
Walau pun bukan yang terbaik, tetapi gandingan Salehudin dan Nasrudin dianggap kena pada tempat dan masanya. Bukan kerana nama mereka berakhir dengan ‘Din’ tetapi kerana latar belakang dan keperluan.
‘Din’ pertama berlatar belakangkan profesional / aktivis dan ‘Din’ kedua pula ulama’. ‘Din’ kedua dipercayai memang digilap oleh ‘Din’ pertama untuk menggantikannya.
Latar belakang itu dilihat memenuhi keperluan pemuda Pas menampilkan diri sebagai ‘Duta Penyelamat’ di tengah-tengah kebanjiran sokongan kini. Pemuda kelihatan seimbang dan ‘maintain’ dengan keupayaan kedua-dua sosok pemimpin itu.
Saya fikir pemuda perlu mengekalkan keserasian gandingan ini untuk mengekalkan keseimbangan itu. Keserasian gandingan profesional / aktivis dan ulama’. Rasanya pemuda tidak kekeringan tokoh untuk meneruskan keserasian ini dalam dua jawatan utama sayap Pas itu.
Gandingan serasi ini diperlukan kerana kepelbagaian latar belakang pemuda yang bersama Pas memerlukan mereka diaktifkan dan ditarbiyah. Ketrampilan pemuda dalam aktiviti kebangkitan rakyat untuk menumbangkan BN perlu diseimbangkan dengan ketrampilan syakhsiah.
Kita tentu tidak mahu pemuda hanya ghairah berdemontrasi dan sanggup ‘tidur di atas jalan’ sahaja tetapi tidak terpuji akhlaknya. Demikian halnya, kita juga tidak mahu pemuda yang ‘warak tidak bertempat’ dan penakut untuk tampil ke depan serta tidak sanggup digari.
Apa yang kita mahu ialah pemuda yang disifatkan dengan ‘fursan an-nahar wa ruhban al-lail’. Tentunya pemuda itu adalah ‘Pemuda Hizabullah’.
Namun apa yang paling penting daripada semua itu ialah kepimpinan pemuda perlu memiliki keupayaan tinggi menghidu situasi politik. Macam pemilik dusun durian, dia lalu sahaja di bawah pohon durian itu dia sudah tahu berapa butir durian yang akan jatuh pada hari itu.
Bahkan dia juga tahu berapa lama pohon duriannya bakal bertahan dan mampu berbuah.
Keupayaan itu memerlukan ilmu, bakat, pengalaman dan kebijaksanaan. Mereka yang tercalon untuk menduduki dua kerusi utama pemuda rasanya memang berbakat, mereka juga berilmu, pengalaman mereka juga tidaklah tohor benar. Cuma apa yang diperlukan ialah kebijaksanaan.
Kebijaksanaan boleh terhasil dengan adunan ketiga-tiga ramuan tadi. Kalau salah satunya tiada, tiadalah kebijaksanaan.
Justeru bagi saya, jika Nasrudin dipilih sebagai ketua, perwakilan perlu mencari ‘Salehudin’ sebagai timbalannya. Kalau Zaki dipilih sebagai ketua, perwakilan perlu mencari ‘Nasrudin’ sebagai timbalannya.
Orang Arab bermadah, “Wa yaa laita asy-asybaabu ya’uudu yauman…”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan