Dalam perjalanan kekuasaan, penguasa mempunyai pelbagai cara.

"Dalam 'Kutukan dari Langit' pengarang mengemukakan beberapa pandangan, ada ketua secara mulia berkongsi kuasa, menyerahkan mandat kepada ahli untuk berbincang dan hanya kata putus bila kiranya ada perbalahan.

"Ada juga ketua, yang hanya memberi perintah, memutuskan dan memberi arahan, orang bawahnya dikerah untuk memudahkan kerja-kerja pemerintahannya, ia bersifat diskriminatif dan menolong kepada orang-orang yang pernah menolongnya.

"Kutukan dari Langit sangat mengutuk ketua jenis kedua, kerana ia membenihkan praktik menyalahgunakan kekuasaan dan akhirnya menimbulkan sistem anarki. Akibatnya, negara Doinensia mengalami kerumitan dan banyak masalah," katanya.

Laut pengetahuan dan samudera pengalaman Pak Arena Wati itu telah menakung segala macam ribuan buruk baik sikap kita. Dan kita ini masih belum mencedok selaut pemikiran Pak Arena berhubung isu kedudukan agama (Islam), bahasa Melayu dan kebudayaan.

Apakah pendirian Pak Arena berhubung hal kedudukan agama, bahasa Melayu dan budaya kita itu? Mungkin petikan di bawah ini adalah gambaran awal ke atas setitis mutiara ilmu yang terpercik dari lautan hikmahnya yang sempat kita sambut dengan penuh teliti dan waspada.

'Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.' (Busa Hati, 2002)

Rujukan:-

Kutukan Dari Langit (2004)

Trilogi Busa: Busa Hati. (2002). Arena Wati. Penerbit UKM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan