assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jamaah


Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011

Tempat ke2 Masjid terbaik Daerah Hulu Selangor 2011
;
;
MASJID AR-RAHMAH, Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Sdr. Wan Hairul Anuar (Nazir) - 019 335 0466
2- Sdr. Norhisham (Bendahari) - 019 213 1405
3- Affin Islamik Bank (Rawang) - Acc. No. 105430000711

SURAU AL-IKHWAN, Bdr. Sg. Buaya
Sangat memerlukan dana bagi menampung pengajian , maintanence dan pembangunan demi kelangsungan agenda pengislahan dan dakwah kami :
Disalur terus :
1- Tn. Hj. Abd. Rahman (Pengerusi) - 019 303 7383
2- Sdr. Yazid Adam (Bendahari) - 013 609 2972
3- Bank Muamalat (Rawang) - Acc. No. 12010000718711

Kuliah Maghrib Bulanan Masjid Ar-Rahmah pimpinan Al-Fadhil Ustaz Awang Mamat (JAKIM) setiap Isnin minggu ke 3 setiap bulan bermula malam ini Isnin 18.10.2010

Selasa, 28 April 2009

Hukuman sebat syariah sejauh mana difahami?


Posted on Tuesday, April 28 @ 12:15:05 MYT by Paktam
Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAIMANA anda, penulis juga masih agak trauma dengan kes yang disifatkan sebagai satu tragedi yang dilaporkan berlaku di Lembah Swat, Pakistan pada awal bulan ini. Iaitu apabila seorang remaja perempuan disebat, sama ada dengan rotan atau kayu oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali hanya kerana menemui seorang lelaki bukan muhrim. Hanya kerana itu beliau didapati bersalah!


Mengapa dikatakan satu tragedi? Ini kerana hukuman itu lebih menampakkan kezaliman berbanding satu bentuk pengajaran terhadap pesalah. Malah bercakap soal imej, hukuman tersebut sebenarnya telah merosakkan imej Islam!

Atas justifikasi apakah remaja berkenaan dihukum dengan sedemikian rupa, termasuk yang diyakini pastinya lelaki bukan muhrim yang dikaitkan dalam kes ini terlepas daripada menerima hukuman.

Bukan soal telah berlaku satu diskriminasi atau ketidaksamaan gender dalam kes remaja perempuan ini tetapi secara keseluruhan, anggota Taliban berkenaan telah melampaui segala batas peraturan dan undang-undang.

Ini undang-undang rimba yang cuba diciptakan oleh Taliban. Jika kita berkata kepada soal had atau jumlah rotan itu sendiri, Islam telah menetapkan sebatan atau merotan melebihi daripada sepuluh kali dikenakan, jika melibatkan jenayah hudud. Jadi dapatkah anda sifatkan jenayah yang dilakukan oleh remaja ini sebagai hudud?

Dalam kertas kerja yang bertajuk "Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Realiti Perlaksanaan" yang dibentangkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad pada seminar sehari Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata Islam memperuntukkan hukuman rotan kepada dua jenis kesalahan syariah iaitu hudud dan takzir. Hudud melibatkan hukuman kesalahan-kesalahan seperti persetubuhan haram atau zina, tuduhan qazaf dan minum arak.

"Sementara takzir yang bermakna dera yang menjadi pengajaran dengan menjadikan rotan merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan takzir yang serius.

"Satu bentuk hukuman yang berkesan terutama kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya dan didapati sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu," katanya.

Beliau menegaskan, mengikut peruntukan hukum syarak dalam kesalahan jenayah syariah seseorang yang melakukan jenayah yang bukan dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat lebih daripada 10 kali sebatan.

Berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; Janganlah disebat lebih dari sepuluh kali sebatan (jildad) kecuali dalam kes-kes had daripada had-had Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

"Oleh itu, sesuatu kes yang tidak dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat sampai ke batas hukuman dalam kes hudud sebagai hukuman takzir supaya tidak melampaui batas yang ditentukan oleh syarak," katanya.

Sebagaimana Rasulullah dalam satu hadis, bermaksud, "Sesiapa yang menyampaikan (sesuatu hukuman) kepada hukuman had dalam kes bukan had, maka orang itu adalah termasuk dalam golongan orang yang melampaui batas." (riwayat Al Baihaqi)

Merujuk kepada konteks Malaysia, mahkamah syariah di seluruh negara ini mempunyai bidang kuasa yang lebih sedikit berbanding sebelumnya, iaitu diberi kuasa melaksanakan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dipersetujui supaya diseragamkan di semua negeri dan boleh dikatakan hampir semua negeri menerima pakai. Iaitu bererti tidak ada pesalah yang boleh terlepas daripada menerima hukuman sebatan di negara ini," kata Daud.

Jika Ketua Hakim Syarie ini menjelaskan pada dasarnya soal perlaksanaan hukuman rotan dari perspektif syarie dan sedikit mengenai sejarah hukuman itu sebagaimana yang termaktub dalam perundangan syarie negara dengan negerinya sendiri, Kelantan antara negeri yang terkehadapan dalam melaksanakan hukuman tersebut.

Peguam Bela dan Peguam Cara serta Peguam Syarie terkenal negara, Zainul Rijal Abu Bakar pula menjelaskan lagi mengenai soal cabaran dan halangan dalam perlaksanaan Hukuman Sebat dalam Kes Jenayah Syariah dalam suasana masyarakat di negara ini.

"Hukuman sebat syariah seringkali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat termasuk rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam itu sendiri, akibat mereka tidak memahami peruntukan perundangan itu. Malah lebih teruk lagi, ia disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan perlaksanaannya.

"Sedangkan terdapat peruntukan itu untuk dilaksanakan di seluruh negeri namun hukuman sebat itu hampir tidak dilaksanakan melainkan di negeri Kelantan sahaja," katanya.

Begitupun Zainul menjelaskan, kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

"Namun apa juga bentuk kesalahan yang boleh membawa hukuman sebat, hukuman itu hanya boleh dijatuhkan pada had maksimumnya enam kali sebatan," katanya.

Menurutnya lagi, berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius. Hukuman sebat syarie juga bukan sahaja dijatuhkan kepada kesalahan yang serius, ini termasuk juga kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan yang lain.

Negeri Selangor misalnya mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah-pesalah syarie. Iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan dengan tabii.

"Manakala Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor.

"Sementara Melaka hanya merotan bagi kesalahan hubungan luar tabii. Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sarawak hampir sama seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor. Perlis pula hanya kesalahan minuman yang memabukkan dan Sabah pula rotan atas kesalahan persetubuhan luar tabii dan persetubuhan haram," kata Zainul.

Kesemua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar.

Bercakap mengenai peralatan sebat atau rotan itu sendiri, mengikut undang-undang syariah alat sebatan yang digunakan kata peguam ini alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

"Tentu sekali yang membezakan hukuman rotan mengikut sivil, pesalah wanita dikecualikan daripada menjalani hukuman ini tetapi melalui undang-undang Syarie, pesalah wanita yang didapati bersalah meminum arak sehingga memabukkan dengan sengaja misalnya, akan menerima hukuman rotan.

"Namun hukuman akan tertangguh pada keadaan tertentu termasuk jika didapati wanita itu mengandung, maka hukuman mesti ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran," katanya.

Melalui Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang diperuntukkan di negara ini, kesemua aspek perlaksanaan hukuman ini dijelaskan dalam bentuk yang terperinci bagi memastikan perlaksanaannya adalah adil.

Manakala, melalui seksyen-seksyen tertentu, peruntukan ini menyentuh siapakah yang seharusnya dilantik sebagai pelaksana hukum, bagaimana sebat dijalankan, bagaimana pesalah diletakkan untuk disebat dan sebagainya.

l Seksyen 125 (3) (e) misalnya berbunyi; "Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi paras kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah."

l Seksyen 125 (3) (i) berbunyi; "Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk."

l Seksyen 125 (3) (h) berbunyi: "Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum Syarak.

Sebagaimana yang pernah diamal dan dilaksanakan di Kelantan, kaedah yang digunakan adalah sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta, tinggal lagi dalam kaedah yang diguna pakai seperti Kaedah 9, ia berbunyi; "Ketika disebat pesalah (tanpa mengira pesalah lelaki atau perempuan) hendaklah berdiri dan memakai pakaian tipis yang menutup aurat mengikut Hukum Syarak."

Zainul juga membincangkan secara lebih luas mengenai aspek perundangan ini terutama jika dibandingkan perlaksanaan hukum rotan yang diperuntukkan dalam undang-undang sivil.

Jadi, untuk menjawab persamaan sebat syariah adalah sama dengan sebat sivil, jawapannya tentu sekali tidak.

"Kengerian melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat Syariah. Ramai yang menyamakan kedua-duanya. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang setelah dua tahun disebat.

"Namun melihatkan aspek-aspek yang diperuntukkan dalam Syariah, ternyata hukuman rotan dalam Islam adalah berbeza malah tidak pun dilaksanakan lagi, sedangkan ia merupakan satu kaedah yang sangat berkesan bagi menangani dan menyelamatkan masyarakat daripada pelbagai gejala.

"Ini jelas menunjukkan halangan untuk melaksanakan sebat dalam syariah hanyalah bersifat metafora dan bukan halangan yang sebenar," katanya.

Dua lagi pembentang kertas dalam seminar yang dihadiri oleh pelbagai pihak yang berkenaan termasuk hakim, peguam, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa yang menyampaikan kertas kerja bertajuk: "Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian".

Sementara Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad menyampaikan kertas kerja bertajuk, "Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah: Satu Pandangan"

Sebagaimana yang disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Jenderal (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika ditemui oleh wartawan di seminar itu, pelaksanaan hukuman rotan bagi pesalah jenayah Syariah di negara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan setelah pelbagai pihak memberikan kerjasama dan kata sepakat.

"Namun yang penting seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum akan diberikan pemahaman yang jelas mengenai hukuman ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi dan pelbagai dakwaan di kemudian hari," katanya.

Menurutnya, hukuman rotan ini tidak lebih bagi memperkasakan lagi perlaksanaan hukuman syariah di negara ini yang selama ini dipandang lekeh kerana denda sahaja, tidak memadai kerana ia begitu mampu untuk dilunaskan oleh para pesalah.

"Begitupun, kita masih mencari model perlaksanaan yang terbaik dan sama sekali tidak akan ada sebarang trauma. Ini kerana perlaksanaan hukum rotan seperti yang dilakukan oleh anggota Taliban, sama ada di Pakistan atau Afghanistan akan kita jadikan pengajaran dan sempadan," katanya.

Antara yang turut hadir di seminar itu, Timbalan Menteri, JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan