NARATHIWAT: Kira-kira 1,000 orang berkumpul di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, daerah Cho-ai-rong, Narathiwat, ketika 11 mayat - termasuk seorang imam - disolat dan dikebumikan, semalam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Rausa Aree, berkata dia mengambil sikap menunggu laporan pihak berkuasa yang kini masih menyiasat insiden itu.
“Kemudian, barulah keraguan penduduk kampung terjawab,” katanya.
Bagaimanapun, sebahagian penduduk kampung yakin serangan maut di masjid malam kelmarin dilakukan pasukan keselamatan kerajaan.
Penganalisis Human Rights Watch, Sunai Phasuk, berkata semua pihak tidak dapat menghalang kecurigaan umat Islam terhadap pembabitan tentera dalam insiden itu.
“Kawasan itu memang dikawal untuk menekan pemberontak,” katanya.
Kelmarin, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masjid di Cho-ai-rong, Narathiwat dan melepaskan tembakan rambang ketika penduduk kampung mengerjakan solat Isyak.
Sementara itu, panglima tentera Thailand menafikan pasukan keselamatan negara itu mendalangi serangan itu, sebaliknya menuduh ia angkara militan pemisah.
Jeneral Anupong Paojinda berkata, pejuang pemisah di selatan Thai terbabit dalam serangan itu tetapi meletakkan kesalahan kepada tentera.
“Pasti mereka mahu menggunakan isu ini untuk menarik perhatian antarabangsa dengan menjadikannya seolah-olah keganasan pihak berkuasa ke atas orang kampung,” katanya kepada media sebelum berlepas ke Narathiwat.
Kerajaan mengarahkan Anupong pergi ke wilayah bergolak itu bagi melihat sendiri keganasan terbaru dan terburuk dalam tempoh lima tahun.
Anupong berkata, selepas melakukan serangan militan menyalahkan pihak berkuasa.
“Mereka mengelirukan penduduk kampung dengan menimbulkan ketakutan,” katanya.
Sementara itu, pegawai berkata, Anupong berada di Narathiwat tetapi tidak melawat tempat kejadian. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan