
OBAMA memberi ucapan dalam majlis berbuka puasa di White House kelmarin.
WASHINGTON - Presiden Barack Obama kelmarin mememuji rakyat Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam kerana memperkayakan budaya negara itu semasa berucap dalam majlis berbuka puasa di White House kelmarin.
"Sumbangan umat Islam terhadap AS terlalu panjang untuk dicatat kerana mereka bergaul dalam masyarakat dan negara kita," kata Obama.
Beberapa anggota Kabinet AS, duta-duta asing, ahli-ahli Kongres yang beragama Islam hadir dalam majlis itu.
Dua anggota Kongres AS yang beragama Islam, Keith Ellison dan Andre Carson menghadiri majlis itu.
Duta-duta negara Islam dan Duta Israel ke AS, Michael Oren turut hadir.
Dalam ucapannya, Obama memuji beberapa tokoh Islam AS seperti petinju Muhammad Ali.
Obama turut menjemput seorang pelajar tahun pertama University of Memphis, Bilqis Abdul-Qaadir yang memperoleh mata tertinggi dalam sejarah sukan bola keranjang di negeri Massachusetts.
"Sebagai pelajar yang dihomati, sebagai seorang atlet dalam menuju ke Memphis, Bilqis merupakan satu inspirasi kepada kita semua," katanya.
Bilqis memakai tudung kepala diminta berdiri oleh Obama yang memberitahu mengenai kisahnya di hadapan kira-kira 70 tetamu di White House.
Bilqis menyatakan dia terkejut selepas Obama menyebut namanya.
"Saya berasa amat teruja apabila berdiri dekat dengannya," kata wanita itu kepada pemberita.
Majlis di White House itu bukan asing bagi meraikan bulan Ramadan malah bekas Presiden George W. Bush pernah mengadakan majlis serupa semasa beliau memimpin AS.
Sejak mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke-44 pada Januari lalu, Obama mengambil usaha untuk membaiki hubungan dua hala AS dan dunia Islam termasuk mengadakan lawatan ke Turki dan Kaherah.
Dalam majlis berbuka puasa itu, Obama memberi penghargaan kepada Muhammad Ali yang tidak hadir tetapi beliau mengucapkan petikan kenyataan daripada petinju legenda itu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan