assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 21 April 2009

MENGUTAMAKAN KEPENTINGAN UMAT DARIPADA KEPENTINGAN PERIBADI

Suatu keutamaan yang perlu kita berikan perhatian ialah kewajipan yang berkaitan dengan kepentingan umat yang harus kita dahulukan berbanding dengan kepentingan peribadi.

Firman Allah s.w.t
"Dan orang-orang (Ansar) yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman sebelum(kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka(Muhajirin) dan mereka mengutamakan (Muhajirin) atas dirinya sendiri meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung." ( Al-Hasyr: 9)

Daripada kisah golongan Ansar dan Muhajirin yang Allah nyatakan kepada kita jelaslah bagaimana unggulnya persaudaraan ukhuwwah Islamiyyah yang menyeluruh dan saling cinta-mencintai kerana Allah s.w.t semata-mata. Sehingga golongan Ansar sanggup memberikan segala pertolongan dan kemudahan untuk golongan Muhajirin memulakan kehidupan baru setelah mereka sanggup meninggalkan tanah tumpah darah dan segala harta kekayaan yang mereka punyai semata-mata untuk menyelamatkan agama.

Itulah juga yang dilakukan oleh kedua-dua pihak( Muhajirin dan Ansar) yang tidak lagi mementingkan keutamaan peribadi mereka sendiri sahaja tetapi keutamaan umat keseluruhannya. Walaupun mereka(Muhajirin) berhijrah tanpa membawa sedikitpun yang mereka punyai dan usahakan sebelumnya.

Begitu juga golongan Ansar yang sanggup memberikan apa juga untuk saudara mereka tanpa ada rasa ragu atau apa-apa juga prasangka terhadap saudara mereka sebagai menggantikan apa yang telah ditinggalkan di Mekah. Sebagaimana Allah berfirman:
"Dan tolong-menolonglah kamu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan."(Al-Maidah:2)

Sesungguhnya seorang peribadi muslim itu tidak akan mampu untuk membentuk kehidupannya menurut kehendak Islam kecuali dia hidup dalam masyarakat yang bersedia untuk menurut kehendak Islam iaitu masyarakat Islam yang sebenar.

Maka adalah menjadi tanggungjawab peribadi muslim tersebut untuk memelihara masyarakat dan menghapuskan sebarang kerosakan menurut kemampuan mereka selain bekerjasama( saling tolong-menolong) untuk mencapai maksud tersebut.Terdapat banyak hadis-hadis yang menyebut soal tanggungjawab individu memelihara masyarakat. Antaranya sebuah hadis menyebut:
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat soal umat Islam maka dia bukan di kalangan mereka."

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."

Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w menerangkan kepada kita bahawa iman tidak bertunjang di dalam diri, tidak teguh di dalam hati dan tidak sempurna di dalam dada seorang muslim kecuali apabila dia menjadi manusia yang baik, jauh daripada sifat keakuan, irihati, membenci dan hasad dengki.

Dengan itu, dia tidak suka untuk orang lain kecuali apa yang dia suka untuk dirinya sendiri seperti selamat daripada kejahatan dan seksaan, seronok dengan kesenangan hidup, berjaya mendapat keredhaan Allah s.w.t dan bertaqarrub kepada Allah s.w.t.

Masyarakat yang tidak berasaskan keimanan adalah masyarakat individualistik (keakuan) yang terkeji. Kerana apabila iman lemah di dalam hati dan tidak sempurna, maka hilanglah dari jiwa perasaan inginkan kebaikan untuk manusia lain.

Sebagaimana yang sedang banyak berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini. Lantaran itu, hasad dengki terus mengambil tempat dan lahirlah sikap keakuan dalam masyarakat. Mulalah manusia menjadi serigala. Rosak tata kehidupan, kezaliman berleluasa, irihati, kebencian bergelora dan kemarahan melata.

Hadis di atas juga sebenarnya menggalakan supaya menjinakkan hati-hati manusia dan bekerja membaiki keadaan mereka. Jika inilah yang dilakukan maka tidak akan berlaku lagi sifat egois seseorang individu. Dan akan terhindar juga setiap individu daripada sifat hasad dengki kerana ia tidak akan wujud bersama dengan kesempurnaan iman.

Orang yang memiliki sifat hasad tidak suka sekiranya orang lain mengatasi atau menyamai dirinya di dalam kebaikan. Bahkan mungkin dia berhasrat agar hilang kebaikan tersebut daripada orang tadi sekalipun kebaikan itu tidak sampai kepadanya.

Menjadi tujuan Islam supaya manusia dapat hidup dalam keadaan penuh mesra dan saling berkasih sayang. Setiap individu di dalam masyarakat berusaha melakukan kebaikan untuk orang ramai dan melahirkan kebahagian kepada masyarakat sehingga keadilan dapat menguasai suasana dan ketenangan tersebar luas kepada setiap jiwa serta terbina di antara mereka kesatuan dan kerjasama.

Ini semua tidak akan tercapai kecuali apabila setiap individu di dalam masyarakat berkeinginan agar orang lain dapat menikmati kebahagiaan, kebaikan dan kesenagan seperti yang diingini untuk diri sendiri atas dasar kerana setiap daripada kita dalah bersaudara sebagaimana firman Allah s.w.t
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."( Al-Hujurat:10)

Maka berdasarkan firman Allah s.w.t di atas, maka setiap daripada muslim itu akan saling bantu-membantu dan tegur menegur ke arah kebaikan yang akhirnya akan terlahir sebuah masyarakat muslim yang harmonis. Tidak akan berlaku ini hanya di dalam suatu kaum atau puak sahaja. Kerana setiap daripada muslim adalah bersaudara. Maka akan terhakislah taksub perkauman atau assbiyyah. Tidak akan berlaku lagi saling bantu-membantu tanpa mengira benar ataupun salah semata-mata kerana mereka berasal daripada keturunan yang sama, sama ada daripada satu puak atau satu kelurga.

Fahaman perkauman ini begitu ketara di kalangan orang-orang Arab di zaman sebelum Islam, di mana anggota sesebuah kabilah akan saling bantu-membantu tanpa mengira sama ada benar atau salah semata-mata kerana mereka adalah daripada kabilah yang sama. Islam menolak sama sekali taksub perkauman ini dan memerintahkan agar fahaman ini dihapuskan.

Islam bukan sahaja mengutuk taksub perkauman yang bertunjangkan puak dan bangsa sahaja, malah semua fahaman taksub selagimana ia membawa asas ynag sama iaitu membantu yang lain semata-mata kerana sesuatu persamaan walaupun ia salah. Oleh itu, bantuan kerana geografi yang sama, profesion ynag sama atau fahaman yang sama walaupun salah adalah fahaman taksub perkauman ynag tidak disukai dan dicela.

Oleh karena masyarakat Islam tidak mengamalkan fahaman taksub, ini membantu mengurangkan permusuhan, kezaliman dan kejahatan seterusnya membantu anggota masyarakat untuk berpegang kepada nilai kebenaran dan keadilan. Sudah tentu keadaan ini akan mewujudkan suasana yang harmoni kepada masyarakat mahupun individu.

Rujukan

1. ISLAM & DAKWAH, dr. Abdul Karim Zaidan
2. SYARAH HADIS 40 IMAM IMAM NAWAWI, Dr. Mustafa al-Bugha,Muhyiddin Misto
3. FIQH AL-SIRAH 1, Muhammad Said Ramadan Al-Buti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan